Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Monday, 28 November 2011

Papan Iklan Pun Berdakwah

Pagi tadi saya bersama-sama umi ke bandar Kota Bharu. Inilah kali pertama saya keluar ke bandar Kota Bharu sejak saya mula bercuti. Kalau diikutkan hati, seboleh-bolehnya saya tidak mahu ke Kota Bharu lantaran bandar tersebut sentiasa sesak dan dipenuhi dengan pelbagai jenis kenderaan. Namun, kali ini saya dan umi ke Kota Bharu untuk membeli tiket ke Seremban. Untuk mengelakkan kesesakan, kami saya dan umi 'merempit' ke Kota  Bharu dari rumah. Seperti kebiasaan, saya akan membonceng umi saya. Sebelum memulakan perjalanan, pasti doa tidak lupa dibaca bagi memohon perlindungan daripadaNya. Alhamdulillah, cuaca dua tiga hari ini agak baik, matahari mula berani menunjukkan dirinya di sebalik musim tengkujuh yang menjenguk Pantai Timur sekarang. Keadaan cuaca yang cerah sedikit sebanyak memudahkan perjalanan kami. 

Usai di Kota Bharu, saya teringat perbualan saya dengan rakan saya beberapa tahun dahulu. Rakan saya yang ini bukanlah orang Kelantan, tetapi apabila beliau menjejakkan kaki ke Kelantan, beliau mengekspresikan keseronokan kepada saya apabila ke Kelantan.

"Apa yang seronok sangat bila ke Kelantan?" Saya bertanya kerana ingin tahu.

"Seronok!!! Sebab semua papan iklan kat kelantan ada tulisan jawi. Syok dapat tengok. Kat negeri lain tak de pulak yea." Rakan saya menjawab dengan penuh keterujaan.


Dakwah Si Papan Iklan

Apa yang pasti, perbualan ini masih lagi segar dalam ingatan ini. Hal ini kerana sebelum ini saya tidak menyedari perkara sedemikian. Bukannya selama ini saya tidak perasan akan 'kehadiran' tulisan jawi yang tertera di papan-papan iklan. Namun, apa yang baru saya sedari ialah negeri-negeri lain jarang terpampang papan iklan yang mempunyai tulisan jawi dan tulisan rumi sekali gus. Apatah lagi semua model wanita pada papan-papan iklan di Kelantan 'diwajibkan' untuk bertudung. Lebih membanggakan, kerajaan negeri Kedah juga turut meniru apa yang kerajaan Kelantan telah laksanakan. Tambahan pula, papan-papan iklan juga dapat menghidupkan kembali tulisan-tulisan jawi yang semakin jauh daripada kita.

Model bertudung Fara Fauzana

Maya Karin juga memakai tudung

Tesco dalam tulisan jawi

Toyota

Papan tanda Pasar Borong di Wakaf Che Yeh

Kedai Cina juga ada tulisan jawi

Mc Donald dalam tulisan jawi

Model-model syampu tanpa mendedahkan tudung. Bukankah lebih manis begini?

Iklan Maxis dalam tulisan jawi

Model-model AmBank bertudung

Malahan, terdapat juga papan-papan iklan yang 'berdakwah' supaya kita tahu cara untuk menutup aurat dengan betul.





Papan iklan yang 'berdakwah' supaya kita membaca Al-Quran juga turut ada di Kelantan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ini adalah satu usaha untuk menggalakkan rakyat Kelantan membaca Al-Quran.






Papan Iklan Penyebab Kemalangan?

Apabila bercerita mengenai papan iklan, saya teringat akan satu artikel yang pernah saya baca dalam salah satu akhbar tempatan. Menurut penulis, selalunya kemalangan dikaitkan dengan mentaliti rakyat Malaysia yang gemar memandu dengan laju tanpa mempedulikan pemandu-pemandu lain. Biasanya, kemalangan dikaitkan dengan keadaan jalan atau geografi sesuatu tempat yang berbahaya. Namun, pada kali ini penulis mengemukakan pandangan bahawa salah satu penyebab kemalangan ialah kerana papan iklan itu sendiri. Membaca pandangan penulis tersebut membuatkan saya sedikit tersentak.

Bagaimana papan iklan menjadi penyebab kepada kemalangan?

Menurut penulis, papan-papan iklan yang ada di jalan-jalan raya, mahupun di lebuh raya dapat mengganggu pemandangan pemandu. Para pemandu, lebih-lebih lagi pemandu lelaki mungkin akan terpesona dengan papan-papan iklan yang memaparkan model-model wanita yang kebanyakannya tidak menutup aurat. Malahan, tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat papan-papan iklan yang mendedahkan tempat-tempat yang tidak sepatutnya ditunjukkan oleh seorang wanita. Apabila pemandu melihat papan iklan tersebut, pasti mata terpegun melihat papan iklan tersebut tanpa disedari pemandu tersebut berada dalam pemanduannya. Pandangan penulis tersebut ada benarnya.

Mungkin ada yang berpandangan pemandu tersebut perlu menundukkan pandangan atau mengalihkan pandangannya ke arah lain. Sebagaimana ayat di bawah:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (24:30)


Namun setakat manakah pemandu-pemandu di jalan raya dapat mengalihkan pandangan mereka daripada melihat apa yang sudah terpampang di depan mata. Alternatif yang paling sesuai ialah kita sepatutnya 'menundukkan' papan-papan iklan tersebut. 'Menundukkan' model-model wanita pada papan-papan yang tidak menutup aurat. Itulah sebaiknya. 

Di sini juga saya ingin berkongsi satu kata-kata Imam Al-Ghazali yang saya petik daripada status sahabat 'facebook'.

"Agama Islam adalah asas, pemerintahan (politik) adalah pengawas, tanpa asas menjadi runtuh dan tanpa pengawas menjadi sia-sia. Umat Islam menjadi lemah pegangan agamanya dan hukum Islam banyak menjadi sia-sia kerana politik dipisahkan daripada agama Islam atau Islam menjadi slogan tanpa kuasa politik yang beramal dengan seluruh syariatnya."

Seperti yang sedia maklum, menutup aurat adalah diwajibkan untuk semua orang-orang Islam. Apa salahnya jika model-model di papan-papan iklan diberi kain yang cukup untuk menutup apa yang terdedah yang tidak sepatutnya didedahkan? Apa salahnya menggunakan kuasa yang ada untuk 'memakaikan' tudung kepada model-model di papan-papan iklan? 

Tidak salahkan kita 'mewajibkan' semua model-model bertudung dan menutup aurat? Mudah-mudahan apa yang dipraktikkan oleh kerajaan negeri Kelantan dapat dipraktikkan di seluruh Malaysia. Sama-sama kita doakan. InsyaAllah, satu hari nanti akan terlaksana.

Nota kaki: Gambar-gambar di atas bukanlah daripada inisiatif saya sendiri. Saya menceduknya dari 'Google'.


3 comments:

Assalamualaikum kak.

kak farHana:)
Dupdapdupdap.
Rindu rase.T____T

kak,
Kte xpenah tau pun papan iklan kat kelantan sumee pakai tdung.tulisan jawi plak tu..MasyaAllah..kan bagus kalau satu malaysia wat lagu ni.:D

This comment has been removed by the author.

Wa'alaikumussalam...

Iye KhuZaimah :)
Rindu jiddan dekat zai jugak^_^

Nampak gaya zai kena datang kelantan ni..
tengok sendiri kelantan macam mana :D

InsyaAllah, satu malaysia boleh dilaksanakan macam ni, satu hari nanti.biiznillah

Post a Comment

Sebarang kritikan atau penambahbaikan, dipersilakan :)