Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Thursday, 26 January 2012

Jangan Malu Untuk Sebarkan Keindahan Islam

Masih teringat-ingat lagi kata-kata seorang sahabat kepada saya satu ketika dahulu.

"Kita ni sebenarnya segan untuk menyebarkan keindahan Islam kepada orang bukan Islam."

Termangu seketika saya mendengar bait-bait patah perkataan yang dikeluarkan oleh sahabat itu. Setiap patah perkataan itu umpama pistol yang berdas-das mengeluarkan tembakan kepada diri. Yang pasti, bait-bait kata itu memang tepat mengenai diri sendiri. Bait-bait kata itu seolah-olah menusuk-nusuk dalam hati, mengimbau kembali memori yang masih terakam kemas di balik sanubari.

Kata-kata sahabat itu mengingatkan saya kepada kawan bukan Islam saya. Saya akui, saya tidak mempunyai ramai kawan bukan Islam. Bersekolah di sekolah yang hampir seratus peratus beragama Islam dan berketurunan Melayu kemudian menjejakkan kaki ke matrikulasi, di bumi matrikulasilah saya mula berjinak-jinak berkawan dengan beberapa bukan Islam. Itupun kerana kami adalah satu kelas tutorial. Walaupun di bumi matrikulasi itu terdapat ramai bukan Islam, namun saya benar-benar rapat dengan beberapa orang sahaja bukan Islam di sana. 

Kawan-kawan Bukan Islam

Thu Siew Ching dan Tan Phooi Koon. Kedua-dua kawan bukan Islam ini amat baik dengan saya. Akrabnya saya dengan Thu Siew Ching mungkin kerana kami adalah satu kumpulan apabila melibatkan pembentangan dalam kumpulan. Malahan, beliau juga banyak membantu saya dalam menyelesaikan soalan-soalan matematik yang sering membuatkan saya menggaru kepala. Namun, sikapnya yang tidak kekok untuk mengajar saya itulah membuatkan saya semakin rapat dengannya. Malahan, setiap kali saya pulang dari kampung halaman, saya pasti tidak akan lupa untuk memberikan Ching sebungkus keropok segera. Sememangnya Ching amat gemar makan keropok. Manakala dengan Tan Phooi Koon pula, saya tidak pasti bagaimana kami boleh menjadi begitu rapat. Namun, ada satu kenangan yang terindah membuatkan saya masih lagi teringat akan Koon. Koon selalu memanggil saya 'cucu', dan Koon amat senang sekali apabila saya membalas panggilannya dengan memanggilnya 'nenek'. Dialog antara cucu dan nenek ini membuatkan hubungan saya dan Koon erat.

Kad raya yang diberikan oleh nenek Koon dan Ching kepada saya

Tamat matrikulasi, kami masing-masing terputus hubungan. Beberapa bulan meninggalkan matrikulasi, saya berpeluang menjejakkan kaki di bumi universiti pula. Walaupun hanya berpeluang menetap di situ selama 5 hari (tanpa sempat menghabiskan minggu suai kenal mahasiswa), saya meninggalkan bumi tersebut untuk berjuang di bumi IPG. Biarpun hanya 5 hari berada di bumi universiti, saya menjadi akrab dengan dua individu yang bukan Islam iaitu Lim Chin Ju dan juga Vanni. Lim Chin Ju dan Vanni masing-masing berbangsa Cina dan India merupakan 'klik' saya ketika minggu suai kenal selain beberapa orang kawan Melayu. Ke mana sahaja kami diarahkan pergi oleh urusetia ketika itu, kami pasti akan bersama. 

Masih basah lagi di ingatan apabila Lim Chin Ju dan Vanni masing-masing merayu kepada saya untuk tidak menerima tawaran dalam bidang perguruan di IPG. Malahan, menurut mereka setidak-tidaknya habiskan seminggu minggu suai kenal tersebut bersama-sama mereka, barulah saya keluar dari universiti tersebut bagi menguruskan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk tawaran ke IPG. Hari terakhir saya berada di bumi universiti tersebut, kami sama-sama menahan sebak usai menunggu detik perpisahan itu. Tika itu, kami masing-masing berjanji untuk saling berhubung biarpun saya sudah tidak menjadi warga universiti terbabit. Namun, entah di mana silapnya, hingga saat ini hubungan kami terputus begitu sahaja. Gambar-gambar kenangan yang diambil juga terhapus dek kerana semua gambar-gambar tersebut ada dalam laptop yang sudah rosak.

