Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Monday, 28 November 2011

Papan Iklan Pun Berdakwah

Pagi tadi saya bersama-sama umi ke bandar Kota Bharu. Inilah kali pertama saya keluar ke bandar Kota Bharu sejak saya mula bercuti. Kalau diikutkan hati, seboleh-bolehnya saya tidak mahu ke Kota Bharu lantaran bandar tersebut sentiasa sesak dan dipenuhi dengan pelbagai jenis kenderaan. Namun, kali ini saya dan umi ke Kota Bharu untuk membeli tiket ke Seremban. Untuk mengelakkan kesesakan, kami saya dan umi 'merempit' ke Kota  Bharu dari rumah. Seperti kebiasaan, saya akan membonceng umi saya. Sebelum memulakan perjalanan, pasti doa tidak lupa dibaca bagi memohon perlindungan daripadaNya. Alhamdulillah, cuaca dua tiga hari ini agak baik, matahari mula berani menunjukkan dirinya di sebalik musim tengkujuh yang menjenguk Pantai Timur sekarang. Keadaan cuaca yang cerah sedikit sebanyak memudahkan perjalanan kami. 

Usai di Kota Bharu, saya teringat perbualan saya dengan rakan saya beberapa tahun dahulu. Rakan saya yang ini bukanlah orang Kelantan, tetapi apabila beliau menjejakkan kaki ke Kelantan, beliau mengekspresikan keseronokan kepada saya apabila ke Kelantan.

"Apa yang seronok sangat bila ke Kelantan?" Saya bertanya kerana ingin tahu.

"Seronok!!! Sebab semua papan iklan kat kelantan ada tulisan jawi. Syok dapat tengok. Kat negeri lain tak de pulak yea." Rakan saya menjawab dengan penuh keterujaan.


Dakwah Si Papan Iklan

Apa yang pasti, perbualan ini masih lagi segar dalam ingatan ini. Hal ini kerana sebelum ini saya tidak menyedari perkara sedemikian. Bukannya selama ini saya tidak perasan akan 'kehadiran' tulisan jawi yang tertera di papan-papan iklan. Namun, apa yang baru saya sedari ialah negeri-negeri lain jarang terpampang papan iklan yang mempunyai tulisan jawi dan tulisan rumi sekali gus. Apatah lagi semua model wanita pada papan-papan iklan di Kelantan 'diwajibkan' untuk bertudung. Lebih membanggakan, kerajaan negeri Kedah juga turut meniru apa yang kerajaan Kelantan telah laksanakan. Tambahan pula, papan-papan iklan juga dapat menghidupkan kembali tulisan-tulisan jawi yang semakin jauh daripada kita.

Model bertudung Fara Fauzana

Maya Karin juga memakai tudung

Tesco dalam tulisan jawi

Toyota

Papan tanda Pasar Borong di Wakaf Che Yeh

Kedai Cina juga ada tulisan jawi

Mc Donald dalam tulisan jawi

Model-model syampu tanpa mendedahkan tudung. Bukankah lebih manis begini?

Iklan Maxis dalam tulisan jawi

Model-model AmBank bertudung

Malahan, terdapat juga papan-papan iklan yang 'berdakwah' supaya kita tahu cara untuk menutup aurat dengan betul.





Papan iklan yang 'berdakwah' supaya kita membaca Al-Quran juga turut ada di Kelantan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ini adalah satu usaha untuk menggalakkan rakyat Kelantan membaca Al-Quran.






Papan Iklan Penyebab Kemalangan?

Apabila bercerita mengenai papan iklan, saya teringat akan satu artikel yang pernah saya baca dalam salah satu akhbar tempatan. Menurut penulis, selalunya kemalangan dikaitkan dengan mentaliti rakyat Malaysia yang gemar memandu dengan laju tanpa mempedulikan pemandu-pemandu lain. Biasanya, kemalangan dikaitkan dengan keadaan jalan atau geografi sesuatu tempat yang berbahaya. Namun, pada kali ini penulis mengemukakan pandangan bahawa salah satu penyebab kemalangan ialah kerana papan iklan itu sendiri. Membaca pandangan penulis tersebut membuatkan saya sedikit tersentak.

