Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Tuesday, 14 February 2012

Mahu Dipermudahkan Urusan Seperti Delisa?

Sana sini ramai memperkatakan tentang Hafalan Shalat Delisa, sebuah cerita yang sangat mengetuk hati-hati penonton. Banyak juzuk dalam cerita ini yang mampu membuatkan mata tiba-tiba menjadi panas dan ditakungi dengan air mata. Sebuah cerita yang penuh dengan pengajaran walaupun hanya rekaan semata-mata. Di sini saya ingin berkongsi salah satu bahagian yang saya cukup terkesan bait-bait dialog yang diluncurkan dalam cerita ini.

"Ustaz Rahman." Panggil Delisa.

Tika itu, Ustaz Rahman sedang memegang kamera dan mengambil beberapa keping gambar untuk dihantar kepada Kak Sophie, salah seorang sukarelawan semasa bencana tsunami.

"Ya." Ustaz Rahman menyahut panggilan Delisa, namun jarinya masih lagi memetik butang kamera.

"Kenapa Delisa susah sangat melakukannya?"

"Susah apanya?"

"Soalnya Delisa susah sekali melakukannya."

Soalan yang sama terpacul di mulut kanak-kanak lincah itu menyebabkan Ustaz Rahman menghentikan kerja beliau. Lantas Ustaz Rahman melabuhkan punggung di sisi Delisa.

"Orang yang susah lakukan sesuatu sebab hatinya tidak ikhlas."

"Tak ikhlas macam mana ustaz?"

"Tak ikhlas itu maknanya dia melakukan sesuatu itu bukan kerana Allah."

Bahasa yang cukup mudah, yang membuatkan fikiran saya juga mudah untuk mencerna dan hati terkesan dengan jawapan ustaz itu.

"Dia hanya mengharapkan hadiah, hadiah, hadiah."

Salah satu part dalam Hafalan Shalat Delisa


Jalankan Taklifan Dengan Ikhlas

Siapa sangka, saya memegang taklifan itu. Saya sendiri tidak menyangka saya akan berada dalam sebuah organisasi yang cukup besar dalam kampus. Lebih membebankan fikiran, bagaimana mahu menjalankan amanah yang terpikul itu dengan sebaik-baiknya. Amanah yang tidak pernah dipinta, namun akur dengan urusan takdir daripadaNya. Walhal sebelum ini saya tidak pernah menyangka akan mendapat amanah sebegitu. Namun, kita hanya merancang. Allah juga merancang. Sebaik-baik perancang adalah Allah (wamakaru wamakarallah. Wallahu khairulmakirin).

Saya menjadi risau, taklifan yang terpahat di bahu ini akan menyebabkan saya lalai dalam menjalankan perintahNya. Saya menjadi bimbang, saya akan gagal dalam menguruskan masa yang mana semua orang mempunyai jumlah masa yang sama. Saya menjadi takut akan kesibukan yang bakal menjemput sehingga dapat mengurangkan kerja-kerja amal islami itu sendiri. Saya menjadi risau, kalau-kalau amanah ini akan dibicarakan di mahkamah akhirat kelak.

Teringat saya akan sebuah hadith yang menguatkan diri untuk terus ampuh dalam melaksanakan taklifan yang sudah tertulis.

Dalam hadis yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengingatkan ketika berkata kepada ‘Abdurrahman B. Samurah,

“Janganlah kamu meminta jawatan kepimpinan (dalam politik). Apabila jawatan tersebut diberikan kepada kamu disebabkan kamu memintanya, maka jawatan tersebut akan menjadi bebanan bagi kamu. Tetapi sekiranya jawatan tersebut diberikan bukan kerana permintaan kamu, maka kamu akan dibantu dalam menguruskannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 20/302, no. 6132)


