Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Saturday, 25 February 2012

Sama-sama Kita Kutip Mutiara-Mutiara Ini

 Iman takkan mempunyai erti bila tidak disertai amal. Akidah takkan memberi manfaat bila tidak  
    mendorong penganutnya untuk beramal dan berkorban demi menjelmakannya menjadi kenyataan.

 Tiga modal utama untuk mencapai tujuan: manhaj yang benar, pendokong yang beriman, pemimpin yang
    kuat dan dipercayai.

 Ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w tentang pendidikan dan pembangunan umat menjelang
    kehancurannya, kisah-kisah kehancuran dan kemajuan umat-umat terdahulu yang banyak tertera di
    dalamnya, terus mengajak kita untuk sentiasa memiliki harapan besar dan menunjukkan kepada kita jalan
    lurus menuju kebangkitan.

 Kekuatan pertama sesungguhnya adalah iman, hasil dari iman adalah kesatuan dan produk dari kesatuan
    adalah kemenangan yang gilang-gemilang.



 Kamu adalah roh baru yang mengalir di dalam tubuh manusia dan ia akan menghidupkan umat ini dengan
    Al-Quran. Kamu adalah cahaya baru yang bersinar, yang menyingkap tabir kegelapan materialisme dan
    menggantikannya dengan makrifatullah. Kamu adalah suara yang bergema tinggi dan sentiasa
    menyenandungkan dakwah Rasulullah s.a.w.

 Barang siapa membunuh waktunya, maka sama sahaja dengan membunuh dirinya sendiri kerana waktu
    adalah kehidupan itu sendiri.

 Barangsiapa rajin bekerja, maka beruntunglah ia. Namun, barangsiapa dengan kerjanya tidak memberi
    pengaruh, maka kata-katanya juga sekali-kali tidak memberi pengaruh.

 Jika ada seorang mujaddid muslim yang sudah berasa puas hanya menjadi ahli ilmu dan penasihat,
    menetapkan keputusan hukum, menggelar kajian usul fiqh dan fiqh praktisnya, sementara ia membiarkan
    pemerintah melaksanakan hukum yang tidak diredhai Allah dan mendorong rakyatnya untuk melanggar
    perintah-perintahNya, maka suara mujaddid itu laksana teriakan di lembah gersang.

 Barangsiapa beranggapan bahawa agama khususnya Islam tidak mempedulikan masalah politik atau
    bahawa politik tidak termasuk agenda perjuangnnya, maka sungguh ia telah menganiaya diri sendiri dan
    pengetahuannya.



Nota kaki: Mutiara-mutiara ini dikutip daripada buku Mutiara Kata Imam Hassan Al-Banna karangan Dr. Mohd Puhzi bin Usop


p/s: insyaAllah akan cuba berusaha untuk berkongsi sesuatu dengan kalian semua nanti. Buat masa ini, banyak hal-hal lain yang menuntut perhatian yang lebih. Asif jiddan ala kulli hal.


Tuesday, 14 February 2012

Mahu Dipermudahkan Urusan Seperti Delisa?

Sana sini ramai memperkatakan tentang Hafalan Shalat Delisa, sebuah cerita yang sangat mengetuk hati-hati penonton. Banyak juzuk dalam cerita ini yang mampu membuatkan mata tiba-tiba menjadi panas dan ditakungi dengan air mata. Sebuah cerita yang penuh dengan pengajaran walaupun hanya rekaan semata-mata. Di sini saya ingin berkongsi salah satu bahagian yang saya cukup terkesan bait-bait dialog yang diluncurkan dalam cerita ini.

"Ustaz Rahman." Panggil Delisa.

Tika itu, Ustaz Rahman sedang memegang kamera dan mengambil beberapa keping gambar untuk dihantar kepada Kak Sophie, salah seorang sukarelawan semasa bencana tsunami.

"Ya." Ustaz Rahman menyahut panggilan Delisa, namun jarinya masih lagi memetik butang kamera.

"Kenapa Delisa susah sangat melakukannya?"

"Susah apanya?"

"Soalnya Delisa susah sekali melakukannya."

Soalan yang sama terpacul di mulut kanak-kanak lincah itu menyebabkan Ustaz Rahman menghentikan kerja beliau. Lantas Ustaz Rahman melabuhkan punggung di sisi Delisa.

"Orang yang susah lakukan sesuatu sebab hatinya tidak ikhlas."

"Tak ikhlas macam mana ustaz?"

"Tak ikhlas itu maknanya dia melakukan sesuatu itu bukan kerana Allah."

Bahasa yang cukup mudah, yang membuatkan fikiran saya juga mudah untuk mencerna dan hati terkesan dengan jawapan ustaz itu.

"Dia hanya mengharapkan hadiah, hadiah, hadiah."

