Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Tuesday, 18 December 2012

Jangan Berhenti Berharap

Pada suatu hari, seorang lelaki telah membeli sebuah tembikai. Kemudian, dia membawa tembikai tersebut pulan dan memberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok. Maka, si isteri mula marah-marah melihatkan keadaan tersebut.


Maka bertanyalah si suami kepada isteri, "Kepada siapakah engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?" 

Terdiam si isteri menderngar pernyataan tersebut. Si suami meneruskan lagi kata-kata.

"Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu mengharapkan tanaman yang terbaik. Maka, ternyatalah marahmu ditujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertakwalah kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuannya.

Maka menangislah si isteri atas kesilapannya. Lantas si isteri bertaubat dan redha atas segala ketentuan-Nya.

Ibarat Buah Tembikai

Sesungguhnya, setiap daripada kita pasti menginginkan kehidupan yang indah, damai dan bahagia tanpa diganggu oleh mana-mana anasir yang mampu merobek kebahagiaan yang kita alami. Kita impikan seluruh kehidupan kita ini berjalan dengan sebaiknya, malahan kita selalu meminta kepada Yang Maha Kuasa supaya diberikan kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Namun, saat ujian datang menjengah ke dalam hidup kita, bagaimanakah penerimaan kita? Bagaimanakah reaksi kita dalam mendepani segala dugaan yang tidak putus-putus datang kepada kita?

Adakah kita redha menerima segala ujian yang diberikan?

Adakah kita terus-terusan menyalahkan Si Pemberi Ujian?

Adakah kita hanya bermuram durja lantas terus berhenti berharap kepadaNya?




Kita sentiasa mengharapkan akan memperoleh buah tembikai yang manis, merah isinya dan mengandungi banyak jus. Walau bagaimanapun, usai tembikai dibelah, harapan kita seakan-akan hancur melihatkan buah yang disangka manis adalah tawar, isi yang disangka merah hanyalah sekadar merah pucat, bahkan jus pula kurang. Lantas kita terus menyalahkan penjual tembikai, pembeli tembikai dan penanam tembikai tanpa disedari kita seolah-olah menyalahkan Pencipta tembikai itu.

'Urwah bin Al-Zubair Memuji Si Pemberi Ujian

Suatu hari, 'Urwah diundang oleh Khalifah Walid bin Abdul Malik untuk datang ke istananya di Syam. Dalam perjalanan, kaki 'Urwah merasakan kakinya terkena sesuatu. Tidak lama kemudian, timbul sebuah bisul di kakinya lalu pecah dan menjadi sebuah luka.

Tiba di Syam, tabib datang untuk memeriksa kaki 'Urwah. Tabib kemudian menyimpulkan bahawa luka itu merupakan satu jangkitan yang mana jika tidak segera dihentikan boleh merebak ke seluruh badan. Dan satu-satunya cara untuk menghentikan penyebaran jangkitan itu adalah dengan memotong kaki tersebut.

'Urwah setuju kakinya dipotong. Tabib menyarankan agar 'Urwah meminum ubat bius terlebih dahulu sebelum operasi dilaksanakan agar dia tidak berasa sakit, tetapi 'Urwah menolak. 'Urwah ingin tetap berada dalam keadaaan sedar sehingga dapat mengingat Allah meskipun harus merasakan kepedihan yang sangat menyeksa. Akhirnya, tabib itu memotong kakinya dengan gergaji, sementara 'Urwah dengan penuh kesabaran menyaksikan hal itu tanpa mengeluarkan suara kesakitan.

Pada waktu yang sama, seorang anak 'Urwah yang ikut bersamanya dalam perjalanan tersebut mengalami kemalangan. Seekor keldai telah menendangnya sehingga mati. Apabila mendengar berita sedih itu, 'Urwah tidak memberi komen apa-apa. Hanya ketika dalam perjalanan pulan ke Madinah, terdengar 'Urwah berkata,

"Ya Allah, Engkau memberiku tujuh orang anak. Jika Engkau mengambil satu orang, Engkau masih meninggalkan enam lainnya. Dan Engkau memberiku empat anggota (dua tangan dan dua kaki). Jika Engkau mengambil salah satunya, Engkau masih meninggalkan tiga yang lain."

Di saat itu, 'Urwah bin al-Zubair masih lagi dapat menemui alasan untuk memuji Allah meskipun dalam musibah yang memilu hati. MasyaAllah.

Tarbiyyah Daripada Illahi

Tanpa kita sedari, ujian yang menjenguk kita merupakan percikan tarbiyyah daripada Illahi. Mungkin pada awalnya kita mengalah, kita sendiri tercungap-cungap dalam lelah. Terkadang kita rebah, namun itu tanda bukan kita terus mengalah. Mencari-cari resolusi terhadap permasalahan yang dihadapi. Ujian didatangkan supaya kita dapat mempelajari sesuatu yang seterusnya kita dapat menguatkan diri, mencekalkan hati terhadap hamparan ujian yang menghadiri. Perlahan-lahan tanpa disedari kita belajar erti menghargai dan bersabar dengan setiap ujian yang diberi.

Yang paling penting, optimislah dengan segala ujian yang diperoleh. Hal ini kerana kita tidak tahu apa yang Allah sembunyikan daripada diri kita yang sememangnya terkandung 1001 hikmah yang tersembunyi yang sememangnya khas didatangkan daripada Illahi. Teringat akan kata-kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, "Jika kita mendapat apa yang kita tidak suka, sukalah dengan apa yang kita dapat. Jadikan buah limau yang masam itu sebagai minuman yang manis."



"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(Al-Baqarah: 216)

Ujian yang menimpa itu menunjukkan kasih sayang yang dihamparkan kepada kita daripadaNya. Mungkin kita tidak menyedari bahawa sebelum ujian datang menjengah dalam kehidupan kita, kita begitu lalai dan leka dalam mengingatiNya. Lantaran tidak mahu kita terus terbuai dengan keindahan dunia yang sementara, didatangkan ujian kepada kita supaya kita sedar bahawa segalanya tidak kekal abadi, melainkan di akhirat nanti. Justeru, teruskan memanjat pengharapan dan pertolongan kepadaNya supaya kita sedar kita hanyalah sekadar hamba yang hina dina yang sememangnya layak untuk diuji kerana hanya Dia yang tahu apa yang terbaik buat diri. Teruskan pengharapan kepadaNya. Jangan sesekali kita berhenti berharap kepadaNya.

Sama-sama ambil ibrah daripada kisah 'Urwah bin Zubair yang dihadiahkan musibah, namun tetap memanjatkan syukur tanpa sedikitpun kufur!

"Sekiranya ada masalah yang tidak selesai, beristighfar sebanyak-banyaknya. Nescaya Allah akan membuka jalan keluar. Apabila terasa sentuhan Allah, segala ujian, cubaan dan kesulitan yang datang akan menjadi seperti cucuran air hujan atau hembusan angin sahaja."
~Sheikh Ibnu Taimiyah~



Imam Muda 1: Ujian Hidup





Nota Kaki: Kisah 'Urwah bin al-Zubair dipetik daripada Majalah Solusi [Isu no. 14]. 'Urwah merupakan seorang ulama ahli hadith & feqah di Madinah dalam kalangan tabiin. Beliau adalah putera kepada pasangan dua orang sahabat Rasulullah S.A.W yang sangat terkenal iaitu, Zubair bin al-Awwam dab Asma' binti Abu Bakar.



Wednesday, 28 November 2012

Tetaplah Setia

"Eh, awak dah berapa juzuk dah baca Quran?" tanya si A.

"Saya dah nak masuk juzuk ke dua puluh. Macam mana ni ye, Ramadhan dah nak habis ni." Luah si B.

"Hurmm.. Kalau macam tu kita kena pulun habis la. Jom baca lagi."

Kebiasaannya, dialog sebegini kerap kali didengar pada bulan Ramadhan. Dialog yang lebih menjurus kepada bacaan Al-Quran yang dibaca. Kebanyakannya seakan-akan berlumba-lumba untuk menghabiskan 30 juzuk bacaan Al-Quran. Satu musim yang mana bacaan Al-Quran menjadi hidup walaupun di mana-mana kita jelajahi. Merebut segala tawaran hebat di bulan Ramadhan yang dibentangkan. Salah satunya adalah dengan membaca Al-Quran.


Namun, jika sekarang ini bukan merupakan bulan Ramadhan, adakah kita meninggalkan Al-Quran begitu sahaja? Jangan kita bilang disebabkan tiada tawaran yang hebat di bulan selain bulan Ramadhan terus membawa kita kepada sikap bena tidak bena kepada ayat-ayat cinta daripadaNya? Apakah disebabkan 'ini bukan bulan Ramadhan, risalah daripadaNya itu terus kaku, tidak diusik sedikit pun tanpa terselit rasa bersalah di hati?

Anugerah DaripadaNya

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang telah menarik keupayaan saya untuk melihat. Alhamdulillah, saya bersyukur kepadaNya atas rahmat ini."

"Ketika saya berdoa, saya tidak meminta kepada Allah agar mengembalikan semula penglihatan saya semula. Kamu tahu kenapa?"

