Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Tuesday, 27 December 2011

Cukupkah Sekadar Itu?


Berdebar-debar.

Cuak.

Resah.

Gelabah.

Perasaan yang macam-macam itu membuatkan hati tidak tenang. Semua perasaan tersebut bercampur-baur. Mahu pecah rasanya dada jika hal tersebut tidak dapat diketahui dengan segera.

"Eh, asal pula tidak boleh? Bukan ke 25 haribulan ke? Hari ni kan dah 25." Getus hati saya.

Mata saya masih lagi setia tertancap pada skrin laptop. Jari-jemari masih lagi belum berputus asa untuk terus menaip dan mengklik, memasukkan Id dan password. Namun, mata hanya sekadar mampu memandang page kosong yang keluar setiap kali cuba untuk login ke dalam sistem tersebut.

Setelah banyak kali mencuba, akhirnya terbit rasa putus asa. Dapat dirasakan perasaan hampa menjalar ke seluruh tubuh badan. Mungkin esok betul-betul dah boleh check keputusan peperiksaan semester ini. Saya cuba memujuk diri sendiri. Namun begitu, selagi keputusan peperiksaan belum diketahui, selagi itulah hati tidak dapat tenang. Nampaknya Allah menyuruh saya untuk terus bersabar.

Malam tadi akhirnya keputusan peperiksaan boleh disemak. Terasa rentak jantung tidak tentu hala degupannya. Tidak sabar rasanya mahu mengetahui keputusan tersebut. Apa tidaknya, salah satu kertas semasa peperiksaan tersebut iaitu kertas subjek Kalkulus memang betul-betul mengundang semua muka mencuka, reaksi daripada kertas Kalkulus tidak terduga payah soalannya. Masing-masing hanya berserah dan bertawakkal kepada Yang Maha Esa.

Id dan password sudah dimasukkan. Lantas, butang Enter ditekan. Dek kerana internet yang lambat, butang reload terpaksa ditekan beberapa kali. Akhirnya keputusan yang ditunggu-tunggu akhirnya nampak di pandangan mata.

Saya tergamam.

Kaku sebentar di hadapan skrin laptop.

Seakan tidak percaya.

Minda masih lagi basah teringat akan kehidupan semester ini. Mesyuarat kadang-kadang sampai lewat malam baru boleh bersurai. Kuliah yang kadang-kadang terpaksa diminta kebenaran untuk tidak menghadiri kuliah dek kerana urusan rasmi yang menggesa. Hati yang kadang-kadang sentiasa memendam rasa melihat rakan-rakan lain sibuk membuat assignment di kala diri ini cuba melaksanakan amanah dengan sebaiknya. Masa yang ada cuba dimanfaatkan sebaiknya lebih-lebih lagi diri sudah diinfakkan kepada agama.

"Alhamdulillah." Akhirnya kalimah suci itu keluar juga daripada bibir. Menandakan rasa syukur yang tidak terhingga.

Namun, bagaimanakah cara untuk bersyukur?


Adakah cukup sekadar bibir melantunkan kalimah Alhamdulillah, berzikir dan memuji kebesaran-Nya? Tanda ucapan terima kasih kepadaNya?



Ataupun adakah cukup sekadar melaksanakan sujud syukur setelah mendapat khabar gembira? Berdoa tanda kesyukuran kepadaNya?




Ataupun adakah cukup sekadar meletakkan status "Syukur, Alhamdulillah" di Facebook? Berkongsi rasa bahagia bersama rakan-rakan?

Cukupkah sekadar itu?

Lantas, bagaimanakah cara untuk melahirkan perasaan bersyukur lalu dapat menzahirkan rasa syukur tersebut untuk dipersembahkan kepadaNya?

Apakah itu syukur?

Pendapat Si Anak Kecil Mengenai Syukur

Junaid merupakan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun. Beliau dipelihara oleh bapa saudaranya, Sari al-Saqati sejak kecil lagi. Junaid begitu sayangkan Sari. Sari juga teramat sayang akan anak buahnya itu. Sari umpama bapa kandung Junaid dan guru yang banyak mengajarkan tentang agama sejak beliau masih kecil.