Salah satu part dalam Hafalan Shalat Delisa


Jalankan Taklifan Dengan Ikhlas

Siapa sangka, saya memegang taklifan itu. Saya sendiri tidak menyangka saya akan berada dalam sebuah organisasi yang cukup besar dalam kampus. Lebih membebankan fikiran, bagaimana mahu menjalankan amanah yang terpikul itu dengan sebaik-baiknya. Amanah yang tidak pernah dipinta, namun akur dengan urusan takdir daripadaNya. Walhal sebelum ini saya tidak pernah menyangka akan mendapat amanah sebegitu. Namun, kita hanya merancang. Allah juga merancang. Sebaik-baik perancang adalah Allah (wamakaru wamakarallah. Wallahu khairulmakirin).

Saya menjadi risau, taklifan yang terpahat di bahu ini akan menyebabkan saya lalai dalam menjalankan perintahNya. Saya menjadi bimbang, saya akan gagal dalam menguruskan masa yang mana semua orang mempunyai jumlah masa yang sama. Saya menjadi takut akan kesibukan yang bakal menjemput sehingga dapat mengurangkan kerja-kerja amal islami itu sendiri. Saya menjadi risau, kalau-kalau amanah ini akan dibicarakan di mahkamah akhirat kelak.

Teringat saya akan sebuah hadith yang menguatkan diri untuk terus ampuh dalam melaksanakan taklifan yang sudah tertulis.

Dalam hadis yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengingatkan ketika berkata kepada ‘Abdurrahman B. Samurah,

“Janganlah kamu meminta jawatan kepimpinan (dalam politik). Apabila jawatan tersebut diberikan kepada kamu disebabkan kamu memintanya, maka jawatan tersebut akan menjadi bebanan bagi kamu. Tetapi sekiranya jawatan tersebut diberikan bukan kerana permintaan kamu, maka kamu akan dibantu dalam menguruskannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 20/302, no. 6132)


Saya amat yakin bahawa segala urusan akan dipermudahkan walaupun kesibukan datang bertubi-tubi, tanpa memberi ruang untuk diri untuk bernafas. Mesyuarat, berjumpa dengan pentadbiran, ke sana ke mari menguruskan sesuatu program, menyebabkan saya sentiasa mengejar masa. Andai difikirkan semula, saya tidak mahu kesibukan ini menimpa diri ini. Moga kesibukan ini adalah seiring dalam mengejar kesibukan akhirat. Moga kesibukan ini dapat menyumbangkan sedikit untuk berbakti kepada ummah. Moga kesibukan ini dapat memberi sedikit ruang kepada saya untuk menjadi Al-Banna, membina sebuah ummah. Malahan, saya sentiasa mengingatkan diri saya, taklifan yang telah ditakdirkan ini memberi peluang kepada saya dalam terus menjulang Islam ke tempat yang lebih tinggi. Saya amat yakin, Allah pasti membantu saya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ


Wahai orang-orang beriman, kalau kamumembela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

(Surah Muhammad: 7)

Alhamdulillah, setelah setahun memegang taklifan itu, saya amat berharap agar apa yang saya usahakan selama ini adalah usaha-usaha kecil dalam memperkembangkan dakwah dapat dipandang Allah. Mungkin pada pandangan manusia, tiada apa yang telah saya sumbangkan untuk Islam, namun saya amat berharap usaha-usaha yang secebis itu dipandang Allah. 

"Sungguh, dakwah ini adalah mata rantai. Dan kita mahu menjadi sebahagian daripada mata rantai itu biar sedikit cuma peranan kita!"

-Mafhum kalam Al-Fadhil Al-Ustaz Maliki Hafizahullah-

Kini, taklifan tersebut sudah dilepaskan kepada Al-Banna yang baru. Kadang-kala saya cemburu kepada mereka kerana ini adalah salah satu medium yang cukup luas untuk terus menyebarkan kebaikan, dalam menjulang Adden di bumi ini. Kadang-kadang saya amat rindukan kesibukan-kesibukan itu sebagai salah satu cara untuk wasilah untuk menyumbang kepada Islam. Kini saya cuba mencari sebuah kesibukan supaya perjuangan ini tidak terus terhenti walaupun taklifan tersebut sudah tiada lagi. Sebuah kesibukan dalam menegakkan Islam dalam diri ini sendiri dan juga diri orang sekeliling. Yang pasti, setiap yang kita lakukan perlulah seiring dengan niat dan ikhlaskan diri dalam melaksanakan setiap urusan.

Rindu untuk berada dalam 'kesibukan' tersebut :)


Urusan Menjadi Mudah 

Mungkin terdapat golongan yang terlalu mengejar jawatan untuk kepentingan diri semata-mata. Jawatan yang amat diidam-idamkan untuk mengejar populariti semata. Jika kita adalah golongan yang amat mengejar akan sesebuah jawatan, betulkan niat kita. Sentiasa tajdidkan nawaitu. InsyaAllah, segalanya dipermudahkan. Dengan ikhlas, sesuatu urusan akan menjadi mudah.

