Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Sunday, 4 March 2012

Dengan Usaha Kecil Ini, Bolehkah Kita?


88 tahun sudah usianya?

Usia siapakah ini?

Usia datuk saya kah?

Nenek saya kah?

Jiran sebelah rumah saya kah?

Boleh jadi juga usia 88 tahun itu usia orang-orang di atas.

Namun, di sini saya ingin menukilkan bahawa sudah genap 88 tahun kejatuhan Khilafah Islamiyyah. Tarikh 3 Mac 1924 merupakan sebuah tarikh yang amat memilukan seluruh umat Islam. Sejak itu, umat Islam hidup seolah-olah seperti anak ayam kehilangan ibunya. Umat Islam menjadi tidak tentu arah, jauh daripada landasan kehidupan Islam yang sebenarnya.

credit to langitilahi.com


Apakah kita hanya mahu membiarkan sahaja umat Islam terus jauh daripada landasan kehidupan yang sebenarnya?

Apakah kita hanya mampu memandang melihat orang terdekat kita tergelincir daripada landasan Islam tanpa mampu menarik tangannya supaya terus berjalan di atas landasan tersebut?

Atau

Apakah kita hanya mampu melihat sahabat kita itu berterus-terusan lari daripada Islam tanpa menolong dengan secebis kudrat yang kita ada?

Apakah peranan kita sebenarnya?

Tegakkan Islam Dalam Diri

Mungkin ada yang berpandangan adalah mustahil bagi kita semua bahawa kita mampu mengembalikan cara hidup Islam itu sebenar pada hari ini. Apa tidaknya, karat-karat jahiliyyah kira-kira 88 tahun dahulu sudah sebati dalam masyarakat kita sekarang. Karat-karat jahiliyyah yang pasti sukar untuk disental biarpun menggunakan penyental yang terhebat sekalipun. Karat-karat jahiliyyah yang sukar dikikis walaupun menggunakan pengikis yang paling tajam sekalipun.

Pernahkah kita terfikir begitu?

Lantas, apakah kita hanya mampu membiarkan sahaja karat-karat jahiliyyah terus menodai diri kita dan ummat Islam sekarang?

Mahukah kita berbuat sesuatu untuk kembalikan kegemilangan Islam?

Sanggupkah kita berbuat sesuatu untuk ubati ummah kita ini?

Adakah kita mahu? Sanggupkah kita?

Ya, saya sanggup!

Jika kita semua mahu dan sanggup, ayuh sama-samalah kita mulakan dengan diri kita terlebih dahulu. Teringat akan kata-kata Imam Hassan Al-Hudaibi, "Tegakkan daulah (negara) Islam itu dalam diri kamu, nescaya ia tertegak di tanah air kamu."

Mulakan dengan diri kita dahulu sahabat-sahabat semua ya. Kita sama-sama buat segala perintah Allah dan sama-sama tinggalkan perkara yang Allah tidak suka. Kita sama-sama perbaiki dan sentiasa upgrade kan mutabaah amal kita. Kita sama-sama kikis penyakit-penyakit hati yang selalu hinggap pada hati kita.

Itu sahajakah peranan kita?

Tidak sahabat. Ada lagi peranan yang perlu kita lakukan.

Selepas kita mulakan dengan diri kita, ajak orang-orang terdekat dan orang-orang di sekeliling kita. Seperti maksud ayat ketiga surah Al-Asr, iaitu "...sentiasa mengerjakan kebajikan serta saling nasihat-menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran."

Sungguh kecil usaha tersebut. Bolehkah dengan usaha-usaha tersebut mengembalikan kegemilangan Islam?

Ibrah Daripada Burung Kecil

Ingatkah kita kisah burung kecil yang berusaha menyelamatkan Nabi Ibrahim daripada dibakar?

Kisah ini berlaku pada zaman Nabi Ibrahim. Semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang-alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukan berulang ulang kali.

Mana mungkin paruh burung kecil itu mampu memadamkan api bukan?

Paruh burung tersebut sangat kecil. Maka air yang diisi dalam paruh semestinya sedikit. Tidak memadai untuk memadamkan api yang marak menyala itu.

Tingkah laku burung tersebut diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu.

"Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu."

Lalu dijawab oleh burung berkenaan.

"Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak."


Ambillah ibrah daripada burung kecil. Kita sepatutnya malu dengan burung kecil tersebut. Burung kecil tersebut berpenat lelah berusaha supaya api itu terpadam. Burung kecil itu yakin walaupun usahanya sekecil cuma, namun yang penting burung kecil itu sudah berusaha!


Anggaplah api yang marak menyala yang membakar Nabi Ibrahim itu sebagai karat-karat jahiliyyah yang perlu kita hapuskan dalam ummah kita pada hari ini. Anggaplah usaha-usaha kecil kita itu ibarat air yang bertakung dalam paruh burung kecil itu. 



Apa yang penting, kita telah berusaha untuk menghilangkan walau secebis karat jahiliyyah itu. Apa yang penting, Allah tidak akan melihat sejauh mana keberkesanan kita mengikis karat-karat jahiliyyah itu, tetapi Allah melihat sejauh mana usaha yang telah kita jalankan.

Berhentilah bersedih akan kejatuhan Khilafah Islamiyyah. Seperti kata Ustaz Syaari Ab Rahman, "Perkara paling malang buat ummat ini adalah meratapi 88 tahun kejatuhan Khilafah Islamiyyah di Turki tanpa sedikit pun penghargaan kepada usaha-usaha sedia wujud zaman berzaman menguburkan secara senyap sekularisme di sana."

Saya juga terkesan dengan kata-kata Hilal Asyraf yang mana kata beliau, mengingati kejatuhan khilafah 3 Mac 1924, bukan dengan keluhan dan tangisan, tetapi dengan usaha yang lebih garang dalam perjuangan!

Marilah sahabat-sahabat semua, kita muhasabah diri kita kembali. Teruskan mengorak langkah, dalam kerangka ke arah menggapai kegemilangan Islam.

Jangan pandang remeh usaha-usaha kecil ini, moga-moga usaha kecil ini dipandang Allah.

Teruskan berpesan-pesan untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.

Teruskan berdakwah tanpa henti. InsyaAllah Islam pasti menang kembali. Pasti menjelma detik ditunggu-tunggu itu nanti. Janji Allah itu pasti.


              Video saat kegemilangan Islam suatu ketika dahulu. InsyaAllah Islam akan kembali gemilang suatu hari nanti. InsyaAllah.

6 comments:

terus LAJU dalam melangkah...
berLARI dan terus berLARI...

insyaAllah wa biiznillah..
sama2lah kita dik

.:dakwah tanpa henti:.

Istiqamah..InsyaAllah...

moga terus thabat

sama2lah kita
insyaAllah ^^

artikel membangkitkan. Meratapi hanya sia-sia, tugas sekarang bangunkan kembali wakaupun ianya kecil..

InsyaAllah Islam pasti menang kembali

Post a Comment

Sebarang kritikan atau penambahbaikan, dipersilakan :)