Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Tuesday, 17 April 2012

Walaupun Sekecil Nat Kereta

"Maafkan saya sebab saya dan Ummu jauh ke depan. Mendahului yang lain. Tak menunggu sahabat yang tidak mampu di belakang."

Luah seorang sahabat tatkala sesi resolusi bersama semua peserta. Sahabat itu, dikenali sebagai Khaulah meluahkan apa yang terpendam di dasar hatinya. Slot resolusi diadakan khas setelah kami semua selamat mendaki bukit. Mengimbau kembali pendakian kami yang bermula jam 5.30 pagi dan kami semua tiba di puncak sekitar jam 7.30 pagi. Solat Subuh ditunaikan secara berjemaah sebelum tiba di puncak. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila diri ini sujud menyembah kepada Yang Maha Esa tatkala kami berada di tempat yang tinggi. Saya dan lima orang sahabat lain jauh ditinggalkan oleh peserta lain kerana menunggu seorang sahabat yang tidak berdaya untuk meneruskan pendakian. Namun begitu, kami semua dapat tiba di puncak dengan izin-Nya walaupun keadaan sahabat itu tadi memang dalam keadaan yang lemah.

"Mungkin ukhuwwah saya masih belum mantap. Sebab itu saya tinggalkan sahabat di belakang. Tapi yang sebenarnya saya ingin mencari tempat supaya kita semua boleh berkumpul." Luahan daripada Khaulah menyebabkan fikiran yang menerawang tadi terus fokus terhadap bait-bait bicara Khaulah.

Semua terdiam tertunduk menekur tanah.

Semua terdiam menghayati pemandangan.

Tapi dalam masa yang sama, masing-masing mencerna setiap bait-bait kata.

Saya juga begitu.

Saya berpandangan tidak menjadi kesalahan buat Khaulah meninggalkan saya dan sahabat-sahabat lain di belakang. Saya tidak berpandangan meninggalkan sahabat di belakang sebegitu sebagai jenayah dalam sebuah ukhuwwah.

Saya berpandangan sebaliknya.

Teringat saya akan satu situasi.

Setiap Orang Memainkan Peranan

"Maafkan saya kerana dalam program ini saya tidak banyak membantu. Saya dapat rasakan bahawa saya tidak berfungsi sepenuhnya dalam program ini." Luah seorang ahli jawatankuasa merangkap jawatankuasa makanan.

Kadangkala kedengaran juga luahan ahli jawatankuasa sebegitu usai sahaja post-mortem selepas tamatnya program. Beberapa kali juga saya 'terjumpa' kes yang mana jawatankuasa makanan yang berasakan bahawa mereka tidak banyak membantu dalam menjayakan program. Sesetengah daripada kerap melihat pengarah program, jawatankuasa pengisian, jawatankuasa aktiviti, jawatankuasa perhubungan dan beberapa jawatankuasa lain sebagai jawatankuasa yang 'gah' yang banyak membantu kelancaran sesebuah program. Walhal jawatankuasa makanan tidak kurang penting juga. 



Tanpa jawatankuasa makanan mana mungkin makanan dapat disediakan dengan sempurna buat urusetia dan peserta yang lain.

Tanpa jawatankuasa makanan mana mungkin air dapat disediakan sepanjang program.

Teringat saya akan kata-kata seorang sahabat.

"Kita jangan ingat pimpinan adalah orang yang akan masuk syurga. Mana kita tahu orang-orang yang angkat makanan itulah yang akan masuk ke syurga. Mana kita tahu orang yang kacau gula untuk buat air itulah bakal penghuni syurga. Allah tak nilai seseorang berdasarkan jawatan yang dipegangnya, banyak kerja yang dibuat mereka, tetapi Allah menilai seseorang berdasarkan keikhlasan mereka dalam bekerja."

Ingatkah kita tentang kisah hijrah Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar? Kisah yang mana Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari. Dalam tempoh tiga hari tersebut, adakah Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar tidak menjamah sebarang makanan? Sudah tentu tidak.

Sebenarnya, dalam kisah penghijrahan Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar juga terdapat beberapa 'jawatankuasa'. Beberapa 'jawatankuasa' yang berperanan penting dalam program penghijrahan Rasulullah s.a.w dan ABu Bakar ke Madinah. Dan salah satu daripada 'jawatankuasa' dalam 'program' tersebut adalah jawatankuasa makanan. Aisyah binti Abu Bakar dan Asma' binti Abu Bakar merupakan jawatankuasa makanan dalam 'program' penghijrahan tersebut. Aisyah menyediakan makanan dan Asma pula menghantar makanan kepada ayahnya, Abu Bakar dan Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini menunjukkan tidak kira di posisi manapun kita ditempatkan, setiap daripada kita mempunyai peranan yang perlu dilaksanakan.