"Kamu tidak mahu penglihatan kamu kembali? Kenapa?"

"Kerana saya boleh meminta kepada Allah agar diberi keampunan di hari akhirat kelak."

"Supaya sewaktu pengadilan di hari akhirat kelak dipermudahkan kepada saya dan diringankan hukuman ke atas saya."

Tika itu, semua hadirin yang berada di situ, termasuk orang yang menemu bual remaja yang ditarik penglihatanNya daripada Allah. Dialog di atas merupakan dialog antara Syeikh Fahad dengan seorang remaja lelaki yang buta. Sebak ditahan tika menyaksikan video di bawah ini, menginsafi segala kelemahan dan kekurangan yang dimiliki.


Sebuah Analogi

Terdapat sebuah kisah yang mana seorang cucu yang berusia tinggal bersama seorang datuk. Tiap-tiap pagi, selepas waktu Subuh, datuk pasti membaca Al-Quran. Pada waktu tengah hari pula, selepas Zohor, datuk pasti akan mambaca AL-Quran. Begitu juga selepas waktu Asar, Maghrib dan Isyak, datuk pasti akan membaca Al-Quran. Perlakuan datuknya itu menimbulkan kehairanan dalam diri cucu datuk tersebut.

Lantas cucu tersebut berhasrat untuk bertanyakan kepada datuknya melihatkan kesungguhan datuknya membaca Al-Quran. Usai selesai bacaan datuk selepas Subuh, si cucu menghampiri datuk.

"Atuk, kenapa atuk begitu bersungguh-sungguh membaca Al-Quran?"

Datuk sekadar tersenyum.

"Cu, tolong isikan air ke dalam tempayan kat sebelah tangga tu. Air nanti ambil dari sungai menggunakan baldi kecil ye, cu." ujar si datuk.

Cucu datuk itu kehairanan. Lain yang ditanya. Lain pula yang dijawab oleh datuknya. Bahkan bukan jawapan yang dipinta dijelaskan, malahan sebuah arahan dalam bentuk pertolongan pula diberikan. Cucu akur dengar permintaan datuknya itu.

Lagi menghairankan, sudah lama rasanya datuk tidak mengisi air ke dalam tempayan itu. Tempayan yang terletak di sebelah tangga pada suatu ketika dahulu kerap diisi air. Air tersebut akan digunakan untuk membasuh kaki sebelum naik ke rumah. Kata datuk, dahulu jalan di hadapan rumah belum berturap. Jadi, kaki akan kotor sebab terkena debu-debu pasir walaupun memakai selipar. Sekarang, jalan dah berturap. Jadi kaki sudah tidak kotor dan datuk sudah lama tidak mengisi air dalam tempayan itu.

Baldi kecil yang ditelangkupkan di sebelah pasu bunga diambil. Kelihatan baldi tersebut sedikit berlumut dan kelihatan tidak bersih, menunjukkan baldi tersebut juga sudah lama tidak digunakan. Kakinya setapak demi setapak melangkah ke sungai yang terletak di belakang rumah.

Sebelum mengisi air dalam baldi, cucu membersihkan baldi tersebut. Kotoran demi kotoran dibuang. Baldi kemudian dibilas beberapa kali. Setelah memastikan baldi itu benar-benar bersih, barulah air sungai diceduk supaya baldi itu penuh diisi air. Langkah pula dibuka menuju ke tempayan di tepi tangga di rumah datuknya. Apabila semuanya selesai, datuk memanggil cucunya.

"Bagus cucu atuk. Terima kasih kerana menolong atuk. Cu tahu tak segala perlakuan cu tadi, dari mengambil baldi kecil hinggalah mengisi air ke dalam tempayan itu adalah jawapan buat soalan cu tadi?

Terpana seketika si cucu. Kerja-kerja semua tu adalah jawapan kepada soalannya tadi?

"Atuk, saya tidak faham maksud atuk." Cucu menggaru kepala yang tidak gatal. Tanda kehairanan.

"Cuba cu ingat balik, baldi kecil tadi kotorkan? Kemudian, baldi tadi dibersihkan hinggalah bersih. Bila baldi tu betul-betul bersih, air diisi ke dalam baldi untuk dimasukkan ke dalam tempayan. Kita dapat air yang bersih, kan? Tetapi, jika baldi tersebut tidak dibersihkan, malahan air bersih dari sungai dimasukkan ke dalam baldi yang kotor seterusnya diisi ke dalam tempayan, sudah tentu air dalam tempayan itu kotorkan?" Cucu hanya sekadar menganggukan kepala.

"Anggaplah baldi kecil itu sebagai hati kita. Untuk memastikan hati kita sentiasa bersih, kita kena selalu baca Al-Quran. Fahami ayat-ayat peringatan dan nasihat daripadaNya. Bila hati kita bersih, apa sahaja yang kita sampaikan kepada orang lain, orang akan mudah menerima apa yang kita sampaikan. Tetapi jika hati kita kotor dan busuk, amatlah sukar sekali orang menerima apa yang kita sampaikan."



Energi Buat Da'ie

Al-Quran merupakan pusat pembangkit tenaga bagi orang-orang Muslim. Akan tetapi jika orang Muslim sendiri mencampakkan Al-Quran daripada hidup mereka, pusat pembangkit tenaga bagi orang Muslim itu sendiri akan terputus. Malahan, orang Muslim akan kehilangan punca dan sumber kekuatan. Hal ini akan menjadikan hati akan gelap, dan hidup tidak terpandu.

"Di setiap kota terdapat pusat tenaga elektrik. Para pegawai memasang tiang dan kabel di seluruh kota. Setelah itu, aliran elektrik masuk ke kilang-kilang, rumah-rumah dan tempat-tempat lain. Jika aliran eletrik itu kita matikan dari pusatnya, nescaya seluruh kota akan gelap gelita. Padahal pada saat itu tenaga elektrik ada dan tersimpan di dalam pusat penjana tenaga, hanya tenaga elektik yang ada itu sahaja tidak dimanfaatkan."
~ As-Syahid Imam Hassan Al-Banna~

Tugas da'ie seperti tugas pegawai elektrik, sentiasa mengalirkan kekuatan dan sumbernya kepada setiap hati orang-orang Muslim agar cahaya keizzahan Islam senantiasa bersinar dan menerangi sekelilingnya. Allah S.W.T berfirman:

"Sesungguhnya telah datang kepada kalian cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan mereka dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizinNya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus. " 
~Al-Maidah: 15-16~

Justeru itu, marilah kita sama-sama memperbanyakkan membaca Al-Quran sebagaimana kita kita berlumba-lumba menghabiskan bacaan di bulan Ramadhan. Marilah kita perhebatkan tadabbur ayat-ayat Al-Quran supaya hati kita terus menerus dihangatkan dengan nasihat dan peringatan. Jika rasa malas masih lagi menguasai diri, malulah dengan remaja yang buta tadi, masih mampu membaca Al-Quran walaupun ditarik nikmat penglihatan. 

Sekiranya mampu, bacalah Al-Quran setiap hari satu juzuk. Sekiranya tidak mampu, bacalah separuh juzuk. Sekiranya tidak mampu, bacalah sekadar sehelai atau satu muka surat. Sekiranya tidak mampu, memadailah dengan satu ayat.
Sekiranya tidak mampu juga, cukuplah dengan hanya memandang Al-Quran dan tanyalah kepada diri sendiri, "Ya Allah, apakah dosaku sehingga aku tidak dapat membaca ayat-ayatMu?

Ayuh, sama-sama kita khatamkan sebanyak mungkin kitab Allah ini sebelum kita dikhatamkan perkhidmatan kita sebagai hambaNya.

Sama-sama kita tadabbur sebanyak mungkin ayat-ayat cinta daripadaNya supaya kita dapat tadabbur juzuk-juzuk kehidupan kita dalam menuju ke arah cintaNya.

Tetaplah setia membaca ayat-ayat cinta daripadaNya walaupun ini bukanlah bulan Ramadhan.

Tetaplah setia tadabbur kalimahNya di mana sahaja kita berada.

Tetaplah setia menghayati segala peringatan dan nasihat daripada kitabNya di dalam jiwa.

Tetaplah setia dalam mengamalkan segala perintahNya yang telah terpateri dalam kitabNya.


Tuesday, 20 November 2012

Buktikan Jika Benar-Benar Cinta!

Kata orang, kalau benar-benar cinta, sampaikan kepada tuan yang dicintai itu. 

Kata orang lagi, ucapan semata sahaja masih belum mencukupi dalam menterjemahkan rasa cinta. Lantas, ungkapan cinta perlu disusuli dengan suatu pembuktian yang nyata supaya terzahir di hati bukan hanya sekadar di mata.

Jadi, jika kita bilang kita benar-benar cinta akan saudara seakidah kita, apa yang reaksi kita? Jika kita ungkapkan bahawa kita betul-betul dapat merasakan apa saudara kita di Gaza lalui sekarang, tepuk dada, tanya iman, apa yang sudah kita laksanakan? 

Apakah kita rasa sakit sebagaimana mereka berasa sakit?

Apakah kita berasa cukup sedih jika mereka bersedih atas kehilangan keluarga mereka?