Bagaimana papan iklan menjadi penyebab kepada kemalangan?

Menurut penulis, papan-papan iklan yang ada di jalan-jalan raya, mahupun di lebuh raya dapat mengganggu pemandangan pemandu. Para pemandu, lebih-lebih lagi pemandu lelaki mungkin akan terpesona dengan papan-papan iklan yang memaparkan model-model wanita yang kebanyakannya tidak menutup aurat. Malahan, tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat papan-papan iklan yang mendedahkan tempat-tempat yang tidak sepatutnya ditunjukkan oleh seorang wanita. Apabila pemandu melihat papan iklan tersebut, pasti mata terpegun melihat papan iklan tersebut tanpa disedari pemandu tersebut berada dalam pemanduannya. Pandangan penulis tersebut ada benarnya.

Mungkin ada yang berpandangan pemandu tersebut perlu menundukkan pandangan atau mengalihkan pandangannya ke arah lain. Sebagaimana ayat di bawah:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (24:30)


Namun setakat manakah pemandu-pemandu di jalan raya dapat mengalihkan pandangan mereka daripada melihat apa yang sudah terpampang di depan mata. Alternatif yang paling sesuai ialah kita sepatutnya 'menundukkan' papan-papan iklan tersebut. 'Menundukkan' model-model wanita pada papan-papan yang tidak menutup aurat. Itulah sebaiknya. 

Di sini juga saya ingin berkongsi satu kata-kata Imam Al-Ghazali yang saya petik daripada status sahabat 'facebook'.

"Agama Islam adalah asas, pemerintahan (politik) adalah pengawas, tanpa asas menjadi runtuh dan tanpa pengawas menjadi sia-sia. Umat Islam menjadi lemah pegangan agamanya dan hukum Islam banyak menjadi sia-sia kerana politik dipisahkan daripada agama Islam atau Islam menjadi slogan tanpa kuasa politik yang beramal dengan seluruh syariatnya."

Seperti yang sedia maklum, menutup aurat adalah diwajibkan untuk semua orang-orang Islam. Apa salahnya jika model-model di papan-papan iklan diberi kain yang cukup untuk menutup apa yang terdedah yang tidak sepatutnya didedahkan? Apa salahnya menggunakan kuasa yang ada untuk 'memakaikan' tudung kepada model-model di papan-papan iklan? 

Tidak salahkan kita 'mewajibkan' semua model-model bertudung dan menutup aurat? Mudah-mudahan apa yang dipraktikkan oleh kerajaan negeri Kelantan dapat dipraktikkan di seluruh Malaysia. Sama-sama kita doakan. InsyaAllah, satu hari nanti akan terlaksana.

Nota kaki: Gambar-gambar di atas bukanlah daripada inisiatif saya sendiri. Saya menceduknya dari 'Google'.


Permainan vs Perjuangan

"Tengok bola tak malam tadi?" Soal Cik Ning kepada saya dan umi.


Pertanyaan Cik Ning tersebut membuatkan saya tersenyum. Lebih-lebih lagi, soalan beliau berkisarkan perlawanan bola sepak Malaysia menentang Bahrain malam tadi. Cik Ning merupakan adik kepada umi saya. Kami ke rumahnya untuk ziarah, lebih-lebih lagi tok ayah saya tinggal bersama keluarga ibu saudara saya. Semenjak nenek meninggal dunia 14 tahun dahulu, tok ayah lebih selesa untuk tinggal bersama-sama keluarga Cik Ning.


"Tengok. Malaysia kalah." ujar saya menjawab soalan ibu saudara saya.


"Kalau dulu, Cik Ning tak suka sangat tengok bola. Dulu pelik juga dengan budak-budak ni, ralit sangat bila tengok bola. Hairan juga dulu Cik Ning tengok budak-budak ini. Tapi sekarang, dah minat dah. Memang Best tengok bola." Panjang lebar Cik Ning menerangkan tentang 'penghijrahannya' ke arah bola sepak.