Semua Penting

"Baiklah sahabat-sahabat. Mari kita tengok di sekeliling kita, kita boleh tengok ada pokok besar, ada pokok kecil, ada pokok yang dah mati. Lepas tu kita tengok ada batu besar, ada juga batu kecil, kan? Sebenarnya, tanpa pokok-pokok besar, pokok-pokok kecil, batu-batu besar dan batu-batu kecil ini, mana mungkin bukit ini tetap kukuh terpasak kan? Kita boleh tengok, bukit ini boleh terpasak kukuh sebab ada pokok-pokok dan batu-batu inilah." Seorang sahabat lain pula memberikan resolusi. Kemudian sahabat itu menyambung. 

"Khaulah, Khaulah jangan rasa macam tu. Memang saya dan beberapa sahabat lain di belakang kerana membantu sahabat kita yang kurang berdaya untuk mendaki. Setiap orang mempunyai peranan Khaulah. Macam Khaulah cakap tadi, Khaulah berada di depan sebab nak cari tempat untuk kita semua berkumpul. Khaulah kat depan sebab nak cari tempat untuk kita semua boleh solat. Khaulah ada peranan sebenarnya. Saya dan sahabat yang kat belakang ni pun ada peranan juga. Masing-masing ada peranan sebenarnya." 

Dalam diam, hati saya mengiakan tanda bersetuju dengan pandangan sahabat ini. Saya turut berpandangan begitu. Semua orang berperanan. Dalam hal ini, mungkin ada yang memandang menolong sahabat yang tidak terdaya adalah penting, namun dalam masa yang sama, orang yang berada di hadapan juga penting dalam memastikan kumpulan yang mengikuti pendakian ini mendapat tempat untuk solat, untuk berkumpul bersama.

Sehubungan itu, janganlah kita berasakan posisi yang diduduki kita sekarang adalah tidak penting dan hanya menyumbang kecil sahaja untuk organisasi. Tidak kiralah pada pandangan kita itu besar atau kecil sebuah peranan itu, sedarlah bahawa sebenarnya peranan kita adalah penting dalam melancarkan gerak kerja. Walaupun nat pada tayar kereta adalah kecil, dan kita nampak peranan yang dimainkan nat tersebut adalah kecil, namun sebenarnya nat tersebut berperanan penting dalam menjadikan kereta itu sebagai sebuah kenderaan yang boleh bergerak dengan sempurna.

Dalam sebuah kereta, semua bahagian adalah sangat-sangat penting. Daripada tayar, stereng, enjin, bonet dan bahagian-bahagian lain dalam kereta adalah sangat-sangat penitng. Masing-masing mempunyai peranan tidak kira peranan itu nampak besar atau kecil, semua bahagian adalah penting. Walaupun nat pada tayar kereta nampak kecil peranannya, namun tanpa nat pada tayar, mana mungkin tayar dapat bergerak dengan sebaiknya. Maka kereta pun tidak dapat berfungsi sepenuhnya sebagai 'kereta'. Semua peranan adalah penting, tidak kira besar atau kecil peranan tersebut pada pandangan kita.

Yang penting adalah keikhlasan kita dalam melaksanakan peranan kita.

"Tidak mustahil, 'ahli biasa' yang berkorban untuk Islam dengan cara yang jujur dan ikhlas, lebih afdhal daripada presiden itu sendiri, lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang menjadi ketua di peringkat negeri, daerah, mahupun unit. Kerana nilaian Allah adalah ikhlas dan taqwa."
~Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang~

Ikhlaslah dalam melaksanakan peranan kita.

Yang penting adalah nilaian Allah.

Biarpun peranan kita nampak kecil.

Sekecil nat kereta!







Sunday, 8 April 2012

Dakwah Dandelion

Sahabat-sahabat,

Pernahkah sahabat-sahabat tahu akan satu ciptaan Allah yang indah dan unik ini?

Pernahkah sahabat-sahabat tahu akan dandelion?

Pernah?

Tidak pernah?

Dandelion itu apa?

