Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Monday, 28 November 2011

Permainan vs Perjuangan

"Tengok bola tak malam tadi?" Soal Cik Ning kepada saya dan umi.


Pertanyaan Cik Ning tersebut membuatkan saya tersenyum. Lebih-lebih lagi, soalan beliau berkisarkan perlawanan bola sepak Malaysia menentang Bahrain malam tadi. Cik Ning merupakan adik kepada umi saya. Kami ke rumahnya untuk ziarah, lebih-lebih lagi tok ayah saya tinggal bersama keluarga ibu saudara saya. Semenjak nenek meninggal dunia 14 tahun dahulu, tok ayah lebih selesa untuk tinggal bersama-sama keluarga Cik Ning.


"Tengok. Malaysia kalah." ujar saya menjawab soalan ibu saudara saya.


"Kalau dulu, Cik Ning tak suka sangat tengok bola. Dulu pelik juga dengan budak-budak ni, ralit sangat bila tengok bola. Hairan juga dulu Cik Ning tengok budak-budak ini. Tapi sekarang, dah minat dah. Memang Best tengok bola." Panjang lebar Cik Ning menerangkan tentang 'penghijrahannya' ke arah bola sepak.

Hati saya turut mengiakan pandangan Cik Ning. Saya juga sedemikian. Jika dahulu, saya agak aneh macam mana kaum lelaki (terutamanya), boleh duduk membatu apabila menyaksikan perlawanan bola sepak. Tambahan pula, masa perlawanan yang menjangkau 90++ minit membuatkan saya terfikir, apakah erti harga sebiji bola? Namun, sekarang sedikit sebanyak saya turut terpengaruh untuk turut serta menyaksikan perlawanan bola bersama adik-adik jika melibatkan pasukan Malaysia. Mungkin salah satu faktor yang menyebabkan saya turut berminat untuk menonton bola sepak adalah kerana mutu dan kualiti permainan yang ditonjolkan pasukan Malaysia semakin meningkat. Itu adalah salah satu sebab yang saya dapat kenalpasti.

Sebuah Analogi

Sukan bola sepak mengingatkan saya tentang sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama. Sebagai analogi, penyokong-penyokong bola sepak boleh kita analogikan sebagai mad'u kita. Manakala, pemain-pemain bola sepak pula adalah para dai'e. Permainan bola sepak selama 90++ minit pula merupakan detik perjalanan perjuangan tanpa henti. Bagaimana seorang dai'e berjaya 'mengikat' hati seorang mad'u? Apakah faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada kejayaan sebuah dakwah? Bagaimana dapat memastikan hati-hati mad'u yang ditautkan boleh menjamin kebersamaan dalam perjuangan? Di sini, saya telah membuat analisis berdasarkan permainan bola sepak yang mantap versus dakwah dan perjuangan yang berkesan.

Pertama: Pemain bola sepak


Dalam satu perlawanan, satu pasukan boleh memenangi perlawanan bola sepak apabila pemain tersebut mempunyai persediaan yang cukup sebelum menghadapi perlawanan. Antara persediaan yang diperlukan oleh setiap pemain bola sepak ialah kekuatan stamina, latihan yang mencukupi, kekuatan fizikal dan mental, pengambilan diet makanan seimbang, dan sebagainya.

Dalam hal ini, pemain bola sepak boleh dianalogikan sebagai dai'e. Dalam usaha untuk membina hati-hati mad'u, para dai'e perlu mempunyai persediaan yang cukup sebelum terjun ke gelanggang dakwah. Para dai'e amat memerlukan beberapa suplemen dan antibiotik yang dapat membantu para dai'e supaya 'permainan' dakwah yang dilaksanakan adalah berkesan. Apakah persediaan-persediaan itu?

Salah satu persediaan untuk para dai'e ialah hubungan yang erat dengan Allah. Mana mungkin hubungan dengan Allah yang jauh dapat membantu dai'e dalam setiap perlakuan yang dilakukan. Mana mungkin mutabaah amal seseorang dai'e yang tunggang-langgang dapat menjadi contoh kepada mad'u. Hubungan yang baik dengan Allah boleh diusahakan dengan amalan-amalan seharian seorang dai'e sama ada amalan wajib hatta amalan sunat. Solat lima waktu, membaca dan tadabbur Al-Quran, puasa sunat, solat dhuha, qiamullai dan zikir mathurat adalah beberapa suplemen wajib yang diambil oleh seorang dai'e. Tarbiyyah ruhiyyah sebegini perlu ditekankan dalam diri dai'e supaya hatinya terus tegar walau pelbagai mehnah yang menempuhi sepanjang jalan yang dilaluinya yang bernama perjuangan. Tarbiyyah ruhiyyah juga merupakan salah satu daripada tunjang kekuatan seorang dai'e.

Selain itu, perlunya seorang dai'e mempunyai kefahaman yang mantap dalam thaqafah. Tanpa suplemen ilmu, bagaimanakah seorang dai'e dapat mengajak dai'e ke jalan Allah? Tanpa kefahaman, bagaimanakah keadaan dai'e untuk menjawab segala lontaran persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh mad'u? Justeru, ilmu adalah satu elemen yang perlu dititikberatkan selain mengamalkan ilmu yang diperoleh dengan bermanfaat.



