Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Sunday, 29 January 2012

Tidak Rugi Dalam Memberi

Setiap kali setelah menunaikan solat secara berjemaah di masjid, seorang kanak-kanak pasti akan ke sebuah tabung masjid. Kemudian, kanak-kanak tersebut akan duduk dan tersenyum di hadapan tabung masjid itu. Perlakuan kanak-kanak itu diperhatikan oleh pak imam masjid tersebut. Perbuatan yang berulang-ulang kanak-kanak lelaki itu iaitu menuju ke tabung masjid, kemudian duduk menghadap tabung masjid, dan akhirnya tersenyum di hadapan tabung masjid tersebut. Perlakuan kanak-kanak itu menimbulkan rasa curiga di hati pak imam. Hairan dengan gelagat kanak-kanak itu. Tidak pernah lagi pak imam melihat telatah manusia lain seperti itu selain daripada kanak-kanak tersebut.

Setelah solat Maghrib, kanak-kanak lelaki itu melakukan rutin hariannya. Pak imam mengekori langkah kanak-kanak tersebut. 

"Apa yang kamu buat nak? Tiap-tiap hari pak imam tengok kamu buat benda macam ni." Tanya pak imam dengan perasaan ingin tahu yang semakin membuak-buak.

"Oh pak imam. Saya sebenarnya sedang bersedekah untuk tabung masjid ni." Sopan kanak-kanak tersebut menjawab pertanyaan pak imam.

Anehnya. Bersedekah? 

"Bersedekah? Macam mana kamu bersedekah? Pak imam tak pernah nampak pulak selama ini kamu masukkan duit dalam tabung itu. Apa yang pak imam selalu nampak, kamu selalu datang ke tabung ni, kemudian duduk di depan tabung ni. Lepas tu pak imam tengok kamu selalu tersenyum kat tabung masjid ini." Panjang lebar pak imam meluahkan kata-kata yang selama ini disimpan dalam hati.

"Saya senyum kat tabung masjid ni dikira bersedekah pak imam. Kan senyum tu adalah sedekah." Ujar kanak-kanak tersebut seraya menyedekahkan sebuah senyuman kepada pak imam.

Terpinga-pinga pak imam mendengar jawapan kanak-kanak itu. Lalu pak imam tersenyum sebagai tanda sedekah kepada kanak-kanak tersebut.

Sedekah Yang Baik

Pasti kita semua pernah terbaca anekdot kisah kanak-kanak dan pak imam tersebut bukan? Pastinya ada yang tersenyum sendiri dengan jawapan kanak-kanak tersebut. Sedekah. Satu perkataan yang mudah cukup untuk difahami. Apabila disebut sedekah, pasti fikiran kita terbayang akan tangan yang menghulur 'sesuatu' kepada pihak yang lain. Apabila disebut sedekah, pasti terbayang di mata kita sebuah senyuman yang ikhlas dilemparkan kepada orang lain. Namun, adakah kita tahu apakah sedekah yang paling baik? Sedekah yang paling baik adalah memberi barang yang kita sayang kepada orang lain.

لَنتَنَالُواْالْبِرَّحَتَّىتُنفِقُواْمِمَّاتُحِبُّونَوَمَاتُنفِقُواْمِن شَيْءٍفَإِنَّاللّهَ بِهِعَلِيمٌ

“ Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. (Ali-Imraan : 92)

Masih lagi lekat di ingatan saya akan seorang senior saya yang menghadiahkan saya button badge kepada saya. Tika itu, kami sedang meraikan majlis perpisahan pelajar tahun akhir sempena jasa dan keringat yang telah disumbangkan selama lima tahun di IPG. Ditakdirkan pada semasa jamuan itu juga adalah hari lahir saya. Apabila senior tersebut mengetahui bahawa hari itu adalah hari lahir saya, lantas dia menanggalkan button badge yang terdapat pada beg beliau seraya menghulurkan kepada saya.

"Eh, apa ni kak?" Soal saya apabila senior tersebut menghulurkan button badge itu.

"Ambillah. Ni hadiah daripada akak sempena hari lahir. Maaflah, akak tak tahu pun hari ni hari lahir adik." Ujar senior tersebut sambil tersenyum.

"Tapi button badge ni kan button badge yang akak sayang." Balas saya.

"Tak apa. Lagipun hadiah yang paling baik ialah apabila kita menghadiahkan barang yang kita sayang." Lantas button badge itu diletakkan di telapak tangan saya.