Dandelion


Kalau sahabat-sahabat nak tahu, dandelion adalah sejenis bunga yang dikategorikan dalam keluarga rumput. Pada mulanya, dandelion berada dalam satu bunga sehinggalah sampai saatnya kelopak-kelopak dandelion akan diterbangkan angin dalam bentuk benih supaya dengan cara ini, dandelion akan dapat membiak di kawasan lain pula.

Dandelion yang diterbangkan angin


Dakwah Dandelion

Da'ie-da'ie boleh diumpamakan dandelion yang belum diterbangkan angin lagi. Para da'ie akan berkumpul, saling memberi peringatan, saling memberi nasihat dalam sebuah bulatan yang pada kebiasaannya orang menggelarkannya usrah ataupun halaqah. Di sini para da'ie akan menerima suplemen-suplemen yang diperlukan oleh para da'ie, bagi menjana kekuatan kepada da'ie.

Dalam bulatan dandelion inilah para da'ie akan menerima suplemen yang penting seperti air bersumberkan ilmu subur, pencahayaan iman yang jelas, tanah mutaba'ah amal yang mantap bersama mineral-mineral halawatul ukhuwwah yang lumat bagi menjamin kesejahteraan jasadiyah dan ruhiyah para da'ie dandelion tersebut.

Kemudian, apabila tiba masanya, para da'ie dandelion akan terbang bersama-sama angin tarbiyyah ruhiyah yang ampuh untuk mencari tanah dakwah fardiyyah yang baru.

Da'ie dandelion terbang bersama-sama angin tarbiyyah ruhiyyah

Tidak Boleh Pandang Enteng

Pada pemerhatian saya, para da'ie lebih berusaha keras untuk berdakwah. Para da'ie berhempas pulas untuk mengajak mad'u-mad'u ke arah yang lebih baik. Jika dilihat, dakwah ammah (dakwah umum) tersebar meluas seperti pidato, ceramah-ceramah, majlis-majlis ilmu, media seperti buku-buku, risalah-risalah, majalah, facebook, blog dan sebagainya.

Namun, dari sudut yang lain pula, terdapat segelintir da'ie yang memandang enteng akan satu lagi bentuk dakwah iaitu dakwah fardiyyah (dakwah individu).

Dakwah fardiyyah merupakan salah satu pendekatan dakwah yang bersifat peribadi dan bersendirian. Dakwah fardiyyah adalah satu usaha bentuk dakwah kepada orang-orang yang telah ditargetkan. Di sinilah para da'ie akan mengikuti perkembangan mad'u mereka dengan bertanyakan khabar, sentiasa update mutabaah amal mad'u selain memberi pengisian rohani kepada mad'u tersebut. Dalam hal ini, tautan hati antara da'ie dan mad'u memerlukan sebuah tautan hati yang erat yang mana apabila hati mad'u sudah berjaya 'diikat', maka ini adalah merupakan kejayaan awal bagi seseorang dai'e untuk memperkenalkan mad'u tentang keindahan islam itu sendiri.

Setiap mereka yang melaksanakan dakwah fardiyyah hendaklah menentukan tempoh masa tertentu untuk dia membawa seorang mad'u ke jalan dakwah. Dia hendaklah berfikir, tekun dan menggunakan sepenuh tenaganya untuk menjayakannya. Dia hendaklah menganggapnya sebagai ujian bagi dirinya. Kejayaan dakwah fardiyyah yang dilakukan bermakna dia telah berjaya menambah bilangan pekerja islam, pembawa panji-panji jihad di jalan Allah, bermakna dakwah dapat disebarkan dengan cepat, bermakna meramaikan bilangan muslimin (betul-betul muslim) dan memperkuat kekuatan mereka, bermakna kita telah mara ke hadapan untuk merealisasikan cita-cita muslimin.
~Syeikh Mustafa Masyhur~

Dakwah fardiyyah memerlukan sebuah usaha yang berterusan yang mana dakwah fardiyyah ini memang menuntut infiniti pengorbanan daripada seseorang da'ie. Masa akan banyak dihabiskan dengan dihabiskan untuk mad'u, duit akan banyak dilaburkan untuk mad'u dan dakwah fardiyyah juga menuntut banyak tenaga dan fikiran yang dikerahkan semata-mata untuk mengikat hati-hati mad'u. Setiap pengorbanan yang dilakukan memerlukan sebuah takungan hati ikhlas, niat yang sentiasa tetap di landasan yang betul, semoga usaha dakwah fardiyyah ini dapat menggencarkan lagi dakwah di muka bumi ini.