Dari Baghdad mereka berpindah ke Makkah. Sari membawa Junaid ke Masjidilharam. Suasana di dalam masjid itu meriah dengan para pelajar dan cerdik pandai yang berkumpul, berbincang dan bertukar-tukar fikiran mengenai Islam. 

Di suatu sudut, kelihatan empat ratus bijak pandai sedang mengadakan perbincangan. Sari dan Junaid mengikuti perbincangan tersebut. Perbincangan waktu itu adalah berkaitan dengan erti syukur.

Selesai perbincangan, sesi soal jawab dibuka. Pelbagai soalan diajukan dan pelbagai jawapan diberikan. masing-masing memberikan jawapan yang dirasakan paling tepat. Sari kemudian cuba mengalih perhatian orang-orang bijak pandai itu supaya mendengar jawapan daripada anak saudaranya.

"Apa pendapatmu mengenai syukur?" tanya Sari kepada Junaid.

Ahli bijak pandai terkejut melihat Sari beria-ria meminta pandangan anak buahnya. Mereka memandang Junaid yang berada di sebelah Sari. Kelihatan seorang budak yang berwajah serius dan tidak ada gentar pada wajahnya.

"Syukur bererti kita sekali-kali tidak menyalahgunakan pemberian Tuhan yang diberikan kepada kita dan tidak sekali-kali memanfaatkan pemberian itu sebagai punca keingkaran."

Jawapan anak kecil tersebut ternyata memeranjatkan ahli bijak pandai yang ternyata jawapan tersebut berbeza daripada pendapat dan jawapan mereka.

Bersyukur Sepanjang Masa

Alhamdulillah, walaupun natijah imtihan saya tidaklah sebagus rakan-rakan yang lain, namun saya sangat-sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan. Biarpun ramai rakan-rakan mendapat natijah yang mumtaz, ini tidak menghalang saya untuk berasa gembira dengan pencapaian mereka. Semoga natijah yang kita peroleh dapat menjadi pemangkin kepada kita untuk lebih menyumbang dan memberi manfaat kepada agama. InsyaAllah.

Bagi yang kurang bernasib baik, ketahuilah kalian rezeki Allah bukanlah sekadar natijah imtihan ini semata-mata. Sesungguhnya Dia sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik buat kita semua. Namun, jangan disempitkan pemikiran dengan memperoleh natijah imtihan yang cemerlang sahaja perlu kita melantunkan kalimah Alhamdulillah, tanda melahirkan rasa syukur. Banyak lagi perkara-perkara lain yang sangat-sangat penting yang kadang-kadang kita terlupa untuk bersyukur kepadaNya.

Alhamdulillah, syukur kerana pada hari ini kita masih mampu membuka mata, setelah 'dimatikan' seketika. Alhamdulillah, syukur kita masih mampu menggerakkan anggota tubuh badan, di saat ada yang menderita dengan kesihatan. Alhamdulillah, kita masih mampu lagi makan makanan yang lazat-lazat tatkala ada insan tidak dapat makanan yang lazat dan berzat.

Kadangkala kita terlupa untuk bersyukur atas nikmat-nikmat yang diberikan. Kadangkala kita sering menyalahgunakan pemberian daripada Allah. Kadangkala pemberian yang kita peroleh menjadi punca kita ingkar terhadap suruhan dan laranganNya.

Tatkala kita seringkali terlupa untuk bersyukur kepadaNya, namun Dia masih lagi menambah nikmat kepada kita, tanda untuk menyedarkan kita untuk tidak lupa terus bersyukur. Pesan diri saya kepada diri saya sendiri terutamanya, bersyukurlah sepanjang masa. Bukan hanya perlu bersyukur tatkala mendapat khabar gembira semata-mata.

Apa-apa pun, bersyukurlah kerana kita masih dikurniakan dua nikmat yang terbesar, iaitu nikmat iman dan Islam.

Syukur. Alhamdulillah.






0 comments:

Post a Comment

Please drop your comments here 😉