Kedua: Srategi dan corak permainan


Permainan bola sepak menuntut kepada strategi dan corak permainan. Permainan bola sepak yang berkesan boleh dilihat dengan strategi yang telah disusun. Permainan bola sepak yang mantap boleh dilihat sejauh mana corak permainan telah dirancang. Strategi dan corak permainan yang dirancang dengan baik mampu menghasilkan sebuah permainan yang benar-benar memukau semua penonton bola sepak. Strategi dan corak permainan yang tersusun rapi mampu membuatkan penyokong-penyokong bola sepak terus 'istiqamah' di tempat duduknya demi menyaksikan sebuah permainan yang begitu hebat.

Strategi dan corak permainan boleh dianalogikan sebagai strategi dakwah yang disusun untuk mengikat hati-hati dai'e ke jalan Allah. Strategi dakwah perlu disusun dalam proses untuk membina hati-hati supaya hati-hati tersebut terus thabat di jalan Allah. Ibarat kita mahu mengikat bata-bata dengan simen. Sudah tentunya kita akan berusaha untuk memenuhi sukatan acuan simen dan pasir mengikut sukatan yang tepat. Kemudian, kita akan mengikat bata-bata dengan simen secantik mungkin bagi menghasilkan ikatan bata-bata yang utuh. Seterusnya akan menghasilkan sebuah dinding atau rumah yang kukuh kerana acuan dan cara mengikat bata-bata juga cantik. Mungkin para dai'e boleh mengimplementasikan dakwah fardhiah ke atas mad'unya selain tidak mengabaikan marhalah-marhalah dakwah bagi menghasilkan jundi-jundi perjuangan ke jalan Allah.

Ketiga: Semangat berpasukan


Semangat berpasukan juga turut merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada permainan yang tidak mengecewakan. Tanpa semangat berpasukan, mampukah sebiji bola dijaringkan ke dalam gol? Ketidakwujudan semangat berpasukan boleh menyebabkan pergaduhan sesama pemain-pemain dalam pasukan itu sendiri. Dengan semangat berpasukan, pemain-pemain akan saling bekerjasama untuk memastikan target gol tercapai. Malahan, melalui semangat berpasukan juga, pemain-pemain dalam pasukan itu sendiri boleh saling memberi semangat antara satu sama lain.

Justeru, ukhuwwah dalam berjemaah juga boleh menyumbang kepada kejayaan sesebuah dakwah. Ukhuwwah yang erat sesama ahli jemaah dapat dicapai dengan persefahaman, saling mengingatkan antara satu sama lain. Kelonggaran ukhuwwah sesama ahli jemaah boleh menyebabkan variasi penyakit hati yang menjangkiti ahli jemaah itu sendiri seterusnya boleh merebak kepada orang lain. Silap-silap haribulan, ada ahli yang futur disebabkan hubungan yang tidak baik sesama ahli jemaah. Ukhuwwah yang mantap dapat membantu untuk terus kekal dalam perjuangan yang tiada henti.

Keempat: Penyokong-penyokong bola sepak


Corak permainan yang menarik, kemantapan skil dan stamina pemain, semangat berpasukan yang tidak luntur boleh menghasilkan kemenangan yang membuatkan penyokong-penyokong bola terus-menerus bertahan hingga ke akhir perlawanan bola sepak. Penyokong-penyokong akan terus 'istiqamah' di tempat mereka berada apabila permainan yang ditunjukkan adalah menarik dan dapat menjanjikan kemenangan. Kesemua faktor yang dapat membawa kepada kemenangan menyebabkan terus setia kepada pasukan yang disokong.

Sehubungan itu, penyokong-penyokong bola adalah mad'u kepada dai'e. Faktor-faktor yang ada pada dai'e dan corak permainan menyebabkan hati mad'u terpikat dengan dakwah yang dilaksanakan dan janji sebuah perjuangan selain dapat mengikat hati-hati mad'u untuk berusaha terus thabat pada jalan perjuangan. Malahan, mad'u akan tertarik  kepada sebuah medan yang bernama perjuangan yang sudah tentu menjanjikan sebuah kemenangan yang tidak ternilai harganya.

Berdasarkan penulisan saya, itu hanyalah beberapa faktor yang dapat membawa kepada kejayaan sebuah dakwah dan perjuangan itu sendiri. Masih banyak lagi faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan sebuah dakwah dan perjuangan itu sendiri. Saya sendiri masih banyak kekurangan yang perlu perbaiki dalam gelanggang dakwah dan perjuangan ini. Namun, apa yang paling penting, kefahaman kepada sesebuah dakwah dan perjuangan adalah perkara asas yang perlu dihadam dahulu oleh para dai'e.

Pasakkan AL-FAHMU dalam perjuangan, bukan HAMASAH untuk kemasyuran.

p/s: Amat tertarik dengan status beberapa sahabat facebook yang mengaitkan perlawanan bola sepak tempoh hari dengan peristiwa Perang Uhud.




0 comments:

Post a Comment

Sebarang kritikan atau penambahbaikan, dipersilakan :)