Ibarat MLM

Kesungguhan da'ie dalam dakwah fadiyyah ini akan menjadikan dakwah fardiyyah terus berlangsung dan bertambah seperti MLM. Bayangkan jika seorang da'ie berjaya menjalankan dakwah fardiyyah kepada tiga orang mad'u dalam setahun, memperkenalkan mad'u tersebut akan penghayatan Islam yang sebenar, kemudian ketiga-tiga mad'u tadi pula berjaya melaksanakan dakwah fardiyyah kepada beberapa orang lagi, bukankah banyak keuntungan kepada Islam yang kita peroleh? Bukankah semakin ramai yang akan menghayati dan mengamalkan Islam yang sebenar-benarnya dengan menjadi muslim yang sejati?

Oleh itu para daie wajib bermujahadah terhadap dirinya sendiri, sentiasa memuhasabah, murajaah dan muraqabah diri. Sekiranya dia mampu menguasai dirinya, maka dia lebih mampu menguasai orang lain.

Firman Allah:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا

"Sesungguhnya telah berjayalah sesiapa yang membersihkan dirinya (As-Syam: 9)

Dakwah fardiyyah umpama dakwah dandelion, sejumlah dandelion akan terbang bersama angin ke merata-rata bagi mencari sebuah tanah yang baru, bagi memperkembangkan lagi keturunan dandelion. Begitu juga dengan da'ie, sepatutnya menjadi seperti dandelion dengan 'terbang' mengikat hati mad'u, bagi memperkenalkan dan memperkembangkan lagi penghayatan Islam kepada mad'u yang telah kita pilih.

Coretan saya mengenai dakwah dandelion pada kali ini bukanlah bermakna saya bagus dan sempurna dalam dakwah dandelion ini. Saya sendiri masih lagi bertatih dalam melaksanakan dakwah dandelion ini. Masih banyak kekurangan dan kelompongan dalam pelaksanaan dakwah dandelion ini. Tulisan ini lebih mengingatkan kepada diri sendiri. Mengingatkan diri sendiri supaya sentiasa ambil tahu dan mengikuti perkembangan mad'u sendiri. Tulisan ini lebih memuhasabahkan diri sendiri supaya tidak mengabaikan dakwah dandelion ini. 

Jom sama-sama dakwah dandelion sahabat-sahabat!

"Berdakwah itu mirip dengan pekerjaan seorang petani. Biji yang ditanam tidak cukup hanya dibenamkan ke tanah lalu ditinggalkan. Kemudian kita berharap akan kembali pada suatu hari untuk memetik hasilnya. Mustahil itu! Mustahil! Tanaman itu harus disiram setiap hari, dipelihara, dipagari, bahkan kalau tunas-tunasnya mula tumbuh, kita harus menunggunya. Sebab burung-burung juga berminat pada pucuk-pucuk segar itu. Jadi para mad'u kita harus di-ri'ayah (dirawat), ditumbuhkan, diarahkan, dinasihati sampai dia benar-benar matang. Dijaga alur pembinaannya, ditanamkan motivasi-motivasi, dibangunkan keikhlasan mereka, didengarkan pendapat-pendapatnya, bahkan kita perlu sesekali berpergian dengannya, Agar kita memahami betul-betul watak kader dakwah kita sebenarnya."
~K.H. Rahmat Abdullah~

Moga dakwah bertambah mekar, Islam terus berkembang dengan kehadiran umat-umat yang mengamalkan dan menghayati sepenuhnya Islam itu sendiri.

Dakwah dandelion yuk!


Nota kaki: Dakwah Fardiyyah karangan Syeikh Mustafa Masyur, Pustaka Salam.


p/s: maaf atas segala kesilapan istilah yang digunakan bagi bahagian-bahagian yang terdapat pada bunga dandelion.













Sunday, 1 April 2012

Terima Kasih, Sayang!



Sungguh!

Rasa terkedu.

Rasa terharu.

Rasa sebak menguasai hati di setiap penjuru.

Rasa malu padaNya.

Rasa bersyukur padaNya.

Kerana Dia telah menyediakan 'orang-orang yang hebat' di sekeliling saya.

'Orang-orang yang hebat' yang selalu bersama-sama saya. Di saat saya mendapat khabar gembira, mereka datang meraikan bersama. Lantunan syukur dialunkan bersama. Tika diri ini tersungkur dan rebah, mereka datang memapah, memangku hingga saya mampu untuk bangun kembali.





