Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Saturday, 31 December 2011

Api Keluar Daripada Pokok Yang Hijau

Mungkin, pada setiap minggu kita akan membaca surah yang amat popular dalam kalangan kita, iaitu Surah Yaasin. Mengapa saya mengatakan surah ini amat popular. Hal ini kerana surah ini amat sinonim dengan masyarakat kita untuk membaca surah ini pada malam Jumaat. Saya tidaklah mengatakan surah ini adalah wajib dibaca pada malam Jumaat, namun surah ini seakan-akan sudah menjadi kelaziman masyarakat kita untuk membacanya pada malam Jumaat. Namun, pernahkah kita menadabburi ayat-ayat tersebut? Di sini saya ingin berkongsi satu ayat yang menarik yang terdapat dalam surah ini.

Api Keluar Daripada Pokok Yang Hijau

Api yang keluar daripada pokok yang hijau? Aneh bukan? Mana mungkin api dapat keluar daripada pokok yang hijau. Cuba kita perhatikan maksud pada ayat ke 36 surah Yaasin.


"iaitu (Allah) yang Menjadikan api untukmu dari kayu api yang hijau, maka seketika itu kamu nyalakan (api) dari kayu itu." 

Mungkin ramai yang tertanya-tanya akan maksud ayat tersebut. Bagaimana mungkin kayu api yang hijau dapat menghasilkan api?


Menurut Dr. Danial Zainal Abidin menerusi Halaqah TV9, api yang keluar itu ada kaitan dengan pokok yang hijau. Namun, bagaimanakah pokok yang hijau dapat mengeluarkan api?




Seperti yang sudah kita ketahui, setiap tumbuhan berwarna hijau mengandungi pigmen hijau klorofil. Klorofil terdapat di dalam kloroplas. Klorofil memainkan peranan penting dalama proses fotosintesis yang mana melalui proses fotosintesis, oksigen dihasilkan. Salah satu kegunaan oksigen ialah oksigen diperlukan dalam proses pembakaran.


Tanpa oksigen, pembakaran tidak akan berlaku dan api tidak akan wujud. Maka, inilah yang dimaksudkan dengan pokok hijau yang dapat mengeluarkan api. Melalui proses fotosintesis yang terhasil daripada pokok hijau, oksigen dihasilkan. Dengan kehadiran oksigen, pembakaran dapat berlaku, dan ini menunjukkan api wujud.



Subhanallah, indahkan ayat tersebut? Proses fotosintesis telah lama diceritakan di dalam Al-Quran sebelum manusia menemui proses tersebut.



Wallahu'alam.

Nota kaki: Tafsiran ayat tersebut telah dijelaskan oleh Dr. Zainal Abidin menerusi Halaqah TV9 menerusi tajuk Hijau

Tuesday, 27 December 2011

Cukupkah Sekadar Itu?


Berdebar-debar.

Cuak.

Resah.

Gelabah.

Perasaan yang macam-macam itu membuatkan hati tidak tenang. Semua perasaan tersebut bercampur-baur. Mahu pecah rasanya dada jika hal tersebut tidak dapat diketahui dengan segera.

"Eh, asal pula tidak boleh? Bukan ke 25 haribulan ke? Hari ni kan dah 25." Getus hati saya.

Mata saya masih lagi setia tertancap pada skrin laptop. Jari-jemari masih lagi belum berputus asa untuk terus menaip dan mengklik, memasukkan Id dan password. Namun, mata hanya sekadar mampu memandang page kosong yang keluar setiap kali cuba untuk login ke dalam sistem tersebut.

Setelah banyak kali mencuba, akhirnya terbit rasa putus asa. Dapat dirasakan perasaan hampa menjalar ke seluruh tubuh badan. Mungkin esok betul-betul dah boleh check keputusan peperiksaan semester ini. Saya cuba memujuk diri sendiri. Namun begitu, selagi keputusan peperiksaan belum diketahui, selagi itulah hati tidak dapat tenang. Nampaknya Allah menyuruh saya untuk terus bersabar.