Hati saya turut mengiakan pandangan Cik Ning. Saya juga sedemikian. Jika dahulu, saya agak aneh macam mana kaum lelaki (terutamanya), boleh duduk membatu apabila menyaksikan perlawanan bola sepak. Tambahan pula, masa perlawanan yang menjangkau 90++ minit membuatkan saya terfikir, apakah erti harga sebiji bola? Namun, sekarang sedikit sebanyak saya turut terpengaruh untuk turut serta menyaksikan perlawanan bola bersama adik-adik jika melibatkan pasukan Malaysia. Mungkin salah satu faktor yang menyebabkan saya turut berminat untuk menonton bola sepak adalah kerana mutu dan kualiti permainan yang ditonjolkan pasukan Malaysia semakin meningkat. Itu adalah salah satu sebab yang saya dapat kenalpasti.

Sebuah Analogi

Sukan bola sepak mengingatkan saya tentang sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama. Sebagai analogi, penyokong-penyokong bola sepak boleh kita analogikan sebagai mad'u kita. Manakala, pemain-pemain bola sepak pula adalah para dai'e. Permainan bola sepak selama 90++ minit pula merupakan detik perjalanan perjuangan tanpa henti. Bagaimana seorang dai'e berjaya 'mengikat' hati seorang mad'u? Apakah faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada kejayaan sebuah dakwah? Bagaimana dapat memastikan hati-hati mad'u yang ditautkan boleh menjamin kebersamaan dalam perjuangan? Di sini, saya telah membuat analisis berdasarkan permainan bola sepak yang mantap versus dakwah dan perjuangan yang berkesan.

Pertama: Pemain bola sepak


Dalam satu perlawanan, satu pasukan boleh memenangi perlawanan bola sepak apabila pemain tersebut mempunyai persediaan yang cukup sebelum menghadapi perlawanan. Antara persediaan yang diperlukan oleh setiap pemain bola sepak ialah kekuatan stamina, latihan yang mencukupi, kekuatan fizikal dan mental, pengambilan diet makanan seimbang, dan sebagainya.

Dalam hal ini, pemain bola sepak boleh dianalogikan sebagai dai'e. Dalam usaha untuk membina hati-hati mad'u, para dai'e perlu mempunyai persediaan yang cukup sebelum terjun ke gelanggang dakwah. Para dai'e amat memerlukan beberapa suplemen dan antibiotik yang dapat membantu para dai'e supaya 'permainan' dakwah yang dilaksanakan adalah berkesan. Apakah persediaan-persediaan itu?

Salah satu persediaan untuk para dai'e ialah hubungan yang erat dengan Allah. Mana mungkin hubungan dengan Allah yang jauh dapat membantu dai'e dalam setiap perlakuan yang dilakukan. Mana mungkin mutabaah amal seseorang dai'e yang tunggang-langgang dapat menjadi contoh kepada mad'u. Hubungan yang baik dengan Allah boleh diusahakan dengan amalan-amalan seharian seorang dai'e sama ada amalan wajib hatta amalan sunat. Solat lima waktu, membaca dan tadabbur Al-Quran, puasa sunat, solat dhuha, qiamullai dan zikir mathurat adalah beberapa suplemen wajib yang diambil oleh seorang dai'e. Tarbiyyah ruhiyyah sebegini perlu ditekankan dalam diri dai'e supaya hatinya terus tegar walau pelbagai mehnah yang menempuhi sepanjang jalan yang dilaluinya yang bernama perjuangan. Tarbiyyah ruhiyyah juga merupakan salah satu daripada tunjang kekuatan seorang dai'e.

Selain itu, perlunya seorang dai'e mempunyai kefahaman yang mantap dalam thaqafah. Tanpa suplemen ilmu, bagaimanakah seorang dai'e dapat mengajak dai'e ke jalan Allah? Tanpa kefahaman, bagaimanakah keadaan dai'e untuk menjawab segala lontaran persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh mad'u? Justeru, ilmu adalah satu elemen yang perlu dititikberatkan selain mengamalkan ilmu yang diperoleh dengan bermanfaat.