Mereka Kesayangan Saya


Beberapa minggu lepas, sebelum mendepani praktikum fasa pertama, hati ini tidak tenang. Hati ini meronta-ronta gelisah. Bukan gelisah disebabkan gabra untuk berdepan dengan kanak-kanak comel di tempat praktikum nanti. Hati bukan dirundung tidak keruan untuk memikul bebanan praktikum yang dikhabarkan mampu meng'haru-biru'kan jadual seharian.

Hati ini disapa ketidaktenteraman dek kerana diri ini nanti terlampau fokus kepada praktikum sehingga mengabaikan perkara-perkara lain.

Hati ini disinggah dengan bermacam persoalan sejauh manakah makanan dapat disuapkan buat rohani kelak?

Sungguh, hati benar-benar buntu. Kerapkali jua hati ini memujuk diri segalanya akan berjalan seperti biasa, biarpun kononnya praktikum mampu menukar 360 darjah jadual hidup. 

Satu mesej daripada kesayangan saya sedikit sebanyak mampu memujuk hati ini.

"... yang penting kita kena saling ingat-mengingati. Ingat Allah selalu ukhtiku. Robbana yassir wa la tu'assir.

Robbana yassir wa la tu'assir.

Kerapkali hati mengulang-ngulang doa tersebut.

Robbana yassir wa la tu'assir. Wahai Tuhan kami, permudahkanlah, janganlah Kau susahkan.

Nasihat yang cukup ringkas, sebuah kalimah yang memang sudah saya tahu sebelum ini. Akan tetapi, setelah menerima nasihat sebegini daripada orang yang tersayang, hati seakan terpujuk. Hati dipupuk dengan perasaan lega.

Sepertimana pada minggu kedua praktikum, diri ini diserbu dengan sesebuah kekecewaan. Kecewa kerana dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran, saya tidak mampu mengawal kelas dengan baik. Murid-murid sangat nakal, ditambah lagi dengan jumlah mereka yang agak ramai dalam satu kelas. Hati diragut dengan sebuah kekecewaan kerana memikirkan diri ini gagal untuk mengawal kelas. Ditambah lagi setelah membaca satu post rakan sekuliah bahawa beliau tidak mampu bertahan dalam profesion perguruan, menyebabkan hati menerima sedikit tempias untuk terus bertahan dalam bidang yang mencabar ini.

Namun begitu, Allah telah menghantarkan kesayangan saya untuk memujuk diri ini.

Orang yang saya sayang itu post sebuah gambar di ruangan laman sosial saya.

Simple dan cantik. Daripada kesayangan saya :)




Biarpun amat simple, namun sedikit sebanyak menaikkan kembali semangat saya untuk terus bertahan dalam sebuah perjalanan ini.

Terima kasih, sayang!


Hiburkanlah Hati Mereka


Tertarik saya kepada sebuah kata-kata. Sebuah kata-kata yang menuntut semua orang untuk memudahkan urusan orang lain walaupun sekecil cuma.

"Bersungguh-sungguhlah, wahai hamba Allah dalam menghibur hati orang-orang yang berduka, baik dengan kata-kata yang baik, memberi hadiah, mengunjunginya atau dengan segala cara yang bisa meringankan musibah yang menimpa saudara-saudara dan menghibur hati mereka. Pilihlah kata-kata yang baik ketika anda meminta izin daripada seseorang, anda akan mendapatkan pahala kerana kata-kata yang baik itu dan Allah tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang baik."

-Musthafa al-"Adawy-


Walaupun kata-kata itu adalah kata-kata yang biasa-biasa, namun kata-kata itu mampu menyalurkan energi yang luar biasa jika kita bersungguh-sungguh untuk menghiburkan hati-hati mereka.

Teruskan memberi nasihat, biarpun nasihat itu biasa-biasa sahaja.

Teruskan memberi peringatan, biarpun peringatan itu biasa-biasa sahaja.

Kerana dengan nasihat dan peringatan yang biasa-biasa itu mampu menjentik hati-hati mereka.

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

(Al-'Asr: 3)

Salah satu nasihat itu datangnya daripada Allah ialah melalui perantaraan orang di sekeliling kita.

Terima kasih atas segala kata-kata yang baik itu sahabat.

Terima kasih atas kata-kata yang mampu menghiburkan hati ini.

Terima kasih sayang!



Sister, please hold my hand
As we journey through this land
Together we stand, together we will fall

No matter what, God will keep us together

That will be the best of all

Sister, please hold my hand
Because without you I can't stand
For we were put on this earth for a reason
To go through every good and bad season

Sister, please hold my hand
As our strength, together, builds each other to become strong
So that our love for each other will last long