Malam tadi akhirnya keputusan peperiksaan boleh disemak. Terasa rentak jantung tidak tentu hala degupannya. Tidak sabar rasanya mahu mengetahui keputusan tersebut. Apa tidaknya, salah satu kertas semasa peperiksaan tersebut iaitu kertas subjek Kalkulus memang betul-betul mengundang semua muka mencuka, reaksi daripada kertas Kalkulus tidak terduga payah soalannya. Masing-masing hanya berserah dan bertawakkal kepada Yang Maha Esa.

Id dan password sudah dimasukkan. Lantas, butang Enter ditekan. Dek kerana internet yang lambat, butang reload terpaksa ditekan beberapa kali. Akhirnya keputusan yang ditunggu-tunggu akhirnya nampak di pandangan mata.

Saya tergamam.

Kaku sebentar di hadapan skrin laptop.

Seakan tidak percaya.

Minda masih lagi basah teringat akan kehidupan semester ini. Mesyuarat kadang-kadang sampai lewat malam baru boleh bersurai. Kuliah yang kadang-kadang terpaksa diminta kebenaran untuk tidak menghadiri kuliah dek kerana urusan rasmi yang menggesa. Hati yang kadang-kadang sentiasa memendam rasa melihat rakan-rakan lain sibuk membuat assignment di kala diri ini cuba melaksanakan amanah dengan sebaiknya. Masa yang ada cuba dimanfaatkan sebaiknya lebih-lebih lagi diri sudah diinfakkan kepada agama.

"Alhamdulillah." Akhirnya kalimah suci itu keluar juga daripada bibir. Menandakan rasa syukur yang tidak terhingga.

Namun, bagaimanakah cara untuk bersyukur?


Adakah cukup sekadar bibir melantunkan kalimah Alhamdulillah, berzikir dan memuji kebesaran-Nya? Tanda ucapan terima kasih kepadaNya?



Ataupun adakah cukup sekadar melaksanakan sujud syukur setelah mendapat khabar gembira? Berdoa tanda kesyukuran kepadaNya?




Ataupun adakah cukup sekadar meletakkan status "Syukur, Alhamdulillah" di Facebook? Berkongsi rasa bahagia bersama rakan-rakan?

Cukupkah sekadar itu?

Lantas, bagaimanakah cara untuk melahirkan perasaan bersyukur lalu dapat menzahirkan rasa syukur tersebut untuk dipersembahkan kepadaNya?

Apakah itu syukur?

Pendapat Si Anak Kecil Mengenai Syukur

Junaid merupakan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun. Beliau dipelihara oleh bapa saudaranya, Sari al-Saqati sejak kecil lagi. Junaid begitu sayangkan Sari. Sari juga teramat sayang akan anak buahnya itu. Sari umpama bapa kandung Junaid dan guru yang banyak mengajarkan tentang agama sejak beliau masih kecil.

Dari Baghdad mereka berpindah ke Makkah. Sari membawa Junaid ke Masjidilharam. Suasana di dalam masjid itu meriah dengan para pelajar dan cerdik pandai yang berkumpul, berbincang dan bertukar-tukar fikiran mengenai Islam. 

Di suatu sudut, kelihatan empat ratus bijak pandai sedang mengadakan perbincangan. Sari dan Junaid mengikuti perbincangan tersebut. Perbincangan waktu itu adalah berkaitan dengan erti syukur.

Selesai perbincangan, sesi soal jawab dibuka. Pelbagai soalan diajukan dan pelbagai jawapan diberikan. masing-masing memberikan jawapan yang dirasakan paling tepat. Sari kemudian cuba mengalih perhatian orang-orang bijak pandai itu supaya mendengar jawapan daripada anak saudaranya.

"Apa pendapatmu mengenai syukur?" tanya Sari kepada Junaid.

Ahli bijak pandai terkejut melihat Sari beria-ria meminta pandangan anak buahnya. Mereka memandang Junaid yang berada di sebelah Sari. Kelihatan seorang budak yang berwajah serius dan tidak ada gentar pada wajahnya.

"Syukur bererti kita sekali-kali tidak menyalahgunakan pemberian Tuhan yang diberikan kepada kita dan tidak sekali-kali memanfaatkan pemberian itu sebagai punca keingkaran."

Jawapan anak kecil tersebut ternyata memeranjatkan ahli bijak pandai yang ternyata jawapan tersebut berbeza daripada pendapat dan jawapan mereka.