Button badge pada hari lahir saya

Beberapa minggu lepas, seorang adik yang saya sayang telah menghadiahkan saya barang yang disayanginya. Dia menghadiahkan saya satu riben.

"Akak, ni saya bagi kat akak. Nanti akak pakai tau. Ni barang yang saya sayang." Adik tersebut meletakkan riben yang disayanginya ke telapak tangan saya.

"Kan hadiah yang paling baik ialah memberi barang yang kita sayang." Sambung adik itu lagi.

Riben yang diberi oleh si adik :)

Tika itu, saya terpempan. Ini kali kedua saya menerima barang sebagai hadiah. Tambahan pula, barang tersebut pula merupakan barang yang amat disayangi.

InsyaAllah, saya akan menjaga barang yang dihadiahkan mereka dengan sebaik-baiknya.

Tidak Lokek Untuk Memberi

Kedua-dua peristiwa itu mengingatkan kepada saya supaya tidak lokek dalam memberi. Satu kata-kata yang memang saya sentiasa sematkan dalam kalbu ini.

"Berilah sebanyak-banyaknya. Bukan menerima sebanyak-banyaknya."

Ayuh semua, marilah kita aplikasikan kata-kata itu. Kata-kata itu mengajar kita untuk bersedekah. Lagipun, apalah erti hidup ini tanpa memberi. Dengan memberi, kita akan berasa seronok. Dengan memberi, kita akan berasa satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Tambahan pula, bukankah memberi itu dapat meluaskan rezeki kita?

Thursday, 26 January 2012

Jangan Malu Untuk Sebarkan Keindahan Islam

Masih teringat-ingat lagi kata-kata seorang sahabat kepada saya satu ketika dahulu.

"Kita ni sebenarnya segan untuk menyebarkan keindahan Islam kepada orang bukan Islam."

Termangu seketika saya mendengar bait-bait patah perkataan yang dikeluarkan oleh sahabat itu. Setiap patah perkataan itu umpama pistol yang berdas-das mengeluarkan tembakan kepada diri. Yang pasti, bait-bait kata itu memang tepat mengenai diri sendiri. Bait-bait kata itu seolah-olah menusuk-nusuk dalam hati, mengimbau kembali memori yang masih terakam kemas di balik sanubari.

Kata-kata sahabat itu mengingatkan saya kepada kawan bukan Islam saya. Saya akui, saya tidak mempunyai ramai kawan bukan Islam. Bersekolah di sekolah yang hampir seratus peratus beragama Islam dan berketurunan Melayu kemudian menjejakkan kaki ke matrikulasi, di bumi matrikulasilah saya mula berjinak-jinak berkawan dengan beberapa bukan Islam. Itupun kerana kami adalah satu kelas tutorial. Walaupun di bumi matrikulasi itu terdapat ramai bukan Islam, namun saya benar-benar rapat dengan beberapa orang sahaja bukan Islam di sana. 

Kawan-kawan Bukan Islam

Thu Siew Ching dan Tan Phooi Koon. Kedua-dua kawan bukan Islam ini amat baik dengan saya. Akrabnya saya dengan Thu Siew Ching mungkin kerana kami adalah satu kumpulan apabila melibatkan pembentangan dalam kumpulan. Malahan, beliau juga banyak membantu saya dalam menyelesaikan soalan-soalan matematik yang sering membuatkan saya menggaru kepala. Namun, sikapnya yang tidak kekok untuk mengajar saya itulah membuatkan saya semakin rapat dengannya. Malahan, setiap kali saya pulang dari kampung halaman, saya pasti tidak akan lupa untuk memberikan Ching sebungkus keropok segera. Sememangnya Ching amat gemar makan keropok. Manakala dengan Tan Phooi Koon pula, saya tidak pasti bagaimana kami boleh menjadi begitu rapat. Namun, ada satu kenangan yang terindah membuatkan saya masih lagi teringat akan Koon. Koon selalu memanggil saya 'cucu', dan Koon amat senang sekali apabila saya membalas panggilannya dengan memanggilnya 'nenek'. Dialog antara cucu dan nenek ini membuatkan hubungan saya dan Koon erat.