Seperti hadis riwayat Nukman bin Basyir r.a, Rasulullah S.A.W bersabda,


"Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayangi dan saling mencintai adalah seperti sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya merasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam."

Cukupkah jika kita hanya sekadar menatap gambar-gambar penderitaan saudara-saudara kita di laman sosial sebagai tanda keprihatinan kita terhadap mereka?

Cukupkah jika kita hanya menangisi keperitan hidup yang saudara kita lalui sebagai salah satu cara bahawa sememangnya kita benar-benar cakna terhadap situasi mereka sekarang?





Bayangkan jika di akhirat nanti Allah akan mepersoalkan apa tindakan yang telah kita lakukan. Apakah alasan kita kepada Allah kelak?

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 134 yang bermaksud;

"Bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan."

Jawapan Abdullah bin Jahsy

Teringat akan suatu kisah sebuah perkongsian daripada lingkaran bahagia kami. Sebuah kisah yang begitu menginsafkan hati, mengajar diri supaya lebih menyayangi Islam yang kita miliki. Sebuah kisah pada perang Uhud, yang mana dalam entri ini saya tertarik untuk bercerita perihal doa. Doa seorang wira yang syahid iaitu Abdullah bin Jahsy.

Sebelum berperang, Abdullah bin Jahsy dan Sa'ad bin Abi Waqqas berdoa. 

Sa'ad berdoa, "Ya Allah, kalau kami bertemu musuh esok hari, pertemukanlah kami dengan seorang yang bertenaga kuat dan beremosi tinggi. Saya akan membunuhnya dan merampas miliknya."

Sementelahan itu, Abdullah bin Jahsy juga berdoa.

"Ya Allah, pertemukanlah aku esok dengan seorang yang kuat tenaganya dan tinggi emosinya. Aku akan membunuhnya keranaMu, lalu orang itu membunuhku, kemudian dia memotong hidung dan kedua telingaku. Apabila Engkau bertanya kepadaku kelak, 'Ya Abdullah, mengapa dengan hidung dan telingamu itu?' Aku akan menjawab, 'Ia dipotong oleh orang keranaMu dan kerana rasulMu semata-mata, Ya Allah.'"

Ternyata, doa Abdullah bin Jahsy dikabulkan. Pada keesokan harinya, menjelang hari berakhir, Sa'ad bin Abi Waqqas melihat kedua telinga dan hujung hidungnya bergantung dengan seutas tali.

Dengan kedua telinga dan hidung yang dipotong itulah yang menjadi jawapan Abdullah bin Jahsy di hadapan Allah kelak.

Tembak Dengan Doa

Sengaja kisah Abdullah bin Jahsy dicoretkan dalam ruangan ini. Jika ditelesuri kembali kisah tersebut, Abdullah bin Jahsy mempunyai alasan untuk diberikan kepada Allah. Rakyat Palestin mempunyai alasan mereka kepada Allah kelak melalui jihad iaitu dengan terus mempertahankan bumi israk itu daripada jatuh sepenuhnya ke tangan Israel. Namun, bagaimana pula dengan kita? Apa alasan yang boleh kita persembahkan kepada Allah apabila dibangkitkan soal tanggungjawab kita sesama islam?

Mungkin ada dalam kalangan kita begitu bersungguh-sungguh untuk bersama-sama rakyat Palestin berganding bahu, berpadu tenaga untuk sama-sama turun ke medan bertemu dengan tentera Israel. Tetapi atas desakan beberapa faktor, impian untuk berjihad dan syahid bersama pejuang-pejuang Palestin terkubur begitu sahaja.

Lantas, apakah masing ada peluang untuk kita bersama-sama mempertahankan bumi israk itu? Mungkin terdapat yang memandang remeh atas usaha ini, namun ketahuilah bahawa saudara kita di Palestin begitu mengharapkan tembakan doa daripada kita semua. Mereka begitu mengharapkan tembakan doa kita secara berterusan.

Harapan mereka kepada kita ~ Doa!
Selain tembakan doa, kita juga boleh berusaha dengan menginfak harta mengikut kemampuan kita. Kita juga boleh berjihad untuk terus bersama-sama saudara kita dengan bermujahadah dalam memboikot barangan-barangan daripada pihak Israel sendiri. Akan tetapi, yang paling penting, teruskan menembak doa secara konsisten, tanpa penat, tanpa jemu.



Seterusnya, teruskan menyebarkan maklumat terkini berkaitan saudara kita, tidak kira saudara kita dari Palestin, Syria, Rohingya mahupun Narathiwat. Walaupun laman sosial popular seperti Facebook dicipta oleh orang Yahudi itu sendiri, namun melalui sebaran secara meluas mengenai isu saudara kita, kita pasti menyedarkan lena penduduk dunia betapa jahatnya Israel laknatullah. Malahan, salah satu faktor kejatuhan regim Mesir pada zaman pemerintahan Husni Mubarak juga berpunca daripada penyebaran maklumat melalui Facebook.

"Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam, menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama."
- Prof. Dr. Sheikh Yusuf Al-Qardhawi-

Jadi jangan disia-siakan segenap peluang yang terbentang untuk kita. Inilah jihad kita untuk sama-sama menegakkan kalimah Allah.

Jika kita benar-benar cinta kepada agama, buktikan dengan seluruh kemampuan dan keupayaan kita!













Saturday, 3 November 2012

Hati, Hati-hati

Suatu petang yang sepi, gerimis masih lagi berlumba-lumba membasahi bumi. Usai solat asar, tadabbur bacaan ma'thurat, Asma' mengisi petang dengan bait-bait kalam ceramah daripada laptop supaya petang itu lebih terisi. Tengah khusyuk mendengar bait-bait kalam ceramah, dirinya disapa dengan adik tersayang, Lia. Seorang adik, walau langsung tidak mempunyai pertalian darah, namun gelaran adik itu termaktub dalam kamus hidupnya atas faktor ikatan seakidah.

"Akak, saya nak share sesuatu dengan akak boleh? Tapi saya seganlah nak beritahu akak." Lia menutur memulakan bicara.

"Oh, boleh saja. Ada apa ye dik. La ni sejak bila pandai segan-segan dengan akak pula ni dik?" soal Asma' kembali dalam nada bercanda. Sengaja dilontarkan pertanyaan sebegitu kepada Lia supaya rasa segan dalam diri Lia boleh diusir jauh-jauh.

"Ok. Ok. Tapi akak jangan gelak tau. Tapi kita sangat segan nak share sebenarnya. Ok, Lia minat seorang muslimin ni dan err.. muslimin tu budak sekolah Lia dulu." Dengan malu bercampur berani Lia menyusun kata.

Lia berasa sangat malu untuk bercerita perkara-perkara sebegini dengan Asma'. Walaupun sudah banyak cerita yang dikongsi bersama, namun tidak bagi cerita sebegini. Walaupun Lia senang untuk meluahkan isi hatinya kepada Asma', namun isi hati yang satu ini agar sukar untuk terluah. Perasaan malu dan segan bercampur baur. Risau turut bertandang di hati, dek takut Asma' tidak sudi mendengar luahan hati yang satu ini.

"Oh.. Akak faham dik. Bukanlah aneh kalau Lia ada perasaaan macam tu. Perasaan itu adalah normal. Ini serius minat ke, hanya mainan hati ni?" Sedaya upaya Asma' menyusun bicara bagi menenangkan kerisauan yang bertandang di hati Lia, namun dalam masa yang sama, Asma' cuba menduga hati adik itu.

"Okey. Yeay! Lia normal. Hurmm.. terus terang, Lia serius minat dekat dia sejak sekolah lagi. Tapi perasaan tu masih ada sampai sekarang."

"Akak tak boleh nafikan yang perasaan tu adalah normal. Cuma akak harap, perasaan tu tidak menjadi asbab kerja-kerja lain terganggu. Jika benar-benar serius, serahkan semuanya kepada Allah. InsyaAllah, Dia akan tunjukkan yang terbaik buat Lia. Jom sama-sama jaga hati. Ini ujian buat Lia. Ujian untuk melihat sejauh mana Lia boleh manage hati Lia." Dengan penuh hati-hati, Asma' menyusun kata. Bukan senang mahu menasihati, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hati.

Lia dengan tenang menerima setiap bait-bait patah kata daripada Asma'. Lia sedaya upaya menghadam nasihat yang diberi. Nun jauh di sudut hati Asma', moga kata-kata yang dilontarkan buat Lia, menjadi nasihat buat diri Asma' sendiri.

Reaksi Diri, Reaksi Hati

Dalam meniti usia remaja menuju ke arah dewasa, boleh dikatakan majoriti golongan ini sedang dibuai-buai perasaan ingin sayang dan menyayangi. Perasaan dari hati mula berputik dan menimbulkan rasa suka. Ada pula daripada rasa suka terus jatuh cinta dengan spesis yang berlainan jantina. Tika ini, ada dalam kalangan kita yang suka berkongsi dengan ibu bapa, dan ternyata ada juga kurang senang untuk berbicara dengan orang tua sendiri, lantas merujuk perkara sebegini dengan teman-teman di sekeliling.