Bersyukur Sepanjang Masa

Alhamdulillah, walaupun natijah imtihan saya tidaklah sebagus rakan-rakan yang lain, namun saya sangat-sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan. Biarpun ramai rakan-rakan mendapat natijah yang mumtaz, ini tidak menghalang saya untuk berasa gembira dengan pencapaian mereka. Semoga natijah yang kita peroleh dapat menjadi pemangkin kepada kita untuk lebih menyumbang dan memberi manfaat kepada agama. InsyaAllah.

Bagi yang kurang bernasib baik, ketahuilah kalian rezeki Allah bukanlah sekadar natijah imtihan ini semata-mata. Sesungguhnya Dia sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik buat kita semua. Namun, jangan disempitkan pemikiran dengan memperoleh natijah imtihan yang cemerlang sahaja perlu kita melantunkan kalimah Alhamdulillah, tanda melahirkan rasa syukur. Banyak lagi perkara-perkara lain yang sangat-sangat penting yang kadang-kadang kita terlupa untuk bersyukur kepadaNya.

Alhamdulillah, syukur kerana pada hari ini kita masih mampu membuka mata, setelah 'dimatikan' seketika. Alhamdulillah, syukur kita masih mampu menggerakkan anggota tubuh badan, di saat ada yang menderita dengan kesihatan. Alhamdulillah, kita masih mampu lagi makan makanan yang lazat-lazat tatkala ada insan tidak dapat makanan yang lazat dan berzat.

Kadangkala kita terlupa untuk bersyukur atas nikmat-nikmat yang diberikan. Kadangkala kita sering menyalahgunakan pemberian daripada Allah. Kadangkala pemberian yang kita peroleh menjadi punca kita ingkar terhadap suruhan dan laranganNya.

Tatkala kita seringkali terlupa untuk bersyukur kepadaNya, namun Dia masih lagi menambah nikmat kepada kita, tanda untuk menyedarkan kita untuk tidak lupa terus bersyukur. Pesan diri saya kepada diri saya sendiri terutamanya, bersyukurlah sepanjang masa. Bukan hanya perlu bersyukur tatkala mendapat khabar gembira semata-mata.

Apa-apa pun, bersyukurlah kerana kita masih dikurniakan dua nikmat yang terbesar, iaitu nikmat iman dan Islam.

Syukur. Alhamdulillah.






Wednesday, 21 December 2011

Ini Bukan Cerita Hudud

"Kalau saya jumpa pencuri tu, tahulah nasib dia macam mana nanti!" 

"Encik, nanti kenakan hukuman yang paling berat kalau dapat tangkap pencuri tu nanti. Dah beribu-ribu saya habiskan untuk beli emas tu tau! Tiba-tiba je kena kebas macam tu je!

Itu adalah antara dialog yang mungkin kita pernah dengar apabila terdapat kes kecurian.

Ada yang sangat-sangat germa dengan pencuri itu.

Ada yang dikuasai dengan amarah yang menggunung tinggi.

Ada yang sedih meratapi nasib menimpanya kerana barang yang disimpan.

Namun, pernahkah kita memikirkan akan nasib pencuri itu?

Ali Menangisi Pencuri

"Orang penuh sesak di sini. Pastikan kamu sentiasa rapat dengan ayah." Pesan Fadhil kepada anak lelakinya yang masih kecil.

Pada suatu musim haji iaitu musim bagi orang Islam berkumpul di Kota Makkah bagi menunaikan rukun Islam kelima., seorang bapa bersama Fadhil bersama anak lelakinya yang masih kecil turut serta.

Kanak-kanak itu bernama Ali bin Fadhil. Fadhil sengaja membawa anaknya bersama bagi membiasakan diri dengan suasana menunaikan rukun Islam kelima itu.

Semasa mengelilingi Kaabah bersama ribuan orang Islam, tanpa disedari dompetnya dicuri. Dia hanya menyedarinya selepas selesai tawaf mengelilingi Kaabah.

"Oh, dompet saya hilang!"

"Mengapa?" tanya ayahnya apabila mendengar Ali bercakap sendirian.

"Dompet saya hilang."

"Dompet kamu hilang?"

"Ya. Bukan rezeki saya untuk memilikinya."

Terpinga-pinga Fadhil mendengar kata-kata anaknya yang begitu tenang dan lapang dada walaupun dalam keadaan begitu. Beliau berlalu pergi meninggalkan Ali bagi menguruskan keperluan.