Kad raya yang diberikan oleh nenek Koon dan Ching kepada saya

Tamat matrikulasi, kami masing-masing terputus hubungan. Beberapa bulan meninggalkan matrikulasi, saya berpeluang menjejakkan kaki di bumi universiti pula. Walaupun hanya berpeluang menetap di situ selama 5 hari (tanpa sempat menghabiskan minggu suai kenal mahasiswa), saya meninggalkan bumi tersebut untuk berjuang di bumi IPG. Biarpun hanya 5 hari berada di bumi universiti, saya menjadi akrab dengan dua individu yang bukan Islam iaitu Lim Chin Ju dan juga Vanni. Lim Chin Ju dan Vanni masing-masing berbangsa Cina dan India merupakan 'klik' saya ketika minggu suai kenal selain beberapa orang kawan Melayu. Ke mana sahaja kami diarahkan pergi oleh urusetia ketika itu, kami pasti akan bersama. 

Masih basah lagi di ingatan apabila Lim Chin Ju dan Vanni masing-masing merayu kepada saya untuk tidak menerima tawaran dalam bidang perguruan di IPG. Malahan, menurut mereka setidak-tidaknya habiskan seminggu minggu suai kenal tersebut bersama-sama mereka, barulah saya keluar dari universiti tersebut bagi menguruskan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk tawaran ke IPG. Hari terakhir saya berada di bumi universiti tersebut, kami sama-sama menahan sebak usai menunggu detik perpisahan itu. Tika itu, kami masing-masing berjanji untuk saling berhubung biarpun saya sudah tidak menjadi warga universiti terbabit. Namun, entah di mana silapnya, hingga saat ini hubungan kami terputus begitu sahaja. Gambar-gambar kenangan yang diambil juga terhapus dek kerana semua gambar-gambar tersebut ada dalam laptop yang sudah rosak.

Tidak Sayangkah?

Teringat saya akan sebuah kisah, yang mana terdapat sepasang kawan yang sangat baik dan akrab. Walaupun agama mereka berbeza, seorang berbangsa Melayu dan seorang berbangsa Cina, hubungan keduan-duanya baik-baik sahaja. Dari kecil mereka berkawan, bermain, berjalan ke sekolah bersama-sama. Banyak masa mereka luangkan antara satu sama lain. Menjelang dewasa, kedua-duanya terpisah. Kawan yang berbangsa Melayu menyambung pengajian di universiti tempatan. Manakala, kawan yang berbangsa Cina pula melanjutkan pengajian di luar negara. Bertahun-tahun mereka tidak berjumpa. Bertahun-tahun juga mereka tidak menghubungi antara mereka sendiri.

Suatu hari, kawan yang berbangsa Cina itu pulang ke tanah air. Apabila kawan yang berbangsa Melayu itu mendengar khabar kawan lamanya sudah pulang, terus sahaja dia berjumpa dengan kawan lama tersebut. Apa yang menggembirakan, kawannya yang berbangsa Cina itu sudah memeluk agama Islam. Namun, sebuah pertanyaan daripada kawannya yang Cina itu membuatkan si Melayu itu tersentak.

"Kamu tidak sayangkan saya kah?" Tanya pemuda Cina itu.

"Kenapa pula saya tidak sayangkan kamu? Bukankah kita sudah berkawan sejak kecil lagi? Saya bergegas datang jumpa kamu pun kerana saya ingin berjumpa kamu. Sudah bertahun-tahun kita tidak berjumpa, mengapa kamu bertanyakan soalan sedemikian?" Bertalu-talu kawan berbangsa Melayu itu mengeluarkan patah-patah kata. 

Kawan yang berbangsa Melayu itu kehairanan. Hairan kerana tiba-tiba kawan sepermainannya ketika kecil menembak soalan sebegitu rupa.

"Kalau kamu sayangkan saya, mengapa kamu tidak pernah mengajak saya masuk Islam? Mengapa kamu tidak pernah menceritakan keindahan Islam?" Soalan daripada kawan yang berbangsa Cina itu membuatkan kawan yang berbangsa Melayu itu terdiam. Terasa bagaikan sebuah batu menghempap kepalanya.

Usah Malu, Sebarkan Keindahan

Saya tidak pasti sama ada kisah sepasang kawan terbabit adalah sebuah kisah benar ataupun fiksyen semata-mata. Walau bagaimanapun, dialog kawan yang berbangsa Cina itu membuatkan saya terfikir, saya tidak sayangkah kepada kawan bukan Islam saya? Ketepikan dahulu sebentar soal menyebarkan keindahan Islam sesama Muslim. 

Saya seringkali terfikir, segankah saya untuk menceritakan perihal Islam kepada bukan Islam. Mungkin ketika dahulu saya berasa belum berkeyakinan untuk bercakap soal Islam dengan mereka. Belum cukup ilmu untuk melontarkan sebuah keindahan Islam kepada mereka. Namun, ini tidak boleh dijadikan alasan semata-mata. Yakinkan diri untuk bercakap soal Islam kepada mereka. Belum cukup ilmu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menyampaikan indahnya sebuah Islam.