Saya amat yakin bahawa segala urusan akan dipermudahkan walaupun kesibukan datang bertubi-tubi, tanpa memberi ruang untuk diri untuk bernafas. Mesyuarat, berjumpa dengan pentadbiran, ke sana ke mari menguruskan sesuatu program, menyebabkan saya sentiasa mengejar masa. Andai difikirkan semula, saya tidak mahu kesibukan ini menimpa diri ini. Moga kesibukan ini adalah seiring dalam mengejar kesibukan akhirat. Moga kesibukan ini dapat menyumbangkan sedikit untuk berbakti kepada ummah. Moga kesibukan ini dapat memberi sedikit ruang kepada saya untuk menjadi Al-Banna, membina sebuah ummah. Malahan, saya sentiasa mengingatkan diri saya, taklifan yang telah ditakdirkan ini memberi peluang kepada saya dalam terus menjulang Islam ke tempat yang lebih tinggi. Saya amat yakin, Allah pasti membantu saya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ


Wahai orang-orang beriman, kalau kamumembela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

(Surah Muhammad: 7)

Alhamdulillah, setelah setahun memegang taklifan itu, saya amat berharap agar apa yang saya usahakan selama ini adalah usaha-usaha kecil dalam memperkembangkan dakwah dapat dipandang Allah. Mungkin pada pandangan manusia, tiada apa yang telah saya sumbangkan untuk Islam, namun saya amat berharap usaha-usaha yang secebis itu dipandang Allah. 

"Sungguh, dakwah ini adalah mata rantai. Dan kita mahu menjadi sebahagian daripada mata rantai itu biar sedikit cuma peranan kita!"

-Mafhum kalam Al-Fadhil Al-Ustaz Maliki Hafizahullah-

Kini, taklifan tersebut sudah dilepaskan kepada Al-Banna yang baru. Kadang-kala saya cemburu kepada mereka kerana ini adalah salah satu medium yang cukup luas untuk terus menyebarkan kebaikan, dalam menjulang Adden di bumi ini. Kadang-kadang saya amat rindukan kesibukan-kesibukan itu sebagai salah satu cara untuk wasilah untuk menyumbang kepada Islam. Kini saya cuba mencari sebuah kesibukan supaya perjuangan ini tidak terus terhenti walaupun taklifan tersebut sudah tiada lagi. Sebuah kesibukan dalam menegakkan Islam dalam diri ini sendiri dan juga diri orang sekeliling. Yang pasti, setiap yang kita lakukan perlulah seiring dengan niat dan ikhlaskan diri dalam melaksanakan setiap urusan.

Rindu untuk berada dalam 'kesibukan' tersebut :)


Urusan Menjadi Mudah 

Mungkin terdapat golongan yang terlalu mengejar jawatan untuk kepentingan diri semata-mata. Jawatan yang amat diidam-idamkan untuk mengejar populariti semata. Jika kita adalah golongan yang amat mengejar akan sesebuah jawatan, betulkan niat kita. Sentiasa tajdidkan nawaitu. InsyaAllah, segalanya dipermudahkan. Dengan ikhlas, sesuatu urusan akan menjadi mudah.

Seperti nasihat Ustaz Rahman kepada Delisa.

"Delisa, kalau kamu ikhlas, insyaAllah saya yakin kamu akan melakukannya dengan mudah."

Terdiam Delisa mendengar nasihat ustaz. Delisa sendiri menyedari bahawa hafalan solatnya pada sebelum ini adalah untuk mendapatkan rantai yang dibeli umminya. Jika Delisa lulus dalam hafalan solat, Delisa akan mendapat rantai tersebut. Sehingga suatu hari Delisa dipertemukan dengan umminya, Delisa menjelaskan niat nya kembali untuk lulus dalam hafalan solat.

"Delisa tidak mahu rantai, ummi. Delisa hanya mahu solat dengan baik."

Di penghujung cerita, Delisa dapat menghabiskan hafalannya dengan lancar dan sempurna. Delisa juga lulus dalam hafalan solatnya. Alhamdulillah, urusan Delisa dipermudahkan.

Kita juga pasti mahu urusan dipermudahkan seperti Delisa bukan?

Ikhlaslah jawapannya.

p/s: Buat semua, ayuh perbetulkan kembali niat kita. InsyaAllah Allah akan permudahkan urusan kita.





0 comments:

Post a Comment

Sebarang kritikan atau penambahbaikan, dipersilakan :)