Kedua: Srategi dan corak permainan


Permainan bola sepak menuntut kepada strategi dan corak permainan. Permainan bola sepak yang berkesan boleh dilihat dengan strategi yang telah disusun. Permainan bola sepak yang mantap boleh dilihat sejauh mana corak permainan telah dirancang. Strategi dan corak permainan yang dirancang dengan baik mampu menghasilkan sebuah permainan yang benar-benar memukau semua penonton bola sepak. Strategi dan corak permainan yang tersusun rapi mampu membuatkan penyokong-penyokong bola sepak terus 'istiqamah' di tempat duduknya demi menyaksikan sebuah permainan yang begitu hebat.

Strategi dan corak permainan boleh dianalogikan sebagai strategi dakwah yang disusun untuk mengikat hati-hati dai'e ke jalan Allah. Strategi dakwah perlu disusun dalam proses untuk membina hati-hati supaya hati-hati tersebut terus thabat di jalan Allah. Ibarat kita mahu mengikat bata-bata dengan simen. Sudah tentunya kita akan berusaha untuk memenuhi sukatan acuan simen dan pasir mengikut sukatan yang tepat. Kemudian, kita akan mengikat bata-bata dengan simen secantik mungkin bagi menghasilkan ikatan bata-bata yang utuh. Seterusnya akan menghasilkan sebuah dinding atau rumah yang kukuh kerana acuan dan cara mengikat bata-bata juga cantik. Mungkin para dai'e boleh mengimplementasikan dakwah fardhiah ke atas mad'unya selain tidak mengabaikan marhalah-marhalah dakwah bagi menghasilkan jundi-jundi perjuangan ke jalan Allah.

Ketiga: Semangat berpasukan


Semangat berpasukan juga turut merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada permainan yang tidak mengecewakan. Tanpa semangat berpasukan, mampukah sebiji bola dijaringkan ke dalam gol? Ketidakwujudan semangat berpasukan boleh menyebabkan pergaduhan sesama pemain-pemain dalam pasukan itu sendiri. Dengan semangat berpasukan, pemain-pemain akan saling bekerjasama untuk memastikan target gol tercapai. Malahan, melalui semangat berpasukan juga, pemain-pemain dalam pasukan itu sendiri boleh saling memberi semangat antara satu sama lain.

Justeru, ukhuwwah dalam berjemaah juga boleh menyumbang kepada kejayaan sesebuah dakwah. Ukhuwwah yang erat sesama ahli jemaah dapat dicapai dengan persefahaman, saling mengingatkan antara satu sama lain. Kelonggaran ukhuwwah sesama ahli jemaah boleh menyebabkan variasi penyakit hati yang menjangkiti ahli jemaah itu sendiri seterusnya boleh merebak kepada orang lain. Silap-silap haribulan, ada ahli yang futur disebabkan hubungan yang tidak baik sesama ahli jemaah. Ukhuwwah yang mantap dapat membantu untuk terus kekal dalam perjuangan yang tiada henti.

Keempat: Penyokong-penyokong bola sepak


Corak permainan yang menarik, kemantapan skil dan stamina pemain, semangat berpasukan yang tidak luntur boleh menghasilkan kemenangan yang membuatkan penyokong-penyokong bola terus-menerus bertahan hingga ke akhir perlawanan bola sepak. Penyokong-penyokong akan terus 'istiqamah' di tempat mereka berada apabila permainan yang ditunjukkan adalah menarik dan dapat menjanjikan kemenangan. Kesemua faktor yang dapat membawa kepada kemenangan menyebabkan terus setia kepada pasukan yang disokong.

Sehubungan itu, penyokong-penyokong bola adalah mad'u kepada dai'e. Faktor-faktor yang ada pada dai'e dan corak permainan menyebabkan hati mad'u terpikat dengan dakwah yang dilaksanakan dan janji sebuah perjuangan selain dapat mengikat hati-hati mad'u untuk berusaha terus thabat pada jalan perjuangan. Malahan, mad'u akan tertarik  kepada sebuah medan yang bernama perjuangan yang sudah tentu menjanjikan sebuah kemenangan yang tidak ternilai harganya.

Berdasarkan penulisan saya, itu hanyalah beberapa faktor yang dapat membawa kepada kejayaan sebuah dakwah dan perjuangan itu sendiri. Masih banyak lagi faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan sebuah dakwah dan perjuangan itu sendiri. Saya sendiri masih banyak kekurangan yang perlu perbaiki dalam gelanggang dakwah dan perjuangan ini. Namun, apa yang paling penting, kefahaman kepada sesebuah dakwah dan perjuangan adalah perkara asas yang perlu dihadam dahulu oleh para dai'e.