Sebenarnya amat payah bagi diri sendiri untuk melakar di kanvas maya ini tentang soal hati dan perasaan. Terasa diri bukanlah orang yang layak untuk berbicara soal cinta kepada manusia. Namun, dek kerana ingin berkongsi, digagahi jua hati yang secebis ini untuk menyampaikan segala yang terlindung di dasar hati supaya boleh menjadi ingatan buat diri dan pedoman buat hati-hati pemilik Illahi. 

Di sini saya berminat untuk bertanya kepada pembaca semua, pernah atau tidak teman-teman di sekeliling kita meluahkan rasa hati, menuturkan rahsia hati kepada kita sendiri dalam mendepani perasaan yang tidak boleh ditolak tepi? Jika pernah, bagaimanakah reaksi kita apabila ada dalam kalangan teman-teman sendiri yang meminta untuk diberi pendapat berkaitan dengan soal hati? Bagaimana reaksi hati kita sendiri apabila teman-teman datang menghampiri, memohon untuk diberi panduan hati?

Entri ini bukan untuk menggalakkan kita berbicara soal cinta. Akan tetapi, saya cuba menimbulkan perkara sebegini supaya kita tidak terlepas pandang dengan perkara-perkara yang boleh membawa kepada masalah hati. Supaya terdapat kita sama-sama boleh memberi panduan dalam menguruskan soal hati dan perasaan.



Mungkin terdapat segelintir golongan yang menggelarkan diri mereka daie berasa geli untuk berbicara soal hati. Mungkin juga terdapat segelintir daripada kita yang menanam paradigma dalam diri untuk bersikap alergi jika ada yang bertandang mahu meminta pandangan berkisar soal cinta. Lantas, golongan yang menggelarkan diri sebagai daie terus menjauhkan diri, menutup telinga rapat-rapat atau mengubah topik bicara kerana khuatir untuk berbicara soal cinta yang boleh membawa kepada lagha. Terdapat juga yang terus menghukum 'haram' jika bibir mula berbicara soal hati lantas bicara yang belum habis terus terhenti.

Akhirnya, teman-teman yang datang untuk memohon pandangan berkaitan soal cinta melarikan diri dengan berbicara dengan teman-teman lain yang terus membuai-buai diri mereka secara tidak langsung terus memutikkan rasa cinta terhadap berlainan jantina. Lebih malang lagi apabila perkara sebegini menjadikan kita sendiri sebagai asbab teman kita sendiri terus dibuai dengan bukan cinta Illahi. Dek kerana kita sendiri tidak berminat untuk berbicara soal hati, ada manusia yang terus hanyut dibuai mimpi di siang hari.

Lihat kembali reaksi diri dan reaksi hati Asma' apabila Lia datang berkongsi rasa hati.

Sama-sama audit diri, bagaimana reaksi diri dan reaksi hati kita dalam mendepani soal sebegini.

Jangan Mengalah Dalam Mujahadah

Buat yang sedang dilema masalah hati, fikirkan kembali, adakah berbaloi jika masa yang ada dibiarkan tersia dengan terlalu memikirkan soal hati. Jauh sama sekali untuk menafikan fitrah yang ditetapkan Illahi, tetapi jika diri kita sendiri masih belum bersedia untuk melangkah ke maratib amal seterusnya, yakni baitul muslim, hentikanlah angan-angan kita sendiri dalam bermimpi soal pasangan hati. Sebaliknya, marilah bersama-sama terus memantapkan diri dengan 10 muwasafat tarbiyyah.



Ayuh sama-sama sibukkan diri.

Sibukkan diri dengan usrah.

Sibukkan diri dengan halaqah.

Sibukkan diri dengan ziarah.

Sibukkan diri dengan menadah hati dengan bait-bait ceramah.

Sibukkan diri dengan tadabbur alam menceduk ibrah. 

Jika diri sendiri berterus-terusan bermujahadah dalam menjaga hati, yakinlah dengan pasti bahawa nilai mujahadah ini sesungguhnya mendapat perhatianNya. Mujahadah memang payah, namun jangan sekali-kali mengalah dalam mujahadah. Mujahadah itu payah kerana natijah di akhirnya lebih manis dan indah.

"Barangsiapa yang bersungguh-sungguh mencari keredhaan Kami, nescaya Kami akan menunjukkan mereka jalan-jalan Kami (jalan menuju keredhaan Allah)" (Al-Ankabut: 69)

Jom sama-sama mencari redha Illahi. Ayuh sama-sama kita menggapai cinta Illahi. Sesungguhnya Dia adalah pemilik hati bagi hati-hati kita semua. Rebutlah cinta Pemilik Hati terlebih dahulu sebelum kita mengintai cinta daripada hambaNya.

Hati-hati dengan hati.

Kalau tidak berhati-hati, boleh meracuni rohani.









Tuesday, 23 October 2012

Jenayah Dalam Ukhuwwah

Suatu hari, si anak melompat-lompat sambil memijak-mijak semut di bawah kakinya. Si ayah sekadar memerhati dan tersenyum bangga.

"Bagus anakku. Bagus!" Dengan begitu bangga si ayah memuji anaknya.

Si anak berasa begitu seronok dengan pujian yang diberikan ayahnya. Oleh itu, si anak menganggap bahawa perbuatan sebegitu adalah betul. Tidak lama kemudian, si anak melompat-lompat sambil memijak-mijak nasi yang tumpah di atas lantai.

"Bagus, anakku. Bagus!" Si ayah sekali lagi memuji anaknya. Tanpa mempedulikan bahawa perlakuan anaknya itu berkemungkinan besar adalah salah, si ayah tidak melarang sama sekali perbuatan anaknya itu. Disebabkan pujian daripada si ayah, si anak akan terus melakukan perkara yang sama.

Pada suatu hari, si anak melompat-lompat pula di atas kaca yang berderai. Disebabkan sebelum ini si anak tidak pernah dilarang atau ditegur oleh si ayah ketika si anak melompat, tanpa mengetahui kaca itu bahaya, si anak dengan riang melompat-lompat di atas serpihan kaca di lantai.

Tika itu, si ayah tidak mampu lagi untuk memuji si anak. Tika itu, si ayah baru menyedari bahawa perbuatannya selama ini yang tidak pernah menegur anaknya itu mengundang kepada sebuah bencana. Tika itu juga, si ayah juga menyesal kerana tidak pernah cuba menegur perbuatan anaknya walhal perbuatan anaknya secara terang-terangan memang salah.

Berkatalah Benar

Situasi di atas menjelaskan bahawa dalam hidup ini, kadang-kadang kita sukar untuk menyuarakan apa yang betul terhadap orang yang disayangi. Seperti situasi si ayah dengan anak itu, si ayah tanpa rasa bersalah terus membiarkan si anak melakukan perkara sedemikian, walhal sepatutnya si ayah perlu membetulkan kesilapan anaknya dengan sebaiknya, bukan dengan hanya melihat dan tersenyum bangga. Si ayah juga memuji dengan penuh bangga sehingga si anak melayang tinggi dek pujian, tanpa menyedari bahawa perlakuan sebegitu merupakan sebuah kesilapan tanpa teguran.

Begitulah juga dalam bersahabat. Terkadang kita terlalu menyayangi sahabat tersebut sehingga lupa untuk menegur sahabat kita sendiri jika sahabat tersebut melakukan suatu kesilapan. Kita juga dengan rasa bangga menutup mata tanpa memperbetulkan kembali kesilapan yang dilakukan mereka. Hingga sampai satu tahap, kita seolah-olah dibutakan hati untuk membuat teguran kepada sahabat kita sendiri.

Diri terpanggil untuk menulis perihal ini setelah Allah menghantar seseorang supaya saya terus bermuhasabah diri, mengintrospeksi diri. Satu mesej yang biasa-biasa namun, benar-benar menjentik hati lantas menyedari kekhilafan diri. Mesej daripada sahabat sendiri yang membuatkan diri rasa benar-benar terpukul dengan sebuah kesilapan yang dilakukan diri.

Berkatalah benar walaupun pahit
Pernah juga saya meminta pandangan sahabat-sahabat saya supaya menegur setiap perlakuan dan percakapan saya yang tidak kena dengan skema Allah dan Rasulullah s.a.w.

Namun, semuanya memberikan respon yang positif. Boleh dikatakan, semuanya menyatakan yang baik-baik sahaja perihal diri ini, walhal saya terlalu mengharapkan suatu teguran yang boleh membetulkan diri ini. Teguran yang boleh menjadi panduan kepada diri sendiri untuk terus mengislah diri ke arah yang lebih baik. Bukannya mengharapkan pujian demi pujian sehingga boleh membawa diri kepada sebuah kesilapan tanpa teguran. Nauzubillah...

Tegur Tanda Sayang

Terdapat satu peristiwa yang mana ketika Rasululla s.a.w berasa di Makkah dan dakwah baginda masih mengalami gangguan daripada pihak musyrikin. Ketika itu, Rasulullah s.a.w sedang berdakwah kepada tokoh-tokoh besar musyrikin supaya mereka dapat menerima ajaran yang dibawa baginda. Sedang asyik Rasulullah s.a.w berdakwah, tiba-tiba baginda didatangi seorang buta bernama Abdullah bin Ummi Maktum. 

