Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Thursday, 15 December 2011

Rahsiakan Sehingga Tiba Saatnya

Kegembiraan jelas terpancar di muka masing-masing. Keceriaan yang terserlah tidak dapat dilindung lagi oleh kedua-dua belah pihak, sama ada rombongan lelaki mahupun rombongan perempuan. Dan ternyata, air muka bahagia jelas terpercik pada tuan badan empunya dalam satu majlis yang melibatkan kedua-dua belah pihak.

Cincin tersarung manis menandakan sudah ada yang punya.

Hantaran-hantaran di atas pahar cantik dengan hiasan yang beraneka.

Senyum lebar terpampang menandakan lega kerana majlis diatur berjalan sebaiknya.

Itulah yang saya dapat saya dapat simpulkan pada beberapa keping gambar yang diupload dalam satu album. Gambar-gambar yang diupload oleh teman-teman yang saya lihat dalam ruangan sosial popular, Facebook.

Saya berasa gembira.

Saya tumpang bahagia.

Namun, antara gembira dan bahagia, rasanya perasaan sedih dan terkilan lebih menguasai hati saya.

Sedih bukan bermakna saya tidak suka dengan status teman-teman saya yang telah disandang. Rasa terkilan bukan disebabkan dek rasa cemburu atas kebahagiaan teman-teman saya sendiri. Saya berasa teruja dengan kebahagiaan yang dimiliki teman-teman sekolah saya.

Namun, apa yang membuatkan saya terkilan dan berasa sedih ialah gambar-gambar yang diupload adalah sempena majlis pertunangan mereka. Bukan seorang teman saya berbuat demikian, malah teman-teman yang lain yang mempunyai status bertunang begitu teruja mengupload gambar-gambar sempena majlis pertunangan.

Rahsiakan Pertunangan

Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada kita:

"Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan." (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu 'anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa' al-Ghalil)



Pertunangan tidak perlu dihebah-hebahkan kepada umum. Cukuplah sekadar dimaklumkan kepada ahli keluarga dan sahabat handai terdekat sahaja. Hal ini kerana status tunang bukanlah tiket yang menentukan bahawa akad akan termeterai. Boleh jadi pertunangan akan disusuli dengan perkahwinan. Namun, kemungkinan juga boleh terjadi sekiranya hubungan tersebut akan terputus di tengah jalan, yang akan membabitkan soal maruah keluarga. Terselit sebuah hikmah untuk tidak mewar-warkan pertunangan iaitu pertunangan akan lebih terjaga daripada hasad manusia yang berniat tidak baik.

Lebih Elok Begini

Duhai teman yang saya sayang. Elakkan mengupload gambar pertunangan di Facebook untuk berkongsi rasa gembira. Rasa gembira masih boleh dikongsi dengan ahli keluarga dan sahabat handai terdekat sahaja. Jangan letakkan pautan 'bertunang' pada profil di facebook. Cukuplah perhubungan itu disimpan kemas oleh kedua-dua belah keluarga. Tidak perlu memberitahu seantero dunia akan sebuah pertunangan itu. Apabila sudah tiba masanya untuk melangsungkan perkahwinan, hebahkanlah kepada semua. Moga tempoh pertunangan kalian senantiasa dilimpahi barakah.

Seronok saya melihat seorang akhowat ini, merangkap senior saya yang tidak mewar-warkan pertunangan beliau. Seterusnya, beliau menghebahkan perkahwinan dan walimah beliau. Lebih teruja, beliau tidak mengupload gambar yang menunjukkan gambar perkahwinan beliau bersama suami. Hanya gambar beberapa hantaran dan gambar cincin di jari sahaja diupload, menunjukkan beliau sudah bergelar isteri orang. 

Kepada teman-teman yang sudah bertunang, saya menunggu jemputan ke walimah kalian. InsyaAllah, saya akan menghadirinya untuk berkongsi rasa bahagia dengan kalian semua.


1 comments:

Salam, terkilan juga dgn situasi macam ni.sekarang ni pun tunang grand macam nak kahwin.Itulah bahaya bila guna laman sosial ni ikutkan hati. Tak guna salah, bila guna disalahguna pulak.semoga kite dijauhi dari perbuatan ini, insyaAllah. Jzkk atas peringatan :)

Post a Comment

Please drop your comments here 😉