Pasakkan AL-FAHMU dalam perjuangan, bukan HAMASAH untuk kemasyuran.

p/s: Amat tertarik dengan status beberapa sahabat facebook yang mengaitkan perlawanan bola sepak tempoh hari dengan peristiwa Perang Uhud.




Saturday, 26 November 2011

Kita Hanyalah Musafir Dunia

“Dik... Dik... Tak berhenti solat subuh ke?” Satu pertanyaan tiba-tiba timbul yang menyedarkan saya daripada lena.

‘Dah dekat pukul enam rupanya.’ Saya melihat jam di tangan. Perjalanan dari Kota Bharu ke Melaka yang memakan masa hampir 12 jam memang cukup memenatkan. 

Dik... Dik... Tak berhenti solat subuh ke?” Pertanyaan tersebut berulang kembali. Saya menoleh ke arah empunya suara tersebut. Oh, rupa-rupanya seorang pak cik dalam lingkungan 50-an bertanya kepada pemandu bas yang pada kiraan saya pemandu bas tersebut berusia lewat 30-an. Walaupun pak cik tersebut bertanya dari tempat duduknya di belakang, namun saya pasti pemandu bas tersebut mendengarnya kerana tempat duduk saya hampir dengan pemandu bas tersebut. Malahan, satu bas boleh dengar pertanyaan pak cik tersebut. Ataupun mungkin pemandu bas tersebut sememangnya tidak mendengar pertanyaan pak cik tersebut lantaran kekhusyukan beliau memandu.

Dua kali pertanyaan pak cik tersebut, tapi tiada respon.

Saya memang mengharapkan agar bas tersebut berhenti untuk solat subuh, namun sukar sekali rasanya mahu jumpa pemandu bas yang betul-betul prihatin terhadap solat ini. Melainkan pemandu bas akan berhenti atas desakan penumpang. Seingat saya pernah sekali saya bermusafir menaiki bas untuk pulang ke Kelantan, pemandu bas itu sendiri yang berhenti untuk solat subuh. Bahkan, pemandu tersebut bukan sahaja berhenti malah mengajak penumpang-penumpang untuk solat subuh. MasyaAllah, pada waktu itu saya sungguh kagum dengan pemandu bas tersebut. Memang setiap kali saya bermusafir dengan bas pada waktu malam kerana kebiasaannya saya bermusafir dari Kota Bharu – Kajang atau Kajang – Kota Bharu pada waktu malam. Namun, setiap kali saya bermusafir dengan bas, saya pasti cuak. Cuak kerana khuatir bas tidak akan berhenti untuk solat subuh. Saya berasa lebih lega sekiranya bas tiba ke destinasi yang dituju sebelum masuk waktu subuh. Yalah, saya boleh singgah mana-mana surau atau masjid selepas turun dari bas.

Destinasi pada kali ini menuju ke Melaka. Untuk sampai ke Melaka bas akan melalui Tangkak dan Muar dahulu sebelum tiba ke destinasi. Saya berdoa dalam hati supaya bas ini berhenti untuk solat subuh. Tiba-tiba pak cik tadi menghampiri pemandu bas.

“Dik... Tak berhenti solat subuh ke?” Tanya pak cik tersebut dalam nada yang lembut. Nada suara pak cik tadi tetap sama seperti pertanyaan yang sebelumnya.

“Hurmm... Nantilah, kejap lagi.” Pemandu bas tersebut menjawab dalam nada yang acuh tak acuh. Mungkin kerana dek kepenatan memandu terlalu lama.

Akan tetapi, mendengar jawapan pemandu tersebut membuatkan saya tenang. Saya pasti pak cik tersebut bersyukur kerana pemandu bas akan memberhentikan bas untuk solat subuh. Tidak lama kemudian, bas tersebut berhenti di satu perhentian di Muar. Pemandu bas terus turun daripada bas.