Selang beberapa ketika, Fadhil kembali kepada Ali. Semasa itu anaknya sedang menangis teresak-esak. Beliau segera mendekati anaknya dengan penuh tanda tanya bercampur hairan.

"Mengapa kamu menangis?"

Ali menangis sehingga sukar menjawab pertanyaan ayahnya. Sedu sedannya semakin kuat.



"Adakah kamu menagis kerana dompet dan wang kamu dicuri tadi? Janganlah sedih lagi. Nanti ayah gantikan yang lebih baik daripada itu."

Ali mengelengkan kepala dalam sedu. Dia berusaha mengawal tangisannya.

"Tidak. Bukan. Bukan keranan itu."

"Sekiranya bukan itu sebabnya, jelaskan kepada ayah mengapa kamu menangis."

Fadhil mendekati anaknya yang masih kedengaran tersedu-sedan. Beliau mengusap lembut kepalanya dan memberi ruang supaya anaknya dapat meluahkan perasaan.

"Saya menangis sebab sedih memikirkan nasib orang mencuri dompet dan wang saya itu."

Kamu menangisi pencuri yang mencuri dompet kamu?"

Ali mengangguk.

"Mengapa pula kamu sedihkan dia?"


"Bagaimanalah dia di hadapan Allah di akhirat nanti!"


Fadhil terkedu mendengar kata-kata anaknya yang masih diselangi dengan tangis dan sedu itu.

"Kamu risaukan nasib pencuri itu di hadapan Allah kelak?"

Ali hanya mampu mengangguk. Fadhil merenung dengan penuh kasih sayang wajah anaknya Ali. Walaupun masih kanak-kanak tetapi beliau sudah mampu memikirkan hal yang jauh ke hadapan.

Ini Bukan Cerita Hudud

"Cik Ros ada jumpa ustaz selepas kejadian tu. Ustaz tu suruh Cik Ros solat hajat, tenangkan diri. Kemudian ustaz tu suruh redhakan pasal kejadian tu. Mungkin bukan rezeki Cik Ros kot." ujar ibu saudara saya yang dikenali dengan Cik Ros mengakhiri kisah kejadian yang berlaku menimpanya.

 Saya hanya terpaku mendengar. Siapa sangka kecurian boleh berlaku usai majlis perkahwinan berlangsung. Usai tuan rumah dan saudara-mara sibuk untuk menyambut kehadiran pengantin lelaki, terdapat beberapa manusia yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang untuk membawa pulang hasil curi sebagai 'goodies' sempena majlis perkahwinan. Tatlaka tetamu kenyang dengan gulai kawah, 'tetamu' tersebut 'kenyang' dengan hasil curi tersebut. Semasa seluruh ahli keluarga dan semua orang gembira meraikan pengantin, orang tersebut gembira kerana mendapat hasil beribu-ribu ringgit untung.

Dua beg tangan yang terdapat dompet, duit, kad bank, kad pengenalan dan telefon bimbit dikebas. Satu beg tangan milik sepupu saya dan satu lagi milik Cik Ros dikebas pencuri tanpa disedari. Malahan, sebuah Ipad juga turut menjadi habuan pencuri tersebut.

Tidak siapa sangka beg tangan yang diletakkan di dapur boleh dicuri orang. Tidak terfikir pun yang Ipad yang tengah dicas di dalam bilik dibolot begitu sahaja. Tidak terlintas langsung, pencuri boleh menyamar menjadi tetamu boleh membuat kerja-kerja sedemikian tatkala semua orang tengah sibuk.

Siapa sangka kan?

Laporan polis sudah dibuat. Namun untuk mendapatkan kembali semua benda yang hilang itu adalah mustahil. Ibu saudara dan sepupu saya redha dengan apa yang berlaku. Menganggap itu bukan rezeki mereka. Dan seluruh ahli keluarga juga bertindak untuk berjaga-jaga pada majlis perkahwinan akan datang.

Pernahkah kita menjadi seperti Ali dalam kisah di atas, memikirkan nasib pencuri di akhirat kelak? Setiap perbuatan yang dilakukan, pasti ada balasan yang setimpal dikenakan.

Ini bukan cerita hudud. Ini adalah cerita seorang kanak-kanak yang menangisi memikirkan nasib pencuri tersebut. 