"Ajarkan padaku, ya Rasulullah apa yang diajarkan Allah kepada engkau."

Nabi tidak mengendahkan permintaan si buta tersebut. Baginda sebaliknya teramat mengharapkan supaya tokoh-tokoh Quraisy itu memeluk Islam sehingga mengabaikan si buta yang datang kepada baginda. Maka Allah segera menegur baginda dengan menurunkan ayat 1-16, surah Abasa.

"Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling. Kerana seorang buta telah datang kepadanya. Dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran yang memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup. Maka engkau (Muhammad) memberi perhatian kepadanya. Padahal tidak ada (cela) ke atasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran). Sedang dia takut (kepada Allah). Engkau (Muhammad) malah mengabaikannya. Sesekali jangan begitu! Sungguh ajaran-ajaran Allah itu suatu peringatan. Maka barangsiapa menghendaki, tentulah dia akan memerhatikannya. Di dalam kitab-kitab yang dimuliakan (di sisi Allah), yang ditinggikan dan disucikan, di tangan para rasul utusan (malaikat), yang mulia lagi berbakti.

Berdasarkan ayat ini, Allah menegur Rasulullah s.a.w kerana tidak mempedulikan si buta. Saya tidak berniat untuk menceritakan perihal peristiwa ini dengan panjang lebar. Tetapi saya lebih tertarik untuk menunjukkan bahawa Allah menegur Rasulullah s.a.w melalui ayat tersebut, menunjukkan bahawa Allah menyayangi Rasulullah s.a.w. Allah menyayangi Rasulullah s.a.w dengan membetulkan kesilapan baginda. Kita sebagai manusia biasa, yang tidak maksum ini memang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, maka orang sekeliling kita, yakni sahabat-sahabat kita sendirilah berperanan untuk menegur kita ke arah kebaikan bersama.

Jenayah Dalam Ukhuwwah

Mari kita sama-sama koreksi diri kita sendiri, adakah kita benar-benar menyayangi sahabat-sahabat, adik-beradik, ibu bapa dan orang-orang di sekeliling kita. Jika ya, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus menegur orang di sekeliling kita. Jika kita benar sayangkan sahabat kita, maka beranikan diri untuk menegur mereka, bukan teguran untuk menjatuhkan, tetapi teguran yang menunjukkan rasa sayang, membuktikan rasa kecintaan.

Jika kita masih belum mampu lagi menegur perlakuan sahabat sendiri yang sememangnya lari daripada skema yang ditetapkan Illahi, kita sebenarnya masih belum mencintai sahabat sendiri. Jika kita sendiri berani untuk meluahkan 'uhibbuki fillah', 'asihiteru fillah' dan 'sayang kamu kerana Allah', maka kita perlu berani untuk meluahkan teguran dan nasihat kita sebagai tanda kecintaan yang sebenarnya kepada sahabat-sahabat kita. Jangan pernah sesekali mengiakan setiap perlakuan sahabat kita, kerana kemungkinan hal ini mungkin boleh mengundang diri kita dan sahabat-sahabat kita daripada untuk terus leka dengan mainan dunia yang sementara ini. Jika kita tidak berani untuk menegur sahabat sendiri, sedarlah bahawa ini adalah salah satu daripada jenayah dalam sebuah ukhuwwah.

"Apabila kita berani menasihati kawan, baru kita yakin keakraban kami. Apabila kita segan menasihatinya, baru kita sedar sebenarnya kita belum akrab."
-Ustaz Nik Mohamad Abduh-

Sahabat yang baik ialah sahabat yang senantiasa menegur sahabatnya apabila melakukan kesalahan. Sebuah teguran supaya sahabat kita tidak terus tergelincir dalam melakukan kemaksiatan. Sebuah teguran yang sama-sama membawa ke arah kebaikan dan pengislahan. Janganlah kita mensia-siakan sebuah jalinan ukhuwwah ini gara-gara disebabkan jenayah ukhuwwah ini. Sebuah jenayah yang terus menutup mata kita untuk menegur sahabat yang disayangi.



Sahabat-sahabat, jika kalian benar-benar menyayangi diri ini, hadiahkanlah sebuah teguran kepada diri ini. Titipkanlah nasihat supaya diri ini terus berada di landasan yang betul. Jangan biarkan diri ini terus terkapai-kapai tanpa sebuah teguran yang telus daripada sahabat semua. Jangan kira biarkan jenayah ini terus menular dalam ukhuwwah dan boleh menjadi barah yang makin parah!

Sama-samalah kita mengamalkan ayat ketiga surah Al-'Asr yang selama ini kita sudah tadabbur maknanya.

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Berkatalah benar walaupun pahit!



Sunday, 7 October 2012

Jadilah Seperti Tasik

Suasana di meja makan sunyi sepi. Hanya kedengaran sudu berlaga dengan pinggan lauk sekali sekala. Masing-masing tidak berani untuk bercakap. Sudah menjadi tradisi keluarga itu, semua yang sedang menikmati makanan ketika berada di meja makan dilarang sama sekali menuturkan walau satu apatah perkataan. Mereka hanya boleh bersuara tatkala mereka selesai menjamu selera.

Tiba-tiba...

"Ayah.." salah seorang anak bersuara. Nada suara seperti takut-takut. Teragak-agak untuk menutur kata. Si ayah memandang si anak dengan pandangan yang tajam. Tanda sebuah amaran. Ibu dan ahli keluarga lain pula terpinga-pinga apabila anak itu berani bersuara.

"Ayah." kali kedua si anak memanggil ayahnya. Nada suara sama seperti tadi, kelihatan takut-takut dan teragak-agak.

"Diam! Kan ayah dah cakap, masa makan tidak boleh cakap. Kalau nak cakap, cakap lepas kita habis makan." tegas si ayah memberi amaran.

Si anak hanya mengangguk. Menandakan akur kepada 'undang-undang' yang dicipta oleh ayahnya. Hasrat yang terbuku dihati akan diluahkan sejurus sahaja mereka selesai makan nanti.

Usai makan, si ayah memanggil si anak.

"Nak, ada apa tadi?" soal si ayah. Lembut tutur katanya.

"Tiada apa. Tadi saya hanya nak cakap dekat ayah yang salad ayah makan tadi ada ulat." jawab si anak.

Si ayah bungkam membisu. Memikirkan ulat yang sudah pasti lumat masuk ke perut bersama-sama salad. Memikirkan kerasionalan 'undang-undang' yang dicipta di meja makan.

Sengaja saya selitkan anekdot seperti di atas. Sebuah anekdot yang mampu membuatkan kita mengukir garis senyum. Namun, dalam masa yang sama ini merupakan sebuah anekdot yang sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada saya dan mempunyai kaitan dengan tajuk entri yang saya ingin saya sampaikan.

Bukan Soal Lama Makan Garam

"Bang, saya rasa gimik pelancaran tu perlu muzik yang mantap. Yang mampu membuatkan audien terpegun." cadang salah seorang AJK bagi gimik pelancaran sesebuah program.

"Mana boleh macam tu. Kita kena ikut idea asal. Lagipun awak siapa nak bagi cadangan untuk gimik pelancaran tu nanti. Dah la sewaktu pelancaran nanti ada orang-orang kenamaan yang datang. Dah, dah, pergi buat kerja." arah si ketua. Cadangan daripada AJK langsung ditolak mentah-mentah. Tanda tidak menerima cadangan tersebut.

Terkadang apabila kita berada di atas, kita jarang mahu mendengar cadangan daripada orang bawahan. Kita menyangka bahawa kitalah yang berada di atas, tidak sewajarnya cadangan mereka yang di bawah kita terima.

Ada juga golongan yang merasakan diri mereka hebat, tinggi ilmu pengetahuan, luas pengalaman. Lantas, jika terdapat orang lain yang dirasakan kurang berilmu daripadanya, bila didatangkan nasihat, badan menjadi panas, hati bertukar menggelegak, dek kerana marah tidak bertempat bila didatangkan nasihat. Berasakan diri sudah hebat serba serbi, tidak perlu menerima teguran walaupun sekadar sipi-sipi.

Begitu juga apabila orang yang menasihati kita itu adalah orang yang lebih muda daripada kita. Bukan semua orang boleh menerima nasihat daripada orang yang lebih muda daripada mereka. Alasan 'saya sudah lama makan garam' membuatkan ramai dalam kalangan yang lebih tua menolak mentah-mentah pandangan mereka yang lebih muda.

Lebih ramai yang tidak membuka hati masing-masing dalam menerima nasihat.

Lebih ramai yang menutup hati, memekakkan telinga menandakan masing-masing tidak memerlukan nasihat atau teguran daripada orang 'biasa-biasa' sahaja.

Sebuah Analogi

"Ok. Baiklah. Sekarang semua pandang ke depan." Seorang sahabat merangkap urusetia aktiviti yang kami jalankan ketika itu bersuara.

Di hadapan beliau terdapat satu dua botol air mineral 500 ml. Satu botol yang ditutup dengan penutup botol, manakala satu botol lagi dibiarkan terbuka tanpa penutup. Yang pasti, kedua-dua botol berisi separuh air.

