Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Saturday, 26 November 2011

Kita Hanyalah Musafir Dunia

“Dik... Dik... Tak berhenti solat subuh ke?” Satu pertanyaan tiba-tiba timbul yang menyedarkan saya daripada lena.

‘Dah dekat pukul enam rupanya.’ Saya melihat jam di tangan. Perjalanan dari Kota Bharu ke Melaka yang memakan masa hampir 12 jam memang cukup memenatkan. 

Dik... Dik... Tak berhenti solat subuh ke?” Pertanyaan tersebut berulang kembali. Saya menoleh ke arah empunya suara tersebut. Oh, rupa-rupanya seorang pak cik dalam lingkungan 50-an bertanya kepada pemandu bas yang pada kiraan saya pemandu bas tersebut berusia lewat 30-an. Walaupun pak cik tersebut bertanya dari tempat duduknya di belakang, namun saya pasti pemandu bas tersebut mendengarnya kerana tempat duduk saya hampir dengan pemandu bas tersebut. Malahan, satu bas boleh dengar pertanyaan pak cik tersebut. Ataupun mungkin pemandu bas tersebut sememangnya tidak mendengar pertanyaan pak cik tersebut lantaran kekhusyukan beliau memandu.

Dua kali pertanyaan pak cik tersebut, tapi tiada respon.

Saya memang mengharapkan agar bas tersebut berhenti untuk solat subuh, namun sukar sekali rasanya mahu jumpa pemandu bas yang betul-betul prihatin terhadap solat ini. Melainkan pemandu bas akan berhenti atas desakan penumpang. Seingat saya pernah sekali saya bermusafir menaiki bas untuk pulang ke Kelantan, pemandu bas itu sendiri yang berhenti untuk solat subuh. Bahkan, pemandu tersebut bukan sahaja berhenti malah mengajak penumpang-penumpang untuk solat subuh. MasyaAllah, pada waktu itu saya sungguh kagum dengan pemandu bas tersebut. Memang setiap kali saya bermusafir dengan bas pada waktu malam kerana kebiasaannya saya bermusafir dari Kota Bharu – Kajang atau Kajang – Kota Bharu pada waktu malam. Namun, setiap kali saya bermusafir dengan bas, saya pasti cuak. Cuak kerana khuatir bas tidak akan berhenti untuk solat subuh. Saya berasa lebih lega sekiranya bas tiba ke destinasi yang dituju sebelum masuk waktu subuh. Yalah, saya boleh singgah mana-mana surau atau masjid selepas turun dari bas.

Destinasi pada kali ini menuju ke Melaka. Untuk sampai ke Melaka bas akan melalui Tangkak dan Muar dahulu sebelum tiba ke destinasi. Saya berdoa dalam hati supaya bas ini berhenti untuk solat subuh. Tiba-tiba pak cik tadi menghampiri pemandu bas.

“Dik... Tak berhenti solat subuh ke?” Tanya pak cik tersebut dalam nada yang lembut. Nada suara pak cik tadi tetap sama seperti pertanyaan yang sebelumnya.

“Hurmm... Nantilah, kejap lagi.” Pemandu bas tersebut menjawab dalam nada yang acuh tak acuh. Mungkin kerana dek kepenatan memandu terlalu lama.

Akan tetapi, mendengar jawapan pemandu tersebut membuatkan saya tenang. Saya pasti pak cik tersebut bersyukur kerana pemandu bas akan memberhentikan bas untuk solat subuh. Tidak lama kemudian, bas tersebut berhenti di satu perhentian di Muar. Pemandu bas terus turun daripada bas.

Rupa-rupanya pak cik tersebut datang bersama keluarganya. Pak cik tersebut memakai kopiah, manakala isterinya memakai tudung labuh. Selain pak cik tersebut dan isterinya dua anak teruna dalam lingkungan belasan tahun dan dua orang kanak-kanak merupakan anak-anak pak cik tersebut. 