Apa-apa pun, jom kita layan Oley! Sebuah cerita yang memberi pencerahan berkaitan dengan hudud.

Oley!


Thursday, 15 December 2011

Rahsiakan Sehingga Tiba Saatnya

Kegembiraan jelas terpancar di muka masing-masing. Keceriaan yang terserlah tidak dapat dilindung lagi oleh kedua-dua belah pihak, sama ada rombongan lelaki mahupun rombongan perempuan. Dan ternyata, air muka bahagia jelas terpercik pada tuan badan empunya dalam satu majlis yang melibatkan kedua-dua belah pihak.

Cincin tersarung manis menandakan sudah ada yang punya.

Hantaran-hantaran di atas pahar cantik dengan hiasan yang beraneka.

Senyum lebar terpampang menandakan lega kerana majlis diatur berjalan sebaiknya.

Itulah yang saya dapat saya dapat simpulkan pada beberapa keping gambar yang diupload dalam satu album. Gambar-gambar yang diupload oleh teman-teman yang saya lihat dalam ruangan sosial popular, Facebook.

Saya berasa gembira.

Saya tumpang bahagia.

Namun, antara gembira dan bahagia, rasanya perasaan sedih dan terkilan lebih menguasai hati saya.

Sedih bukan bermakna saya tidak suka dengan status teman-teman saya yang telah disandang. Rasa terkilan bukan disebabkan dek rasa cemburu atas kebahagiaan teman-teman saya sendiri. Saya berasa teruja dengan kebahagiaan yang dimiliki teman-teman sekolah saya.

Namun, apa yang membuatkan saya terkilan dan berasa sedih ialah gambar-gambar yang diupload adalah sempena majlis pertunangan mereka. Bukan seorang teman saya berbuat demikian, malah teman-teman yang lain yang mempunyai status bertunang begitu teruja mengupload gambar-gambar sempena majlis pertunangan.

Rahsiakan Pertunangan

Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada kita:

"Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan." (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu 'anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa' al-Ghalil)



Pertunangan tidak perlu dihebah-hebahkan kepada umum. Cukuplah sekadar dimaklumkan kepada ahli keluarga dan sahabat handai terdekat sahaja. Hal ini kerana status tunang bukanlah tiket yang menentukan bahawa akad akan termeterai. Boleh jadi pertunangan akan disusuli dengan perkahwinan. Namun, kemungkinan juga boleh terjadi sekiranya hubungan tersebut akan terputus di tengah jalan, yang akan membabitkan soal maruah keluarga. Terselit sebuah hikmah untuk tidak mewar-warkan pertunangan iaitu pertunangan akan lebih terjaga daripada hasad manusia yang berniat tidak baik.

Lebih Elok Begini

Duhai teman yang saya sayang. Elakkan mengupload gambar pertunangan di Facebook untuk berkongsi rasa gembira. Rasa gembira masih boleh dikongsi dengan ahli keluarga dan sahabat handai terdekat sahaja. Jangan letakkan pautan 'bertunang' pada profil di facebook. Cukuplah perhubungan itu disimpan kemas oleh kedua-dua belah keluarga. Tidak perlu memberitahu seantero dunia akan sebuah pertunangan itu. Apabila sudah tiba masanya untuk melangsungkan perkahwinan, hebahkanlah kepada semua. Moga tempoh pertunangan kalian senantiasa dilimpahi barakah.

Seronok saya melihat seorang akhowat ini, merangkap senior saya yang tidak mewar-warkan pertunangan beliau. Seterusnya, beliau menghebahkan perkahwinan dan walimah beliau. Lebih teruja, beliau tidak mengupload gambar yang menunjukkan gambar perkahwinan beliau bersama suami. Hanya gambar beberapa hantaran dan gambar cincin di jari sahaja diupload, menunjukkan beliau sudah bergelar isteri orang. 

Kepada teman-teman yang sudah bertunang, saya menunggu jemputan ke walimah kalian. InsyaAllah, saya akan menghadirinya untuk berkongsi rasa bahagia dengan kalian semua.


Sunday, 11 December 2011

Mana Milik Kita?

"Kalau tak suka, pulangkan." Lembut sahaja ungkapan si bapa mentua kepada menantunya. Walaupun kata-kata itu lembut, tetapi kata-kata itu amat tajam dan terkena kepada menantu tersebut.