Dalam hati saya terdetik apakah perkara yang ingin beliau lakukan. Saya dan sahabat-sahabat yang lain menumpukan sepenuh perhatian terhadap botol-botol tersebut.

"Ok. Sekarang semua lihat. Apa yang akan terjadi jika botol yang terbuka ini dituangkan ke atas botol yang tertutup ni." Sejurus selepas itu beliau menuangkan air dari botol yang tidak berpenutup itu ke atas botol yang ditutup dengan penutup.

Seperti yang dijangka, sudah pasti air daripada botol yang dituang itu tidak dapat masuk ke dalam botol yang ditutup dengan penutup. Air hanya mengalir jatuh ke tanah. Tidak mengalir masuk ke dalam botol yang ditutup walaupun matlamatnya adalah untuk memasukkan air ke dalam botol yang ditutup tersebut.

"Analoginya di sini ialah, anggaplah air tersebut sebagai ilmu. Dan botol yang ditutup adalah diri kita sendiri manakala botol yang dituang itu adalah orang yang ingin menyampaikan ilmu kepada kita. Jika kita tutup hati kita untuk terima segala ilmu, nasihat dan teguran, sampai bila-bila kita tidak akan dapat terima benda-benda itu semua. Jadi, bukalah hati kita untuk terima segala ilmu, nasihat dan teguran daripada orang lain."

Mendengar rumusan daripada analogi tersebut, saya mengintrospeksi diri. Begitu terkesan di hati terhadap terhadap analogi botol yang didemonstrasikan di depan kami sebentar tadi. Menginsafi segala tingkah laku diri yang terkadang diri sendiri telah menutup hati. Moga Allah mengampuni setiap perlakuan kerana terkadanag diri sendiri telah menyombongkan diri. Sombong daripada menerima segala teguran, nasihat mahupun ilmu yang ingin disampaikan.

Ibrah Daripada Alam

Sahabat, mari kita tadabbur alam. Cuba renungkan, gunung yang tinggi itu tidak dapat menakungi air. Namun, tasik yang berada di kawasan rendah dapat menakungi air.

Walaupun sebanyak mana sekalipun air yang jatuh ke atas gunung tersebut, air tersebut tidak sekali-kali bertakung di puncak gunung tersebut.

Namun, jika air jatuh dan mengalir ke dalam tasik, tasik tersebut berupaya menakung air walaupun air yang jatuh dan mengalir itu adalah banyak.

Cuba tanya diri kita sendiri, kita adalah gunung ataupun tasik? 

Jadilah seperti tasik, sentiasa merendah diri, mampir dengan bumi, senantiasa boleh ditakungi air. Jangan jadi seperti gunung, terasa sudah tinggi, air pun tidak mampu ditakungi.



Bukalah hati. Lapangkanlah dada dalam menerima nasihat, teguran dan ilmu yang ingin disampaikan. Usahlah kita mengukur umur, ilmu yang ada pada orang itu dan banyak mana pengalaman yang ditimba dalam diri seseorang sebagai indikator untuk kita menerima nasihat, teguran dan ilmu. Kita semua adalah sama. Sekadar manusia yang berstatuskan hamba yang hina.

Jika kita sebagai manusia biasa sukar untuk menerima teguran, nasihat mahupun ilmu yang ingin disampaikan kerana berasakan diri sudah terlalu hebat, tadabburilah kisah Ummu Salamah yang telah memberikan pendapat beliau kepada Rasulullah s.a.w ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Pandangan dan nasihat Ummu Salamah diraikan, dan diikuti oleh Rasulullah s.a.w.

Sedangkan Rasulullah s.a.w boleh menerima nasihat dan teguran daripada orang lain.
Apatah lagi diri kita sendiri yang tempat kita di syurga pun masih belum pasti.

Teladanilah sirah.
Ambillah ibrah.

Jangan dinasihati sedikit sudah terguris.
Teruslah optimis dengan segalanya yang sudah tergaris.




Sunday, 23 September 2012

Hargai Nikmat Kesibukan

"Banyak kerja!"

"Kertas kerja tak lulus lagi, program banyak lagi menanti."

"Assignment banyak lagi tak siap, meeting pulak tak henti-henti."

Mungkin inilah antara bait-bait kata yang terucap dek kerana cuba menyedut udara kelapangan dalam keadaan tercungap-cungap. Mungkin kebanyakan orang menganggap ungkapan-ungkapan tersebut adalah lebih kepada keluhan, namun secara peribadi, saya menganggap, ungkapan-ungkapan tersebut sekadar luahan rasa dalam memohon yang lain mengerti. Ungkapan sekadar hiburan sebagai melunakkan hati yang hanya Dia sahaja mengerti.

Sabar Pengubat Naluri

Suatu petang, seorang anaknya mendekati bapanya yang sedang membaca akhbar.

"Ayah. Ayah." kata anak itu.

"Ada apa?" tanya sang bapa.

Anak itu berkata, "Saya penat. Sangat penat. Saya penat kerana terpaksa berhempas pulas belajar untuk mendapat markah terbaik, sedangkan kawan-kawan saya mendapat markah baik dengan hanya meniru sahaja."

"Saya penat kerana terpaksa meminta emak membersihkan rumah, sedangkan rakan saya ada pembantunya. Saya mahu kita juga ada pembantu. Saya penat. Sangat penat."

"Saya penat ayah. Saya penat menahan diri. Saya ingin menjadi seperti mereka. Mereka kelihatan gembira, senang lenang. Saya ingin bersikap seperti mereka." Kata anak itu sambil air matanya mula berlinang.



Si bapa hanya tersenyum dan mengelus-ngelus kepala anaknya sambil berkata, "Anakku, jom ikut ayah. Ayah akan tunjukkan sesuatu kepadamu."

Seraya itu si bapa menarik tangan anaknya menuju ke seuatu tempat.

Mereka menyusuri jalan yang sangat teruk. Berlumpur, banyak duri, semak-samun, lalang dan serangga yang berterbangan. Lalu si anak mengeluh,

"Ayah, kita hendak ke mana ni?"

"Saya tidak suka jalan seperti ini. Tengoklah kasut saya kotor, kaki saya luka tertusuk duri. Badan saya digigit serangga. Hendak berjalan pun susah kerana banyak semak samun dan lalang. Saya tidak suka jalan ini, ayah."

Si bapa hanya diam mendengar kata-kata anaknya.

Akhirnya mereka sampai ke sebuah tasik yang cantik. Air tasik itu sangat sejuk dan segar, ada banyak rama-rama berterbangan, bunga-bunga yang cantik dan pokok-pokok yang rendang dan merimbun.

"Oh, tempat apa ni ayah? Saya suka. Sangat suka tempat ini!" jerit si anak penuh keriangan.

Bapanya hanya diam, kemudian duduk di bawah pokok yang rendang berhampiran rumput menghijau.

"Mari ke sini anakku, duduk di sebelah ayah." ujar si bapa lalu si anak akur.

"Anakku, tahukah kenapa kawasan ini begitu suci, padahal tempat ini amat indah?" tanya si bapa.

"Tidak tahu ayah. Kenapa?" jawab si anak.

Ini kerana tidak ada orang yang mahu menyusuri jalan yang teruk tadi sedangkan  mereka tahu ada tasik yang cantik di sini. Mereka tidak mempunyai kesabaran untuk menyusuri jalan itu." Kata si bapa lagi.

"Oh, maknanya kita adalah orang yang sabar yea ayah?"

"Ya, akhirnya kau mengerti anakku."

"Mengerti apa. Saya tidak faham."

"Anakku, kita perlu kesabaran dala belajar. Perlu sabar untuk bersikap baik, perlu sabar dalam kejujuran, perlu sabar dalam setiap kebaikan agar mendapat kemenangan."

"Seperti jalan tadi, bukankah kau perlu sabar ketika kakimu terpijak duri? Kau perlu sabar ketika kasutmu kotor terkena lumpur. Kau perlu sabar ketika melalui semak samun, kau perlu sabar badanmu digigit serangga."

"Dan akhirnya semua itu berbaloi bukan? Ada tasik yang sangat cantik. Jika kau tidak sabar, apa yang kau dapat? Kau tidak akan mendapat apa-apa. Anakku, oleh itu bersabarlah anakku."

"Tapi ayah, bukan mudah untuk bersabar."

"Ayah tahu, sebab itu ada ayah untuk menggenggam tanganmu agar kau tetap kuat. Begitu juga hidup ini, ada ayah dan ibu yang akan terus berada di sampingmu supaya ketika kau jatuh, kami boleh mengangkatmu."

"Tetapi ingatlah anakku, ayah dan ibu tidak selamanya boleh mengangkatmu ketika kau jatuh. Suatu waktu nanti kau perlu bangkit sendiri. Maka janganlah bergantung hidup kepada orang lain. Jadilah dirimu sendiri, seorang pemuda yang kuat, tetap tabah dan teguh kerana tahu ada Allah bersamamu."

Hargai Nikmat Kesibukan 

Terkadang hati dihimpit rasa pilu melihatkan sahabat-sahabat sekeliling yang duduk bergoyang kaki menonton movie, sedangkan ada yang segolongan yang lain tidak henti-henti bermesyuarat, berkejar ke sana ke mari.

