Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Tuesday, 6 December 2011

Ini Bukan Cobaan, Ini Betul-Betul


Tengah hari semalam, saya meluangkan masa untuk menonton televisyen lantaran tiada apa yang boleh dilakukan. Tika itu, saya masih berada di Seremban dan menunggu detik jam 9 malam untuk bertolak ke Stesen Kereta Api Seremban. Tiada rancangan yang dapat menarik, lantas saya membelek satu demi satu rancangan televisyen. Akhirnya satu rancangan di Astro Oasis berjaya menambat hati saya. Sebuah rancangan yang dinamakan Cubaan. Rancangan ini pada pandangan peribadi saya adalah sebuah rancangan yang mirip kepada Bang Bang Boom dan juga Law Kanana Bainana. Rancangan ini adalah untuk 'mengenakan' orang tetapi dalam 'mengenakan' orang lain, terdapat ibrah yang dapat kita ambil dalam meniti hari-hari  yang kita sendiri tidak pasti saat manakah nafas kita akan dihenti.

Di awal rancangan, pengacara rancangan Cubaan, iaitu Ustaz Akil Hayy telah memilih secara rambang orang-orang yang berada di sekelilingnya. Kemudian, beliau ingin mendengar orang yang terpilih untuk melafazkan kalimah syahadah dan juga zikir istighfar. Alhamdulillah, kebanyakan orang yang terpilih itu dapat melafazkan kalimah syahadah dengan baik. Apa yang membuatkan hati saya tersentuh ialah apabila saya mendapati masih ada lagi dalam kalangan umat Islam di negara kita tidak dapat menyebut lafaz istighfar dengan betul. Malahan, masih ada yang belum mampu menyambung lafaz istighfar. Sungguh menyedihkan bukan? Seorang yang sudah Islam semenjak dilahirkan, perkataan Islam sudah tercetak pada kad pengenalan usai umur mencecah 12 tahun, namun masih belum dapat melafazkan istighfar dengan betul.

Seterusnya, seorang krew rancangan, Adi telah melakukan satu lakonan untuk melihat reaksi dan tindakan masyarakat sekeliling. Dalam rancangan tersebut, Adi telah berpura-pura tidak sedarkan diri dalam keadaan beliau berada di tempat pemandu di dalam kereta. Beliau 'pengsan' dengan kepala yang berada di stereng kereta, betul-betul terkena pada hon. Keadaan itu menyebabkan hon kereta berbunyi secara berterusan kerana Adi 'tidak sedarkan diri'. Segmen tersebut sebenarnya ingin melihat bagaimana orang sekeliling bertindak lantaran suasana yang teramat bising dengan bunyi hon kereta yang tiada henti. Kemudian, datanglah seorang pemuda dan mengetuk-ngetuk cermin tingkap bahagian pemandu. Di sini dapat dilihat pemuda terbabit benar-benar bimbang melihatkan Adi yang pengsan itu. Tambahan pula, situasi tersebut yang berterusan pasti membingitkan telinga orang sekeliling.

Ini Betul-betul

Walaupun rancangan tersebut adalah sebuah rancangan dalam televisyen, namun di luar kotak televisyen, secara realitinya, perkara-perkara seperti di atas memang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Walaupun rancangan tersebut dinamakan Cubaan, namun di luar rancangan tersebut, situasi-situasi di atas adalah situasi yang betul-betul terjadi.

Masih ada yang tidak mengucap kalimah syahadah dengan betul.

Masih ada yang lupa lafaz istighfar.

Masih ada yang tidak tahu membaca Al-Quran.

Masih ada yang tidak tahu bersolat.

Ummah kita makin parah. Jika dibiarkan akan terus bernanah. Jika tidak diberi rawatan, pasti akan terus merebak dan merebak. Lantas, apakah kita hanya mahu membiarkan penyakit-penyakit ini terus merebak? Apakah kita hanya mahu membiarkan saudara-saudara kita terus hidup secara Islam hanya di atas nama Islam pada sekeping kad pengenalan semata-mata tanpa menghayati dan mengamalkan Islam sebagai cara hidup?

Qum Faanzir!!!

Masyarakat Islam pada masa kini begitu sibuk dengan urusan-urusan duniawi sehingga mengabaikan segala ibadat dan perintah Allah. Teringat saya akan suatu analogi nukilan Syeikh Mustafa Masyur dalam buku Dakwah Fardiyyah. Orang yang sibuk dan lalai itu umpama sekumpulan manusia yang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur.

Dalam kalangan manusia yang sedang nyenyak tidur, terdapat mereka yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling, tetapi tidak mampu memadamkan api yang sedang membakar. Ketika itu, kewajipan mereka ialah segera membangunkan manusia yang nyeyak tidur supaya setiap mereka menyedari keadaan masing-masing dan menjauhkan diri daripada api.

Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka yang tidur daripada bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka terjaga daripada tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana mereka sedang nyeyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu barulah diberi peringatan.

Justeru, kita sebagai orang yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling, kejutkanlah orang sekeliling kita terlebih dahulu dengan sentuhan-sentuhan dakwah mengikut marhalah-marhalah dan uslub-uslub dakwah yang telah dijelaskan oleh Syeikh Mustafa Masyur. Adalah menjadi kewajipan kita untuk mengejutkan mereka daripada lena diulit mimpi indah palsu duniawi. Sebagaimana dalam ayat kedua, surah Al-Muddatstsir;


قُمْفَأَنْذِرْ

bangunlah, lalu berikan peringatan!



Oleh itu, ayuhlah kita semua sama-sama mengetuk hati-hati mereka di luar sana sebagaimana pemuda dalam rancangan Cubaan mengetuk pintu kereta untuk menghentikan bunyi hon yang membingitkan telinga! 

Ini bukan cobaan, ini betul-betul!

Qum faanzir!

0 comments:

Post a Comment

Sebarang kritikan atau penambahbaikan, dipersilakan :)