Dialog di atas merupakan salah satu dialog dalam sebuah drama dalam televisyen yang saya sudah lupa tajuknya. Kata-kata tersebut amat memberi kesan pada hati. Biarpun sebuah drama, namun kata-kata tersebut mampu membuatkan saya termangu seketika, seolah-olah sayalah watak menantu dalam drama tersebut.

Drama tersebut mengisahkan tentang seorang lelaki (menantu) yang mempunyai seorang isteri yang sarat mengandung dan tiga anak lelaki. Semenjak lelaki tersebut rapat dengan seorang wanita di tempat kerjanya, apa sahaja berkaitan dengan wanita itu, semuanya adalah betul dan manis. Akan tetapi, rumah yang beliau diami bersama isteri dan anak-anak seolah-olah sebuah neraka. Isteri dan anak-anak ibarat mengganggu keharmonian dirinya. Setiap langkah dan perbuatan isteri dan anak-anak, ada sahaja yang tidak kena pada pandangan lelaki tersebut. Hinggalah suatu hari, beliau mendapati isteri dan anak-anaknya meninggal dunia dalam keadaan penuh tragis di rumah mereka sendiri akibat dirompak.

Kalau tidak suka, pulangkan.

Itulah kata bapa mentua kepada menantunya. Dan saat itu, lelaki tersebut baru mula menyedari sebuah kehilangan yang berkekalan yang tidak akan pulang-pulang. Detik itu, lelaki tersebut mula menghargai sebuah permata yang tidak ternilai harganya iaitu, isteri dan anak-anaknya. Isteri dan anak-anaknya sudah dipulangkan kembali kepada Yang Maha Esa. Isteri dan anak-anaknya hanyalah pinjaman sementara daripada Yang Maha Kuasa.

Bagaimana dengan kita? Berapa kalikah kita sedar bahawa kita adalah bukan siapa-siapa. Diri kita ini hanyalah pinjaman darinya. Jasad kita ini akan dikembalikan kepada Yang Menciptakan kita. Adakah kita sedar?

Mana Milik Kita?


Mungkin saat ini kita berasa bangga dengan kejayaan yang kita gapai. Mungkin saat ini kita bermegah-megah dengan kereta mewah menjadi milik kita. Mungkin saat ini kita mendabik dada kitalah yang paling hebat berbanding yang lain. Mungkin saat ini kita gembira kerana kita dipuji. Mungkin saat ini kita seronok yang lain dikeji. Mungkin saat ini kita berasakan apa sahaja yang ada pada diri kita adalah milik kita. Lantas, adakah semuanya adalah milik kita?

Ada masa kita yakin bahawa segala yang ada adalah milik kita. Tidak mungkin badan kita ini milik orang lain sedangkan kita sendiri mengawalnya. Bukankah begitu?

Kita boleh angkat tangan bila kita suka.

Kita boleh melangkah ke mana-mana selagi kita terdaya.

Kita boleh membuka mulut dan makan makanan yang lazat mengikut kehendak kita.

Semuanya kita boleh kawal. Jadi, badan kita adalah milik kita. Bukankah begitu?

Namun, jangan kita lupa. Adakah kita pasti kita dapat mengawal segalanya pada badan kita?

Adakah kita dapat mengawal degupan jantung kita?

Adakah kita dapat mengawal kadar metabolisme dalam badan kita?

Adakah kita dapat mengawal proses peristalsis yang membantu pencernaan kita?

Jadi, jika kita sendiri tidak dapat mengawalnya, siapakah  yang mengawal semua itu?

Jika begitu, jika kita bukan pemilik badan kita sendiri, siapakah pemiliknya?




Jangan Jadi Namrud

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintah?

Ketika Nabi Ibrahim berkata, "Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Mematikan."

Dia berkata, "Aku pun dapat menghidupkan dan mematikan."

Ibrahim berkata, "Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dari barat."

Maka, tercenganglah orang yang kafir itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Dialog di atas merupakan petikan daripada ayat 258, surah Al-Baqarah. Ayat tersebut menyatakan Nabi Ibrahim berhujah dengan Raja Namrud yang menganggap dirinya sebagai Tuhan. Ketika Namrud berkata bahawa dia pun dapat menghidupkan dan mematikan adalah bermaksud bahawa Namrud dapat menghidupkan orang dengan membiarkan orang terus hidup. Manakala mematikan orang adalah dengan membunuh orang tersebut.