Pak cik tersebut dan keluarganya turun untuk menunaikan solat subuh. Saya turut serta turun untuk menunaikan kewajiapan sebagai seorang muslim. Selain saya dan keluarga pak cik tersebut, seorang wanita berusia 30-an turut turut turun untuk menunaikan solat subuh. Namun, saya berasa kesal dan terkilan kerana hanya kami sahaja yang turun untuk menunaikan solat berbanding bilangan penumpang pada masa tersebut seramai 21 orang. Penumpang lain tidak menghiraukan bas berhenti. Malahan subuh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kebanyakan penumpang yang sedar daripada lena terus menyambung lena yang mungkin terganggu akibat bas berhenti. Saya cukup terkilan melihat situasi ini. Lebih-lebih lagi pagi subuh tersebut merupakan salah satu tarikh yang penting dalam Islam. 1 Muharam 1432H. Malah, saya terkilan dengan seorang pak cik yang turun dari bas, namun tidak sekalipun menjejak kaki ke surau untuk menunaikan solat. Apa yang saya cukup terkilan ialah diri saya sendiri. Diri ini sendiri yang tidak mampu untuk mengajak orang lain untuk menunaikan solat. Saya tidak mampu untuk mencegah kemungkaran dengan menggunakan tangan malahan lidah sekali pun. Saya hanya mampu mencegah dengan hati semata-mata. Astaghfirullahal’azim... Ya Allah, ampunilah diriku ini.

Solatlah kamu!

Apa pentingnya solat? Solat merupakan salah satu kewajiban yang perlu ditunaikan oleh setiap orang yang bergelar muslim. Solat merupakan perkara yang wajib ditunaikan oleh sesiapa yang mengucapkan kalimah ‘Laa ilahaillah muhammad rasulullah’. Dalam erti kata lain, solat wajib ditunaikan untuk mereka yang beragama Islam! Solat juga merupakan amal pertama yang akan dihisab kelak.


Berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Islam dibangunkan atas lima dasar iaitu bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan-Nya, mendirikan solat, membayar zakat, menunaikan ibadah haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan.” (Bukhari)

Berdasarkan hadith di atas, Islam diumpamakan sebagai sebuah bangunan. Manakala lima dasar tersebut merupakan tiang-tiangnya. Jika salah satu tiang tersebut tidak ditegakkan dengan sempurna, boleh jadi bangunan yang dibina tidak kukuh. Jika salah satu daripada tiang tersebut langsung tidak ditegakkan, maka runtuhlah bangunan tersebut.

Solat merupakan tiang agama kita. Sebab itulah dalam azan, ada satu panggilan azan yang bermaksud, “Marilah menunaikan solat.” Kemudian diikuti oleh sahutan azan yang bermaksud, “Marilah menuju kejayaan.” Tanpa solat, kita tidak mungkin akan dapat menggapai kejayaan. Malahan, tanpa menunaikan solat, ini bererti bahawa dalam diri kita masih lagi belum berjaya. Masih tidak mendapat kejayaan dalam menangkis sifat jahiliyyah dalam diri. Masih belum berjaya untuk melawan hawa nafsu dalam diri. Bagaimanakah umat Islam hendak berjaya sedangkan solat pun masih tidak dapat ditunaikan?
Orang yang mendirikan solat pasti mendapat perlindungan daripada Allah. Sabda Rasulullah SAW;

“Sesiapa yang solat subuh berjemaah, ia dalam tanggungan Allah. Sesiapa yang mengingkari tanggungan Allah, Allah mencampakkan mukanya ke dalam neraka.” (Direkodkan oleh Ibnu Majah).

Maka, sesiapa yang tidak mendirikan solat bererti menghadapkan dirinya kepada bahaya yang diancam oleh Allah iaitu neraka.

Kita hanyalah musafir dunia, terus bermusafir dan bermusafir hinggalah tiba di destinasi utama, iaitu akhirat. Ayuhlah wahai umat Islam sekalian, marilah kita tunaikan solat. Marilah kita menuju kejayaan. Hayya ‘alassolaah!!! Hayya ‘alalfalaah!!!

p/s: Mungkin sewajarnya  Kem Solat Bestari diadakan untuk para pemandu bas supaya pemandu bas prihatin terhadap solat. Salam Maal Hijrah 1433H.

0 comments:

Post a Comment

Please drop your comments here 😉