Ada yang menjeruk rasa tatkala assignment yang masih tidak banyak disentuh walhal sahabat-sahabat yang lain sedang sibuk mencari bahan tugasan.

Kadangkala terselit rasa cemburu melihatkan yang lain sedang duduk bersuka ria sedangkan segolongan yang lain sedang berhempas-pulas memastikan program mencapai matlamat dan berlangsung dengan jayanya.

Dalam menghadapi situasi seperti ini, satu sahaja penyembuh rasa pilu, pengekang rasa cemburu iaitu sabar.

Sabar. Satu perkataan yang mudah diungkapkan, namun untuk melaksanakannya adalah teramat sukar. Namun, melalui sabarlah kita semua bertambah kuat. Melalui sabarlah sebuah kepuasan yang kita sendiri tidak menjangka sebuah keindahan yang dianugerahkanNya.


Melalui kisah di atas, si anak perlu bersabar dalam menghadapi kasut yang kotor, digigit serangga. Si anak mengumpul sepenuh kesabaran untuk melintasi jalan yang penuh semak-samun dan bersabar tatkala kaki terluka tertusuk duri.


Begitu juga dalam hidup realiti. Ada hati yang menahan sabar apabila diri benar-benar dihimpit dengan 1001 kesibukan. Walau bagaimanapun, berbanggalah wahai sahabat kerana kesibukan yang kalian semua alami itu merupakan salah satu daripada legasi perjuangan Rasulullah s.a.w.

Teringat akan kata-kata Almarhum Dato' Haji Fadzil bin Mohd Noor,

"Jangan biar hidup sehari berlalu tanpa memikirkan urusan Islam"

Sehubungan itu, beruntunglah mereka yang sentiasa dikejar kesibukan kerana kesibukan itu bukanlah kesibukan yang sia-sia, namun sebuah kesibukan yang memberi peluang kepada kita untuk berjasa kepada agama. Kesibukan yang mengimpit juga sebenarnya menutup peluang untuk kita melakukan perkara-perkara maksiat dek kerana kesibukan itu telah menguasai seluruhnya. Sesungguhnya kesibukan itu adalah sebuah nikmat yang kita sendiri tidak terjangka akan nikmat yang dikurnia olehNya.

Sentiasa selitkan janjiNya di dalam hati, nescaya kalian tersenyum walaupun kesibukan itu bertandang tidak berhenti.

"Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu dan meneguhkan kedudukanmu"

(Surah Muhammad: 7) 



Ada yang mengeluh,
ingin gugur dan jatuh,
lalu dia berkata 'LELAH'..

Ada yang lelah,
tubuhnya penat,
tapi semangatnya kuat,
dan dia berkata LILLAH!



Monday, 2 July 2012

Terpilih, Memilih, Dipilih

Masih lagi kukuh di ingatan, beberapa tika dahulu, saya pernah dimarahi dengan teruk dengan orang-orang yang lebih berpengalaman daripada saya. Mereka adalah orang yang telah dahulu makan garam daripada saya. Tika itu, saya dan seorang kawan saya dimarah dan diherdik sehingga berasakan seperti belati menusuk tajam ke dalam kalbu.

Proposal yang dibawa bersama telah dilayangkan dengan kasar di hadapan kami, sepedas bahasa yang diucapkan keluar daripada mulut orang-orang yang lebih berpengalaman itu. Entah di mana silapnya, kami terpaksa menerima amarah mereka dengan hanya menundukkan muka. Menekur segala apa yang ada di atas meja.

Masih terasa hangatnya air jernih yang mula bertakung di mata. Sementelahan menelan setiap bait perkataan yang diluahkan kepada kami, saya sedaya upaya untuk tidak menumpahkan takungan air hangat tersebut daripada mata. Saya cuba menahan diri daripada menangis di hadapan mereka. Meskipun jauh di dasar hati, terbit rasa geram dan sedih atas apa yang kami alami ketika itu. Segala pandangan dan pendapat kami ditolak bulat-bulat tanpa sempat kami memuntahkan segala pandangan dan pendapat daripada pihak kami sendiri.

Peristiwa itu merupakan salah satu lipatan kenangan yang masih membekas di hati. Namun begitu, saya yakin dan pasti, setiap apa yang terjadi adalah caturan daripada Illahi. Saya berasa sangat pasti, ini adalah salah satu bentuk tarbiyyah yang layak diterima buat diri.

Si Buluh dan Si Petani

Terdapat serumpun buluh yang tumbuh di halaman rumah seorang petani. Dalam rumpun itu terdapat sebatang buluh yang tinggi menjulang mengatasi buluh lain dalam rumpun tersebut. Buluh itu ternyata menarik perhatian si petani pemilik pokok buluh tersebut.

Petani berkata kepada buluh, "Wahai buluh, aku ingin menggunakan engkau menjadi saluran air untuk mengairi sawahku. Sudikah engkau?"

Buluh menjawab, "Oh, tentu aku sudi dan gembira untuk berbakti dan bermanfaat untukmu. Katakan sahaja apa yang perlu aku lakukan sebagai bakti menyalurkan air untuk sawahmu."

"Mula-mula, aku akan menebangmu untuk memisah-misahkan engkau daripada rumpunmu yang indah itu. Lalu aku akan membuang cabang-cabang supaya tidak melukakan orang yang memegangnya. Selepas itu, aku akan membelah engkau. Akhir sekali, aku akan membuang sekat-sekat yang ada dalam batangmu, supaya air dapat mengalir dengan lancar. Apabila semua sudah selesai, engkau akan menjadi saluran yang mengalirkan air untuk mengairi sawahku sehingga padi yang kutanam dapat tumbuh dengan subur."

Mendengar hal itu, bulu terdiam lama. Kemudian, dia berkata kepada petani, "Tuan, tentu aku akan berasa sangat sakit ketika engkau menebangku. Juga pasti aku akan berasa sakit ketika engkau membuang cabang-cabangku. Bahkan, aku pasti akan berasa lebih sakit ketika engkau membelah jasadku ini, dan pasti tak tertahankan ketika engkau mengorak sekat-sekat penghalang itu. Apakah aku cukup kuat untuk menghadapi semua ini?"

"Wahai buluh, engkau pasti kuat melalui semua itu. Sebab itu aku memilihmu kerana aku perhatikan engkaulah yang paling kuat berbanding buluh-buluh lain. Tenanglah!"



Akhirnya, dengan rasa pasrah, buluh nekad dengan keputusannya untuk berbakti kepada petani.

"Kalau begitu, baiklah. Aku sangat ingin berbakti dan bermanfaat bagimu. Inilah aku, tebanglah aku. Buatlah apa sahaja untuk aku dapat berbakti dan bermanfaat mengairi padi di sawahmu. Nanti pasti ramai yang mendapat hasil tanaman padimu.

Suatu Proses

Bagi memenuhi desakan fitrah untuk berbakti, menabur budi, serta memberi manfaat sesama manusia dan sesama makhluk, pastinya kita memerlukan kekuatan, kebolehan dan kemampuan dalam bidang masing-masing.

Berdasarkan kisah di atas, buluh diminta menjadi saluran air. Kita sebagai khalifah di bumi, pastinya memerlukan kebolehan, kemampuan dan kekuatan utnk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Seperti buluh tersebut, untuk menjadi satu saluran air yang mampu memberi manfaat, sudah pastinya buluh tersebut perlu berkorban dan melalui beberapa kesakitan dan keperitan semata-mata untuk menjadi satu saluran air. Buluh tersebut akan ditebang. Buluh tersebut akan dibuang cabang-cabang yang terdapat di badannya. Buluh tersebut akan dibelah dan seterusnya akan dibuang sekat-sekat yang terdapat dalam buluh tersebut.

Perit bukan proses yang perlu dilalui oleh buluh tersebut?

Begitu juga dengan kita. Kita sebagai manusia, untuk menjadi seorang khalifah bukanlah sesenang duduk bergoyang kaki semata-mata. Proses yang dilalui mestilah mempunyai pelbagai cabaran dan keperitan yang harus kita semua telan demi berbakti kepada Islam.

Terkadang kita akan diherdik, dicaci, dimarahi sehingga terkadang wujud penyesalan dalam diri dan terbit rasa putus asa.  Terkadang kita akan berasa segala yang kita lakukan tidak diterima oleh orang sekeliling. Terkadang kita akan jatuh terduduk, tersungkur sehingga memerlukan tangan-tangan lain menarik kita supaya kita kembali stabil berdiri.

Itulah proses pendidikan daripada Allah. Biarkan Allah bebas mentarbiyyah diri kita supaya kita mampu menjadi khalifah yang dapat berbakti. Khalifah yang mampu berjuang dalam menegakkan agamaNya. 

Buat mereka yang hampir tersungkur (dan mungkin sudah ada yang tersungkur), bangkitlah kembali. Terimalah segala tarbiyyah daripada IIlahi. Siapkan hati untuk terus bersiap siaga dalam menempuhi 'tamrin' setiap detik yang telah dan akan kita lalui. 

Sesungguhnya kita sedang berada dalam tamrinNya!