Tidak Sayangkah?

Teringat saya akan sebuah kisah, yang mana terdapat sepasang kawan yang sangat baik dan akrab. Walaupun agama mereka berbeza, seorang berbangsa Melayu dan seorang berbangsa Cina, hubungan keduan-duanya baik-baik sahaja. Dari kecil mereka berkawan, bermain, berjalan ke sekolah bersama-sama. Banyak masa mereka luangkan antara satu sama lain. Menjelang dewasa, kedua-duanya terpisah. Kawan yang berbangsa Melayu menyambung pengajian di universiti tempatan. Manakala, kawan yang berbangsa Cina pula melanjutkan pengajian di luar negara. Bertahun-tahun mereka tidak berjumpa. Bertahun-tahun juga mereka tidak menghubungi antara mereka sendiri.

Suatu hari, kawan yang berbangsa Cina itu pulang ke tanah air. Apabila kawan yang berbangsa Melayu itu mendengar khabar kawan lamanya sudah pulang, terus sahaja dia berjumpa dengan kawan lama tersebut. Apa yang menggembirakan, kawannya yang berbangsa Cina itu sudah memeluk agama Islam. Namun, sebuah pertanyaan daripada kawannya yang Cina itu membuatkan si Melayu itu tersentak.

"Kamu tidak sayangkan saya kah?" Tanya pemuda Cina itu.

"Kenapa pula saya tidak sayangkan kamu? Bukankah kita sudah berkawan sejak kecil lagi? Saya bergegas datang jumpa kamu pun kerana saya ingin berjumpa kamu. Sudah bertahun-tahun kita tidak berjumpa, mengapa kamu bertanyakan soalan sedemikian?" Bertalu-talu kawan berbangsa Melayu itu mengeluarkan patah-patah kata. 

Kawan yang berbangsa Melayu itu kehairanan. Hairan kerana tiba-tiba kawan sepermainannya ketika kecil menembak soalan sebegitu rupa.

"Kalau kamu sayangkan saya, mengapa kamu tidak pernah mengajak saya masuk Islam? Mengapa kamu tidak pernah menceritakan keindahan Islam?" Soalan daripada kawan yang berbangsa Cina itu membuatkan kawan yang berbangsa Melayu itu terdiam. Terasa bagaikan sebuah batu menghempap kepalanya.

Usah Malu, Sebarkan Keindahan

Saya tidak pasti sama ada kisah sepasang kawan terbabit adalah sebuah kisah benar ataupun fiksyen semata-mata. Walau bagaimanapun, dialog kawan yang berbangsa Cina itu membuatkan saya terfikir, saya tidak sayangkah kepada kawan bukan Islam saya? Ketepikan dahulu sebentar soal menyebarkan keindahan Islam sesama Muslim. 

Saya seringkali terfikir, segankah saya untuk menceritakan perihal Islam kepada bukan Islam. Mungkin ketika dahulu saya berasa belum berkeyakinan untuk bercakap soal Islam dengan mereka. Belum cukup ilmu untuk melontarkan sebuah keindahan Islam kepada mereka. Namun, ini tidak boleh dijadikan alasan semata-mata. Yakinkan diri untuk bercakap soal Islam kepada mereka. Belum cukup ilmu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menyampaikan indahnya sebuah Islam.

Andaikata saya masih berpeluang untuk berjumpa dengan Thu Siew Ching, Tan Phooi Koon, Lim Chin Ju dan Vanni, sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang untuk menceritakan keindahan Islam kepada mereka. Saya sudah tidak segan untuk menyampaikan Islam kepada mereka. Mudah-mudahan, Ya Allah.

Ayuh, sebarkan keindahan Islam kepada segenap manusia di bumi ini!


p/s: Mungkin video ini tiada kaitan dengan entri pada kali ini. Apa-apa pun saya tabik kepada Cina Kelantan yang mampu bercakap dalam loghat Kelantan seperti orang Melayu Kelantan sendiri.

0 comments:

Post a Comment

Please drop your comments here 😉