Andaikata saya masih berpeluang untuk berjumpa dengan Thu Siew Ching, Tan Phooi Koon, Lim Chin Ju dan Vanni, sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang untuk menceritakan keindahan Islam kepada mereka. Saya sudah tidak segan untuk menyampaikan Islam kepada mereka. Mudah-mudahan, Ya Allah.

Ayuh, sebarkan keindahan Islam kepada segenap manusia di bumi ini!


p/s: Mungkin video ini tiada kaitan dengan entri pada kali ini. Apa-apa pun saya tabik kepada Cina Kelantan yang mampu bercakap dalam loghat Kelantan seperti orang Melayu Kelantan sendiri.

Saturday, 7 January 2012

Pengajaran Daripada Batu Dan Pantai


Langkahnya kian melaju, selaju rentak degupan jantung. Sedihnya tidak dapat ditebak lagi yang akhirnya menjadi sendu. Naurah mempercepatkan langkah. Terasa terdapat cecair panas yang bergenang di kelopak mata, tanda tidak sabar-sabar lagi mahu mengalir keluar. Dia terus membuka langkah. Wajah mendungnya sedaya upaya ditundukkan bagi melindungi rasa hati yang tidak dapat dibendung lagi.

Pelawaan sahabat yang lain untuk makan tengah hari bersama ditolak lembut. Menyuakan alasan terlalu mengantuk, menyebabkan dia tidak dapat bersama-sama sahabat yang lain makan tengah hari. Akan tetapi hakikatnya, hatinya dipagut sedih.

Pandangan matanya sudah berbalam-balam dek air mata menakungi kelopak matanya. Fail yang kemas di tangan kanan dipeluk kemas, tanda untuk menyabarkan hati yang sedang merintih.

Pedih.

Naurah terus melangkah laju, menuju ke biliknya.

Sampai sahaja di bilik, dia terus terduduk di kerusi, berhadapan dengan meja belajarnya. Dia terus menelangkupkan mukanya di meja tersebut. Empangan air mata yang ditahan-tahan tadi, akhirnya pecah. Air mata sudah mengalir laju. Hati yang sedang dirundung sayu dilepaskan dengan tangisan.

"Allahu Rabbi… Apakah ini ujian untukku? Apakah ini adalah tarbiyyah untuk diriku?"

Naurah terus menangis. Air mata terus mengalir laju untuk menenangkan hati yang  terasa pedih.

Pedih dengan perbuatan sahabat sendiri.

Sedih akan perangai sahabatnya yang sukar dimengerti.

Naurah sendiri tidak faham mengapa sahabatnya tiba-tiba berubah sikap. Mungkin salah ada di pihaknya. Tetapi, bukankah berbincang itu satu jalan penyelesaian yang terbaik? Supaya masing-masing boleh koreksi diri, memahami  dan menyelami hati. Bukankah itu yang sepatutnya?

Akan tetapi, tindakan sahabatnya itu untuk menjauhkan diri menjadi tanda tanya.  Dia cuba untuk 'slow talk' dengan sahabat tersebut, tetapi selalu tidak menjadi. Dia sendiri tidak tahu punca masalah yang menyebabkan sahabatnya menjauhkan diri, lantas perselisihan faham itu menjadikan mereka tidak bertegur sapa berhari-hari.

Namun, segala tanda tanya tersebut bertukar menjadi rasa geram dan terkilan. Dia rasa terkilan apabila sahabat yang dipercayainya menuduh bukan-bukan terhadap dirinya. Sahabatnya sendiri menuduh Naurah mengambil wang yang disimpan dalam lacinya. Apabila mengingatkan kembali hal tersebut, jantungnya akan berdegup kencang. Dia tahu, dia sedang dirasuk amarah jika rentak jantungnya melaju. Dia tahu, syaitan sedang cuba mencucuk dirinya. Lantas, dia beristighfar dan terus beristighfar.

Nasib baik roommatenya masih belum pulang dari fakulti. Kalau boleh, sedaya upaya dia ingin menyembunyikan kisah duka tersebut daripada roommatenya, bagi menjauhkan dirinya daripada menceritakan aib sahabatnya.

