Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Sunday, 11 December 2011

Mana Milik Kita?

"Kalau tak suka, pulangkan." Lembut sahaja ungkapan si bapa mentua kepada menantunya. Walaupun kata-kata itu lembut, tetapi kata-kata itu amat tajam dan terkena kepada menantu tersebut.

Dialog di atas merupakan salah satu dialog dalam sebuah drama dalam televisyen yang saya sudah lupa tajuknya. Kata-kata tersebut amat memberi kesan pada hati. Biarpun sebuah drama, namun kata-kata tersebut mampu membuatkan saya termangu seketika, seolah-olah sayalah watak menantu dalam drama tersebut.

Drama tersebut mengisahkan tentang seorang lelaki (menantu) yang mempunyai seorang isteri yang sarat mengandung dan tiga anak lelaki. Semenjak lelaki tersebut rapat dengan seorang wanita di tempat kerjanya, apa sahaja berkaitan dengan wanita itu, semuanya adalah betul dan manis. Akan tetapi, rumah yang beliau diami bersama isteri dan anak-anak seolah-olah sebuah neraka. Isteri dan anak-anak ibarat mengganggu keharmonian dirinya. Setiap langkah dan perbuatan isteri dan anak-anak, ada sahaja yang tidak kena pada pandangan lelaki tersebut. Hinggalah suatu hari, beliau mendapati isteri dan anak-anaknya meninggal dunia dalam keadaan penuh tragis di rumah mereka sendiri akibat dirompak.

Kalau tidak suka, pulangkan.

Itulah kata bapa mentua kepada menantunya. Dan saat itu, lelaki tersebut baru mula menyedari sebuah kehilangan yang berkekalan yang tidak akan pulang-pulang. Detik itu, lelaki tersebut mula menghargai sebuah permata yang tidak ternilai harganya iaitu, isteri dan anak-anaknya. Isteri dan anak-anaknya sudah dipulangkan kembali kepada Yang Maha Esa. Isteri dan anak-anaknya hanyalah pinjaman sementara daripada Yang Maha Kuasa.

Bagaimana dengan kita? Berapa kalikah kita sedar bahawa kita adalah bukan siapa-siapa. Diri kita ini hanyalah pinjaman darinya. Jasad kita ini akan dikembalikan kepada Yang Menciptakan kita. Adakah kita sedar?

Mana Milik Kita?


Mungkin saat ini kita berasa bangga dengan kejayaan yang kita gapai. Mungkin saat ini kita bermegah-megah dengan kereta mewah menjadi milik kita. Mungkin saat ini kita mendabik dada kitalah yang paling hebat berbanding yang lain. Mungkin saat ini kita gembira kerana kita dipuji. Mungkin saat ini kita seronok yang lain dikeji. Mungkin saat ini kita berasakan apa sahaja yang ada pada diri kita adalah milik kita. Lantas, adakah semuanya adalah milik kita?

Ada masa kita yakin bahawa segala yang ada adalah milik kita. Tidak mungkin badan kita ini milik orang lain sedangkan kita sendiri mengawalnya. Bukankah begitu?

Kita boleh angkat tangan bila kita suka.

Kita boleh melangkah ke mana-mana selagi kita terdaya.

Kita boleh membuka mulut dan makan makanan yang lazat mengikut kehendak kita.

Semuanya kita boleh kawal. Jadi, badan kita adalah milik kita. Bukankah begitu?

Namun, jangan kita lupa. Adakah kita pasti kita dapat mengawal segalanya pada badan kita?

Adakah kita dapat mengawal degupan jantung kita?

Adakah kita dapat mengawal kadar metabolisme dalam badan kita?

Adakah kita dapat mengawal proses peristalsis yang membantu pencernaan kita?

Jadi, jika kita sendiri tidak dapat mengawalnya, siapakah  yang mengawal semua itu?

Jika begitu, jika kita bukan pemilik badan kita sendiri, siapakah pemiliknya?




Jangan Jadi Namrud

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintah?

Ketika Nabi Ibrahim berkata, "Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Mematikan."

Dia berkata, "Aku pun dapat menghidupkan dan mematikan."

Ibrahim berkata, "Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dari barat."

Maka, tercenganglah orang yang kafir itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Dialog di atas merupakan petikan daripada ayat 258, surah Al-Baqarah. Ayat tersebut menyatakan Nabi Ibrahim berhujah dengan Raja Namrud yang menganggap dirinya sebagai Tuhan. Ketika Namrud berkata bahawa dia pun dapat menghidupkan dan mematikan adalah bermaksud bahawa Namrud dapat menghidupkan orang dengan membiarkan orang terus hidup. Manakala mematikan orang adalah dengan membunuh orang tersebut.

Kemudian, Namrud membakar Nabi Ibrahim dengan julangan api yang tinggi. Dengan kuasa Allah, api tersebut menjadi sejuk sekali gus menyelamatkan Nabi Ibrahim. Seterusnya Namrud cuba melawan Nabi Ibrahim dengan tenteranya yang lengkap. Lantas, Allah membantu Nabi Ibrahim dengan mengirimkan tentera nyamuk. Dengan kuasa Allah, nyamuk-nyamuk tersebut menghisap darah tentera Namrud dan memerintahkan kepada nyamuk agar menunda penyeksaan ke atas Namrud. Maka, nyamuk-nyamuk membiarkan Namrud pulang ke istananya.

Ketika telah dekat seksaan untuk Namrud, lalu Allah memerintahkan seekor nyamuk untuk menjalankan tugas tersebut. Nyamuk itu berkeliling di sebatang pohon selama tiga hari. Kemudian, nyamuk itu masuk ke dalam kepada Namrud melalui lubang hidungnya. Namrud berasa sakit dan mengarahkan rakyatnya mengetuk kepalanya dengan kasut. Bila diketuk dengan kasut, dia berasa lega. Akhirnya nyamuk tersebut memakan otak Namrud selama 40 hari. 

Begitu besar sifat pengasih dan penyayang Allah. Allah tidak menyeksa Namrud dengan segera, tetapi masih diberi masa untuk bertaubat. Masa tiga hari yang diberikan tidak digunakan oleh Namrud untuk menerima kebenaran Allah. Maka, jadilah Namrud tergolong ke dalam orang-orang yang dimurkai Allah.

Semua Allah Yang Punya

Semua yang ada, bukanlah milik kita. Segala-galanya hanyalah pinjaman daripada-Nya. Kita sendiri adalah pinjaman yang sementara yang akan dikembalikan pabila sampai waktunya. Sedarlah kita semua bahawa semuanya adalah tidak kekal menjadi milik kita. 

Oleh itu, bermujahadahlah melawan nafsu. Hargailah diri sebelum diambil kembali. Apakah kita hanya baru tahu menghargai setelah roh dipisahkan daripada jasad? Berusahalah untuk terus mengoptimumkan ibadah kita kepada-Nya. Supaya nanti kita berupaya memperoleh syurga abadi yang boleh menjadi milik kita bersama.

Mana milik kita - Rabbani



Nota kaki: Cerita Nabi Ibrahim dan Namrud diambil dari sini


0 comments:

Post a Comment

Sebarang kritikan atau penambahbaikan, dipersilakan :)