Sama ada kita memang MEMILIH untuk berada dalam trek perjuangan ini, ataupun kita sebenarnya tidak berniat untuk berjalan atas trek ini, namun kita adalah golongan yang TERPILIH, namun yang pasti kita sememangnya telah DIPILIH olehNya dan berada dalam trek perjuangan ini.

Berbanggalah kita kerana sememangnya kita adalah pilihan daripadaNya!



Sunday, 20 May 2012

Cepat-cepat Masuk Landasan Kembali

"Akak, saya rasa sangat sedih." Luah seorang sahabat berpangkat adik kepada Dhia tika mereka bertemu.

"Sedih kenapa pula dik?" Dhia menyoal adik itu. Cuba menyelongkar hatinya, tahu di mana suis kesedihan itu dipetik.

"Saya sedih sebab saya tengok kawan-kawan yang lain semua mempunyai perancangan program yang hebat-hebat, yang mantap-mantap. Tapi saya sendiri tidak dapat membuat perancangan yang sebagus mereka."

Nada suara adik itu jelas kedengaran sedikit kehampaan. Terdapat jalur-jalur kegelisahan di sebalik wajah yang tenang itu.

Adik itu menceritakan bahawa setiap daripada mereka dikehendaki untuk merancang beberapa program dan dibentangkan di hadapan kawan-kawan satu organisasinya. Apa yang pasti, setiap daripada mereka mempunyai perancangan dan program yang agak bagus, demi kebaikan semua pihak.

"Okey. Baiklah, sekarang akak nak tanya, tujuan Zulfa buat program-program itu untuk apa? Segala perancangan yang telah disusun itu untuk apa? Untuk kebaikan kampuskan? Namun, adakah Zulfa belek balik nawaitu di sebalik hati Zulfa itu?

Adik itu terdiam.

Dhia juga terdiam. Memuhasabahkan diri dengan bait-bait kata sendiri.

Mungkin ada dalam kalangan kita sendiri pernah berdepan dengan situasi tersebut. Melihatkan perancangan orang lain semuanya hebat-hebat. Berpendapat orang lain bekerja lebih bagus daripada diri sendiri menyebabkan kita sedih kerana kerja-kerja kita tidaklah sebagus mereka.

Namun kita lupa akan satu perkara.

Satu perkara yang menjadi tunjang kepada semua perkara.

Nawaitu.

Kisah 'Abid dan Syaitan

Teringat saya akan sebuah kisah. Kisah yang mana saya sudah lupa sumbernya daripada mana. Namun, kisah ini akan senantiasa saya ingati kerana kisah ini mempunyai ibrah yang tersendiri.

Terdapat satu kisah yang mana di suatu tempat terdapat seorang 'abid yang sangat tekun dan taat beribadah kepada Allah. Setiap detik, setiap saat, 'abid tersebut pasti tidak lupa untuk mengabdikan diri kepada yang Maha Esa.

Namun, terdapat satu perkara yang membuatkan si 'abid ini berasa tidak selesa. Di suatu tempat, terdapat ramai orang yang akan menuju ke sebuah pokok dan melakukan pemujaan terhadap pokok tersebut. Oleh kerana disebabkan si 'abid tersebut tidak mahu mereka terus mensyirikkan Allah, maka si 'abid itu keluar dan menuju ke pokok tersebut.

Niat di hati hanya ini menebang pokok tersebut.

Niat si 'abid hanya inginkan agar mereka tidak terus mensyirikkan Allah.

Niat mulianya supaya mereka itu berpaling kepada Allah.

Gambar hiasan
Dengan tekad dan penuh keazaman, si 'abid menuju ke arah pokok tersebut. Namun, di pertengahan jalan, si 'abid telah dihalang oleh syaitan.

"Kamu mahu ke mana?" tegur syaitan kepada si 'abid.

"Aku mahu tebang pokok itu. Aku tidak mahu mereka terus mensyirikkan Allah." Si 'abid menjawab dengan jujur pertanyaan syaitan itu.

"Aku tidak akan sekali-kali membenarkan kamu menebangnya!" Bentak syaitan tersebut.

Maka berlakulah pergelutan antara syaitan dengan si 'abid tersebut. Dalam pergelutan tersebut, dengan mudahnya syaitan dapat dijatuhkan ke tanah.

Menyedari sebuah 'kekuatan' yang ada dalam diri si 'abid tersebut, syaitan menawarkan sebuah tawaran yang hebat kepada si 'abid tersebut.

Sebuat tawaran yang sangat lumayan.

Sebuah tawaran yang mampu memukau mata semua orang.

"Jika engkau tidak menebang pokok tersebut, aku akan memberimu dua dinar setiap hari."

Syaitan telah berjanji akan memberikan dua dinar kepada si 'abid jika si 'abid tidak menebang pokok tersebut. Syaitan berjanji akan terdapat dua dinar pada setiap pagi selepas si 'abid bangun daripada tidur.

Pada hari pertama, si 'abid mendapati terdapat dua dinar seperti yang dijanjikan oleh syaitan. Begitu juga hari kedua dan seterusnya. Si 'abid begitu seronok apabila beliau mendapat dua dinar emas sejurus sahaja bangun daripada tidur di pagi hari.

Walau bagaimanapun, pada suatu hari, si 'abid mendapat tiada lagi dua dinar diperoleh sebagaimana yang telah dijanjikan  oleh syaitan tadi. Lantas, kerana terlalu marah kepada syaitan tersebut, si 'abid terus meluru laju untuk menebang pokok itu sekali lagi.

Niat untuk menebang pokok kerana terlalu marah kepada syaitan itu.

Niat untuk menebang pokok kerana dua dinar yang tidak lagi diperolehi.

Dalam perjalanan menuju ke pokok tersebut, sekali lagi syaitan tersebut menghalang. Si 'abid tadi berkeras mahu menebang pokok tersebut. Maka, sekali lagi, berlakulah pergelutan antara si 'abid dan syaitan. Walau bagaimanapun, pada kali ini, syaitan tersebut dapat menjatuhkan si 'abid ke tanah.

Menyedari situasi seperti itu, si 'abid hairan bagaimana dia boleh dikalahkan dengan begitu mudah oleh syaitan tersebut. Lantas si 'abid bertanya kepada syaitan.

"Bagaimanakah engkau boleh mengalahkan aku, sedangkan beberapa ketika dahulu aku dapat mengalahkan engkau dengan begitu mudah?"

Lantas syaitan menjawab, " Pada ketika itu engkau marah kerana Allah, maka Allah memberikan kemenangan kepadamu. Namun pada kali ini engkau marah bukan kerana Allah, tetapi kerana dua dinar, maka dengan senangnya aku boleh mengalahkanmu."

Cerita Delisa

Saya tertarik dengan satu bahagian dalam filem Hafalan Shalat Delisa yang pernah saya nukilkan dalam artikel sebelum ini. Suka saya mengaitkan filem ini dengan tajuk entri pada kali ini. 

"Ustaz Rahman." Panggil Delisa.

Tika itu, Ustaz Rahman sedang memegang kamera dan mengambil beberapa keping gambar untuk dihantar kepada Kak Sophie, salah seorang sukarelawan semasa bencana tsunami.

"Ya." Ustaz Rahman menyahut panggilan Delisa, namun jarinya masih lagi memetik butang kamera.

"Kenapa Delisa susah sangat melakukannya?"

"Susah apanya?"

"Soalnya Delisa susah sekali melakukannya."

Soalan yang sama terpacul di mulut kanak-kanak lincah itu menyebabkan Ustaz Rahman menghentikan kerja beliau. Lantas Ustaz Rahman melabuhkan punggung di sisi Delisa.

"Orang yang susah lakukan sesuatu sebab hatinya tidak ikhlas."

"Tak ikhlas macam mana ustaz?"

"Tak ikhlas itu maknanya dia melakukan sesuatu itu bukan kerana Allah."

"Dia hanya mengharapkan hadiah, hadiah, hadiah."

Cepat-Cepat Masuk Landasan Kembali

Jika terasa niat tergelincir daripada landasan hati, cepat-cepat tarik kembali niat tersebut ke landasannya. Apabila niat sudah berada dalam landasan yang sepatutnya, sudah pasti kerja yang dilakukan akan menjadi seronok, dan kita akan hanya melakukan semua itu kerana Allah.

Bukan kerana siapa-siapa.

Bukan kerana mengejar pujian manusia.

Hanya tetapkan hati kerja keranaNya.



Memang tidak dapat dinafikan, teramatlah sukar untuk senantiasa menetapkan niat supaya berada pada landasannya. Namun, kita perlu mencuba. Kita perlu berusaha supaya setiap perkara tersebut terasa sebuah kenikmatan dalam melaksanakannya.

Ayuh, perbaiki niat sentiasa. Jika niat kita pada material atau fizikal semata, adakah itu sahaja yang kita mahu? Jom, sama-sama baiki niat kita. Niat bukan hanya pada permulaan amalan, tetapi sepanjang masa. Niat itu di hati, hati mudah berubah-rubah. Kerna itu niat perlu sentiasa diperbaiki.

Niat sudah tergelincir daripada landasannya?

Yuk, sama-sama alihkannya masuk ke landasan yang betul kembali.