Rupa-rupanya pak cik tersebut datang bersama keluarganya. Pak cik tersebut memakai kopiah, manakala isterinya memakai tudung labuh. Selain pak cik tersebut dan isterinya dua anak teruna dalam lingkungan belasan tahun dan dua orang kanak-kanak merupakan anak-anak pak cik tersebut. 

Pak cik tersebut dan keluarganya turun untuk menunaikan solat subuh. Saya turut serta turun untuk menunaikan kewajiapan sebagai seorang muslim. Selain saya dan keluarga pak cik tersebut, seorang wanita berusia 30-an turut turut turun untuk menunaikan solat subuh. Namun, saya berasa kesal dan terkilan kerana hanya kami sahaja yang turun untuk menunaikan solat berbanding bilangan penumpang pada masa tersebut seramai 21 orang. Penumpang lain tidak menghiraukan bas berhenti. Malahan subuh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kebanyakan penumpang yang sedar daripada lena terus menyambung lena yang mungkin terganggu akibat bas berhenti. Saya cukup terkilan melihat situasi ini. Lebih-lebih lagi pagi subuh tersebut merupakan salah satu tarikh yang penting dalam Islam. 1 Muharam 1432H. Malah, saya terkilan dengan seorang pak cik yang turun dari bas, namun tidak sekalipun menjejak kaki ke surau untuk menunaikan solat. Apa yang saya cukup terkilan ialah diri saya sendiri. Diri ini sendiri yang tidak mampu untuk mengajak orang lain untuk menunaikan solat. Saya tidak mampu untuk mencegah kemungkaran dengan menggunakan tangan malahan lidah sekali pun. Saya hanya mampu mencegah dengan hati semata-mata. Astaghfirullahal’azim... Ya Allah, ampunilah diriku ini.

Solatlah kamu!

Apa pentingnya solat? Solat merupakan salah satu kewajiban yang perlu ditunaikan oleh setiap orang yang bergelar muslim. Solat merupakan perkara yang wajib ditunaikan oleh sesiapa yang mengucapkan kalimah ‘Laa ilahaillah muhammad rasulullah’. Dalam erti kata lain, solat wajib ditunaikan untuk mereka yang beragama Islam! Solat juga merupakan amal pertama yang akan dihisab kelak.


Berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Islam dibangunkan atas lima dasar iaitu bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan-Nya, mendirikan solat, membayar zakat, menunaikan ibadah haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan.” (Bukhari)

Berdasarkan hadith di atas, Islam diumpamakan sebagai sebuah bangunan. Manakala lima dasar tersebut merupakan tiang-tiangnya. Jika salah satu tiang tersebut tidak ditegakkan dengan sempurna, boleh jadi bangunan yang dibina tidak kukuh. Jika salah satu daripada tiang tersebut langsung tidak ditegakkan, maka runtuhlah bangunan tersebut.

Solat merupakan tiang agama kita. Sebab itulah dalam azan, ada satu panggilan azan yang bermaksud, “Marilah menunaikan solat.” Kemudian diikuti oleh sahutan azan yang bermaksud, “Marilah menuju kejayaan.” Tanpa solat, kita tidak mungkin akan dapat menggapai kejayaan. Malahan, tanpa menunaikan solat, ini bererti bahawa dalam diri kita masih lagi belum berjaya. Masih tidak mendapat kejayaan dalam menangkis sifat jahiliyyah dalam diri. Masih belum berjaya untuk melawan hawa nafsu dalam diri. Bagaimanakah umat Islam hendak berjaya sedangkan solat pun masih tidak dapat ditunaikan?
Orang yang mendirikan solat pasti mendapat perlindungan daripada Allah. Sabda Rasulullah SAW;

“Sesiapa yang solat subuh berjemaah, ia dalam tanggungan Allah. Sesiapa yang mengingkari tanggungan Allah, Allah mencampakkan mukanya ke dalam neraka.” (Direkodkan oleh Ibnu Majah).

Maka, sesiapa yang tidak mendirikan solat bererti menghadapkan dirinya kepada bahaya yang diancam oleh Allah iaitu neraka.