Tangisannya masih belum terhenti. Naurah rindu untuk berbicara dengan Kekasih yang hakiki. Dia mendambakan petunjuk dan pertolongan kekasihnya itu. Dia ingin mengadu sepuas-puas hati tentang isi hatinya kepada Kekasihnya itu.

Lantas, tafsir Al-Quran yang diletakkan di birai meja dicapai. Secara rawak, Naurah membuka helaian suci itu. Kemudian, dengan tangisan yang masih berbaki, dia membaca bacaan ayat-ayat suci tersebut. Walaupun tangisannya masih belum berhenti, dia meneruskan bacaan hinggalah ke muka surat seterusnya. Dia tahu dengan cara ini dia akan tenang. Dia yakin dengan membaca ayat-ayat cinta tersebut, hatinya akan lega. Itulah kebiasaan yang dilakukan apabila dia menghadapi sesuatu masalah.

Seterusnya dia membaca maksud bagi setiap ayat. Bermula ayat 52, surah Al-Hijr Allah menceritakan dalam ayat tersebut bahawa Allah telah mengutuskan malaikat yang berupa lelaki yang tampan kepada Nabi Ibrahim. Kedatangan malaikat tersebut adalah untuk memberitahu berita gembira bahawa isteri Nabi Ibrahim, iaitu Sarah akan melahirkan seorang putera, yang bernama Ishaq. Berita tersebut merupakan sebuah perkhabaran gembira buat Nabi Ibrahim dan isterinya kerana berita tersebut tiba di kala usia Nabi Ibrahim sudah lanjut usia.

Kemudian, Naurah meneruskan lagi tadabbur ayat yang dibaca sebentar lagi. Ayat seterusnya menceritakan perihal malaikat yang diutuskan tadi menuju ke tempat kaum Nabi Lut, yang mana kaum Nabi Lut menjalinkan hubungan lelaki dengan lelaki (homoseksual). Apabila utusan tersebut berjumpa dengan Nabi Lut, mereka menjelaskan bahawa kedatangan mereka adalah untuk membawa azab dan menunjukkan kebenaran. Kemudian, kaum Nabi Lut musnah kerana azab yang menimpa mereka.

Pada ayat yang ke-85, Naurah tadabbur ayat tersebut berulang-ulang kali. Dia berasa agak terhibur dengan ayat tersebut. Naurah tidak berasakan bahawa ayat itu hanyalah kebetulan. Dia yakin bahawa ayat itu adalah ayat pujukan daripada Kekasih hatinya. Menadabburi ayat tersebut sekali gus meredakan perasaan terkilan terhadap sahabatnya dan mengurangkan rasa sedih yang menindih hatinya.

"Fasfahissafhal jamil." Penghujung ayat ke-85 itu diulang berulang-ulang kali. Sungguh ajaib, api amarah terpadam serta merta. Air mata terus meluncur laju. Lega. Lega dek kerana maksud tersebut sungguh mendalam maksudnya. Lega kerana seolah-olah Allah mentakdirkannya untuk membaca ayat tersebut, seakan-akan untuk memujuk dirinya.



"Syukur. Alhamdulillah ya Allah, atas ayat-ayat yang dapat menenangkan aku." Senyuman terkoyak dibibir Naurah akhirnya.

"... maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik." Maksud ayat ke-85 dibaca berulang-ulang kali.

Kalimah maafkanlah yang bermain-main di tubir mata Naurah umpama menarik-narik hatinya untuk memaafkan kesalahan sahabatnya itu. Mungkin sahabatnya itu tidak sengaja menuduhnya sedemikian. Mungkin pada masa itu, fikiran sahabat yang disayanginyaa tidak menentu. Naurah cuba berlapang dada terhadap sahabatnya itu. Bukankah serendah-rendah ukhuwwah adalah berlapang dada?

Naurah seboleh-bolehnya mendapatkan jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Mungkin ini adalah salah satu cara untuk Dia menguji setakat mana rasa kasih dan sayang Naurah terhadap nilai sebuah ukhuwwah itu. Ini adalah tarbiyyah untuk Naurah.

"Alhamdulillah, terima kasih ya Allah atas dugaan yang Kau berikan ini." Sesungguhnya Naurah tahu, dugaan yang didatangkan kepadanya menunjukkan kasih sayang Allah kepadanya.

Teringat kembali perbualan Naurah bersama Kak Raina, merangkap naqibah kesayangan Naurah, suatu ketika dahulu.