Seperti nasihat Ustaz Rahman kepada Delisa.

"Delisa, kalau kamu ikhlas, insyaAllah saya yakin kamu akan melakukannya dengan mudah."

Terdiam Delisa mendengar nasihat ustaz. Delisa sendiri menyedari bahawa hafalan solatnya pada sebelum ini adalah untuk mendapatkan rantai yang dibeli umminya. Jika Delisa lulus dalam hafalan solat, Delisa akan mendapat rantai tersebut. Sehingga suatu hari Delisa dipertemukan dengan umminya, Delisa menjelaskan niat nya kembali untuk lulus dalam hafalan solat.

"Delisa tidak mahu rantai, ummi. Delisa hanya mahu solat dengan baik."

Di penghujung cerita, Delisa dapat menghabiskan hafalannya dengan lancar dan sempurna. Delisa juga lulus dalam hafalan solatnya. Alhamdulillah, urusan Delisa dipermudahkan.

Kita juga pasti mahu urusan dipermudahkan seperti Delisa bukan?

Ikhlaslah jawapannya.

p/s: Buat semua, ayuh perbetulkan kembali niat kita. InsyaAllah Allah akan permudahkan urusan kita.





Friday, 10 February 2012

Pabila Ketenangan Berkocak

Tenang sungguh air itu, setenang pagi yang disapa angin lembut, ditambah pula dengan cahaya mentari yang masih lagi tersipu-sipu malu memancarkan cahayanya. Sungguh mendamaikan. Bunyi burung yang berkicau-kicau mampu menimbulkan suasana harmoni di pagi hari. Kelihatan si ibu burung menyuap makanan kepada si anak. Sungguh menenangkan. Tiba-tiba datang segerombolan manusia yang mengocakkan air yang tenang, sekali gus menghapus segala kedamaian yang terbentang.

Air boleh diibaratkan sebagai hati. Hati yang tenang tanpa diselubungi sebarang gangguan. Namun, ketenangan tersebut tenggelam dek kerana masalah yang melingkari. Ketenangan yang dinikmati berkocak dek kerana dosa yang singgah pada diri tanpa kita sedari.



Pernah tidak hati tiba-tiba berasa tidak tenteram, tanpa dapat mengenal pasti akar umbi ketidak tenteraman hati itu? Pernah tidak kita berasakan hati gelisah, tanpa mengetahui punca di sebalik kegelisahan hati itu?

Pasti pernah bukan?

Dosa Menggunung Tinggi, Dosa Melangit Luas

Masih lagi basah di ingatan saya, abi pernah menceritakan kepada kami tentang seorang anaknya bertanyakan satu soalan kepada abi. Soalan yang mungkin kerap dalam kalangan kita lantunkan untuk sebuah menanti sebuah jawapan.

"Apa kita nak buat kalau rasa serabut. Apa kita nak buat kalau rasa gelisah dan tidak tenang tiba-tiba?"

Abi menjawab, "Kalau kita rasa serabut, itu tandanya kita banyak dosa. Oleh itu, istighfarlah."

"Tapi kalau dah istighfar, tapi rasa masih serabut lagi macam mana?"

"Istighfar lagi. Istighfar dan terus istighfar. Istighfar lagi banyak-banyak. Mana mungkin istighfar kita yang sekelumit cuma mampu menyaingi dosa kita yang melangit lusa? Mana mungkin istighfar kita yang sedikit itu mampu menandingi dosa kita yang menggunung tinggi?"

Jawapan abi memang betul-betul mengetuk hati. Mengetuk daripada tersedar daripada sebuah lena yang panjang. Terasa sebuah batu tepat terkena kepala sendiri. 

Istighfar.

Ya. Istighfar.

Pabila rasa tidak tenang, barulah rasa nak istighfar. Pabila hati rasa tidak tenteram baru rasa nak ingat Allah. Rasa malu sangat dengan Dia. Bila kita ada masalah, baru nak mengadu pada Dia. Bila kita rasa gelisah, baru mula nak belek-belek dan tadabbur ayat-ayat cinta daripada Dia. Itulah kita. Bila masalah menjenguk kita, barulah kita mula bermunajat kepadaNya.

Malunya kita kepada Dia!

Istighfar jom!


Ibn Abbas (May Allah be pleased with them) said:
The Messenger of Allah (PBUH) said: "If anyone constantly seeks pardon (from Allah), Allah will appoint for him a way out of every distress and a relief from every anxiety, and will provide sustenance for him from where he expacts not."

~Narrated by Ahmad~

Astaghfirullahal 'Azim..