Kita hanyalah musafir dunia, terus bermusafir dan bermusafir hinggalah tiba di destinasi utama, iaitu akhirat. Ayuhlah wahai umat Islam sekalian, marilah kita tunaikan solat. Marilah kita menuju kejayaan. Hayya ‘alassolaah!!! Hayya ‘alalfalaah!!!

p/s: Mungkin sewajarnya  Kem Solat Bestari diadakan untuk para pemandu bas supaya pemandu bas prihatin terhadap solat. Salam Maal Hijrah 1433H.

Lembaran Baru

Alhamdulillah, pada detik ini, setiap nafas yang dihela saat ini merupakan satu anugerah yang tidak terhingga kepada kita. Anugerah? Apakah anugerah tersebut? Allah telah memberikan kepada kita  seinfiniti rahmat dan anugerah kepada kita yang tidak terhitung oleh kita sendiri. Kadangkala kita sendiri lupa dengan anugerah yang telah diperuntukkan kepada kita saban ketika. Kadangkala kita sendiri lupa dengan anugerah yang sentiasa mengiringi kita saban waktu. Lantas, marilah bersama-sama kita mengucapkan Alhamdulillah, atas pelbagai dan variasi nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita.

Apakah sumbangan untuk Islam?

Buat diri, telah genap 22 tahun usia diri saya ketika ini. Namun, pelbagai perkara yang bermain-main dalam kotak fikiranku. Pelbagai persoalan yang menerjah buat diri yang senantiasa menantikan jawapan buat diri ini jua. Kadangkala jiwa ini resah dan gelisah kerana membiarkan persoalan-persoalan ini berlegar-legar dalam ruang fikiranku. Antaranya adalah:

                                "Apakah yang telah aku lakukan untuk Islam?"

Persoalan tersebut merupakan salah satu persoalan yang kerap kali persoalan yang tidak terungkap jawapannya. Seakan-akan saya merasakan bahawa saya tidak menyumbang apa-apa untuk Islam. Ya Allah, ampunilah aku. Ya Rasulullah, inikah aku sebagai ummatmu yang engkau sebut-sebut tika saat  nyawamu diceraikan daripada jasad. Inikah lagak seorang yang mengaku sebagai pejuang Islam, tetapi masih belum mampu menyumbangkan apa-apa untuk Adden?

Sungguh, malu rasanya dengan diri. Malu denganMu, Ya Allah. Malu dengan Rasulullah. Teringat saya akan kisah Assyahid Imam Hassan Al-Banna, pengasas sebuah gerakan Islam yang dikenali setiap belahan dunia.  Tika umur beliau 22 tahun, beliau telah mengasaskan gerakan dengan merangka dan membina  serta memperelokkan dengan sebaik-baik asas. Pada usia 22 tahun inilah, beliau telah melebarkan lagi dakwahnya.



Lantas, pada saat ini, saya tersedar bahawa saya perlu menyumbangkan sesuatu untuk Islam. Saya berharap agar dengan penulisan blog ini, saya dapat menyumbangkan secebis risalah sebagai dakwah saya demi menegakkan Adden. Bukannya saya tidak pernah mempunyai blog sebelum ini. Saya pernah mempunyai dua blog yang mana blog-blog saya akhirnya 'futur' di gelanggang 'blogging' begitu sahaja. Sementelahan, tidak sepatutnya saya mensia-siakan sisa umur yang masih tinggal ini tanpa meninggalkan sesuatu untuk Islam. Yang pasti, ber'blogging' untuk menyampaikan ajaranNya juga merupakan salah satu saham akhirat! Mohon doa sahabat-sahabat sekalian supaya saya terus thabat di salah satu gelanggang dakwah ini.

Oh ya, agak-agak kenapa blog ini dinamakan dari hati ke hati yea? Nama ini dipilih kerana saya ingin menyampaikan sesuatu dari hati saya sendiri supaya apa yang saya cuba sampaikan dalam blog ini sampai dekat hati pembaca sekalian. 

Salam hari terakhir 1432H. 

p/s: Tahun 1433H bakal menjenguk kita dalam masa beberapa jam sahaja lagi. Bagaimana dengan azam baru kita? Bagaimana pula dengan azam lama? Sudah tertunaikah? Sama-sama muhasabah diri.