Kemudian, Namrud membakar Nabi Ibrahim dengan julangan api yang tinggi. Dengan kuasa Allah, api tersebut menjadi sejuk sekali gus menyelamatkan Nabi Ibrahim. Seterusnya Namrud cuba melawan Nabi Ibrahim dengan tenteranya yang lengkap. Lantas, Allah membantu Nabi Ibrahim dengan mengirimkan tentera nyamuk. Dengan kuasa Allah, nyamuk-nyamuk tersebut menghisap darah tentera Namrud dan memerintahkan kepada nyamuk agar menunda penyeksaan ke atas Namrud. Maka, nyamuk-nyamuk membiarkan Namrud pulang ke istananya.

Ketika telah dekat seksaan untuk Namrud, lalu Allah memerintahkan seekor nyamuk untuk menjalankan tugas tersebut. Nyamuk itu berkeliling di sebatang pohon selama tiga hari. Kemudian, nyamuk itu masuk ke dalam kepada Namrud melalui lubang hidungnya. Namrud berasa sakit dan mengarahkan rakyatnya mengetuk kepalanya dengan kasut. Bila diketuk dengan kasut, dia berasa lega. Akhirnya nyamuk tersebut memakan otak Namrud selama 40 hari. 

Begitu besar sifat pengasih dan penyayang Allah. Allah tidak menyeksa Namrud dengan segera, tetapi masih diberi masa untuk bertaubat. Masa tiga hari yang diberikan tidak digunakan oleh Namrud untuk menerima kebenaran Allah. Maka, jadilah Namrud tergolong ke dalam orang-orang yang dimurkai Allah.

Semua Allah Yang Punya

Semua yang ada, bukanlah milik kita. Segala-galanya hanyalah pinjaman daripada-Nya. Kita sendiri adalah pinjaman yang sementara yang akan dikembalikan pabila sampai waktunya. Sedarlah kita semua bahawa semuanya adalah tidak kekal menjadi milik kita. 

Oleh itu, bermujahadahlah melawan nafsu. Hargailah diri sebelum diambil kembali. Apakah kita hanya baru tahu menghargai setelah roh dipisahkan daripada jasad? Berusahalah untuk terus mengoptimumkan ibadah kita kepada-Nya. Supaya nanti kita berupaya memperoleh syurga abadi yang boleh menjadi milik kita bersama.

Mana milik kita - Rabbani



Nota kaki: Cerita Nabi Ibrahim dan Namrud diambil dari sini


Tuesday, 6 December 2011

Ini Bukan Cobaan, Ini Betul-Betul


Tengah hari semalam, saya meluangkan masa untuk menonton televisyen lantaran tiada apa yang boleh dilakukan. Tika itu, saya masih berada di Seremban dan menunggu detik jam 9 malam untuk bertolak ke Stesen Kereta Api Seremban. Tiada rancangan yang dapat menarik, lantas saya membelek satu demi satu rancangan televisyen. Akhirnya satu rancangan di Astro Oasis berjaya menambat hati saya. Sebuah rancangan yang dinamakan Cubaan. Rancangan ini pada pandangan peribadi saya adalah sebuah rancangan yang mirip kepada Bang Bang Boom dan juga Law Kanana Bainana. Rancangan ini adalah untuk 'mengenakan' orang tetapi dalam 'mengenakan' orang lain, terdapat ibrah yang dapat kita ambil dalam meniti hari-hari  yang kita sendiri tidak pasti saat manakah nafas kita akan dihenti.

Di awal rancangan, pengacara rancangan Cubaan, iaitu Ustaz Akil Hayy telah memilih secara rambang orang-orang yang berada di sekelilingnya. Kemudian, beliau ingin mendengar orang yang terpilih untuk melafazkan kalimah syahadah dan juga zikir istighfar. Alhamdulillah, kebanyakan orang yang terpilih itu dapat melafazkan kalimah syahadah dengan baik. Apa yang membuatkan hati saya tersentuh ialah apabila saya mendapati masih ada lagi dalam kalangan umat Islam di negara kita tidak dapat menyebut lafaz istighfar dengan betul. Malahan, masih ada yang belum mampu menyambung lafaz istighfar. Sungguh menyedihkan bukan? Seorang yang sudah Islam semenjak dilahirkan, perkataan Islam sudah tercetak pada kad pengenalan usai umur mencecah 12 tahun, namun masih belum dapat melafazkan istighfar dengan betul.