"Kak Raina, Naurah pernah terbaca sebuah kisah yang mana apabila saat pertama hati seseorang itu dilukai disebabkan perbuatan orang lain, sebatang paku seolah-olah akan tertanam di dinding. Kemudian, apabila orang tersebut memaafkan perbuatan orang yang melukakan hatinya, paku dicabut. Namun, bekas paku tersebut masih lagi berberkas di dinding. Analogi tersebut menyatakan bahawa, walaupun perbuatan orang lain sudah dimaafkan, namun pedihnya masih terasa. Apa pendapat akak pasal hal ini?" Naurah mengajukan persoalan kepada naqibahnya.


"Ermm, Naurah ingat tak, akak pernah beritahu Naurah pasal ingat 2, lupakan 2. Naurah ingat lagi tak?" Kak Raina menjawab persoalan Naurah dengan persoalan juga.


"Ingat 2, lupakan 2? Hurmmm.. " Naurah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pandangan matanya menyentuh langit biru yang mendamaikan. Naurah kemudian memeluk kedua-dua lututnya. Bunyi kicauan burung menyapa telinga Naurah. Di sisi Naurah, Kak Raina sekadar tersenyum melihat keletah anak usrahnya itu.


"Oh ya kak. Naurah ingat!" Lantas kepala Naurah dipalingkan ke arah Kak Raina. Matanya kelihatan bersinar-sinar apabila dia dapat mengingati jawapan kepada persoalan kakak naqibahnya itu.


"Apa dia?"


"Ingat 2, lupakan 2. Kita hendaklah sentiasa mengingati kebaikan orang lain terhadap kita dan kita hendaklah mengingati segala kesalahan yang pernah kita lakukan kepada orang lain. Kemudian, kita hendaklah melupakan kebaikan yang kita lakukan dan kita hendaklah melupakan kesalahan yang pernah orang lain lakukan terhadap kita. Betul kan kak?" Panjang lebar Naurah menjelaskan.


"Bijaknya adik akak sorang nih. Memang pandai." Satu pujian dilontarkan kepada Naurah. Kembang kempis hati Naurah dipuji sebegitu oleh kakak naqibahnya.


"Alhamdulillah, Allah masih memberi ingatan kepada saya." Naurah tersenyum.


"Akak nak kaitkan ingat 2, lupakan 2 dengan batu dan pantai. Batu dan pantai sebenarnya mampu mengajar kita ingat 2, lupakan 2 itu."


"Macam mana tu kak?" Naurah menyoal. Tertanya-tanya. Masakan batu dan pantai boleh mengajar kita ingat 2, lupakan 2 itu?


"Apabila orang lain membuat kebaikan kepada kita, ukirkan kebaikan tersebut di atas batu, sudah tentu kita akan sentiasa mengingati kebaikan orang kepada kita. Ukirkan kesalahan yang pernah kita lakukan, pasti kita akan berusaha untuk mengelakkan daripada melakukan kesalahan yang sama. Apabila kita melakukan kebaikan, ukirlah kebaikan di atas pantai, biarkan kebaikan yang diukir itu terhapus daripada pandangan, supaya kita tidak riak dengan kebaikan yang pernah kita lakukan. Apabila orang lain melakukan kesalahan, ukirlah kesalahan tersebut di pantai, supaya kesalahan tersebut terpadam dibawa ombak. Kesalahan tersebut akan kita lupakan, dan luka tersebut akan terpadam sama sekali." Lancar kata-kata tersebut menyapa bibir Kak Raina.


Iktibar daripada analogi batu dan pantai masih terakam kemas di ingatan. Naurah akan mempraktikkan analogi batu dan pantai itu. Naurah akan mengaplikasikan analogi batu dan pantai bagi menggapai indahnya sebuah ukhuwwah. Manusia tidak lari daripada kesilapan. Tiada yang sempurna. Dan Naurah yakin, dia akan menemukan penyelesaian terhadap ujian yang menimpanya.

"Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah." Lafaz tahmid melantun keluar daripada bibir Naurah. Naurah bersyukur kerana masih mengingati bait-bait kata kakak naqibahnya itu. Naurah tersenyum sekali lagi. InsyaAllah, kesalahan sahabat tersebut sudah dimaafkan. Naurah akan berusaha untuk membetulkan kembali keadaan. Naurah akan berusaha mencari penyelesaian terhadap duit yang hilang itu.

Naurah yakin kepada pertolongan daripadaNya.

Moga ukhuwwah mereka terus utuh. Seutuh ukhuwwah Rasulullah dan para sahabat. Naurah akan cuba mengait kembali benang ukhuwwah mereka.

Naurah tersenyum.