Seterusnya, seorang krew rancangan, Adi telah melakukan satu lakonan untuk melihat reaksi dan tindakan masyarakat sekeliling. Dalam rancangan tersebut, Adi telah berpura-pura tidak sedarkan diri dalam keadaan beliau berada di tempat pemandu di dalam kereta. Beliau 'pengsan' dengan kepala yang berada di stereng kereta, betul-betul terkena pada hon. Keadaan itu menyebabkan hon kereta berbunyi secara berterusan kerana Adi 'tidak sedarkan diri'. Segmen tersebut sebenarnya ingin melihat bagaimana orang sekeliling bertindak lantaran suasana yang teramat bising dengan bunyi hon kereta yang tiada henti. Kemudian, datanglah seorang pemuda dan mengetuk-ngetuk cermin tingkap bahagian pemandu. Di sini dapat dilihat pemuda terbabit benar-benar bimbang melihatkan Adi yang pengsan itu. Tambahan pula, situasi tersebut yang berterusan pasti membingitkan telinga orang sekeliling.

Ini Betul-betul

Walaupun rancangan tersebut adalah sebuah rancangan dalam televisyen, namun di luar kotak televisyen, secara realitinya, perkara-perkara seperti di atas memang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Walaupun rancangan tersebut dinamakan Cubaan, namun di luar rancangan tersebut, situasi-situasi di atas adalah situasi yang betul-betul terjadi.

Masih ada yang tidak mengucap kalimah syahadah dengan betul.

Masih ada yang lupa lafaz istighfar.

Masih ada yang tidak tahu membaca Al-Quran.

Masih ada yang tidak tahu bersolat.

Ummah kita makin parah. Jika dibiarkan akan terus bernanah. Jika tidak diberi rawatan, pasti akan terus merebak dan merebak. Lantas, apakah kita hanya mahu membiarkan penyakit-penyakit ini terus merebak? Apakah kita hanya mahu membiarkan saudara-saudara kita terus hidup secara Islam hanya di atas nama Islam pada sekeping kad pengenalan semata-mata tanpa menghayati dan mengamalkan Islam sebagai cara hidup?

Qum Faanzir!!!

Masyarakat Islam pada masa kini begitu sibuk dengan urusan-urusan duniawi sehingga mengabaikan segala ibadat dan perintah Allah. Teringat saya akan suatu analogi nukilan Syeikh Mustafa Masyur dalam buku Dakwah Fardiyyah. Orang yang sibuk dan lalai itu umpama sekumpulan manusia yang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur.

Dalam kalangan manusia yang sedang nyenyak tidur, terdapat mereka yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling, tetapi tidak mampu memadamkan api yang sedang membakar. Ketika itu, kewajipan mereka ialah segera membangunkan manusia yang nyeyak tidur supaya setiap mereka menyedari keadaan masing-masing dan menjauhkan diri daripada api.

Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka yang tidur daripada bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka terjaga daripada tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana mereka sedang nyeyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu barulah diberi peringatan.

Justeru, kita sebagai orang yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling, kejutkanlah orang sekeliling kita terlebih dahulu dengan sentuhan-sentuhan dakwah mengikut marhalah-marhalah dan uslub-uslub dakwah yang telah dijelaskan oleh Syeikh Mustafa Masyur. Adalah menjadi kewajipan kita untuk mengejutkan mereka daripada lena diulit mimpi indah palsu duniawi. Sebagaimana dalam ayat kedua, surah Al-Muddatstsir;


قُمْفَأَنْذِرْ

bangunlah, lalu berikan peringatan!



Oleh itu, ayuhlah kita semua sama-sama mengetuk hati-hati mereka di luar sana sebagaimana pemuda dalam rancangan Cubaan mengetuk pintu kereta untuk menghentikan bunyi hon yang membingitkan telinga! 

Ini bukan cobaan, ini betul-betul!

Qum faanzir!