Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Sunday, 8 April 2012

Dakwah Dandelion

Sahabat-sahabat,

Pernahkah sahabat-sahabat tahu akan satu ciptaan Allah yang indah dan unik ini?

Pernahkah sahabat-sahabat tahu akan dandelion?

Pernah?

Tidak pernah?

Dandelion itu apa?

Dandelion


Kalau sahabat-sahabat nak tahu, dandelion adalah sejenis bunga yang dikategorikan dalam keluarga rumput. Pada mulanya, dandelion berada dalam satu bunga sehinggalah sampai saatnya kelopak-kelopak dandelion akan diterbangkan angin dalam bentuk benih supaya dengan cara ini, dandelion akan dapat membiak di kawasan lain pula.

Dandelion yang diterbangkan angin


Dakwah Dandelion

Da'ie-da'ie boleh diumpamakan dandelion yang belum diterbangkan angin lagi. Para da'ie akan berkumpul, saling memberi peringatan, saling memberi nasihat dalam sebuah bulatan yang pada kebiasaannya orang menggelarkannya usrah ataupun halaqah. Di sini para da'ie akan menerima suplemen-suplemen yang diperlukan oleh para da'ie, bagi menjana kekuatan kepada da'ie.

Dalam bulatan dandelion inilah para da'ie akan menerima suplemen yang penting seperti air bersumberkan ilmu subur, pencahayaan iman yang jelas, tanah mutaba'ah amal yang mantap bersama mineral-mineral halawatul ukhuwwah yang lumat bagi menjamin kesejahteraan jasadiyah dan ruhiyah para da'ie dandelion tersebut.

Kemudian, apabila tiba masanya, para da'ie dandelion akan terbang bersama-sama angin tarbiyyah ruhiyah yang ampuh untuk mencari tanah dakwah fardiyyah yang baru.

Da'ie dandelion terbang bersama-sama angin tarbiyyah ruhiyyah

Tidak Boleh Pandang Enteng

Pada pemerhatian saya, para da'ie lebih berusaha keras untuk berdakwah. Para da'ie berhempas pulas untuk mengajak mad'u-mad'u ke arah yang lebih baik. Jika dilihat, dakwah ammah (dakwah umum) tersebar meluas seperti pidato, ceramah-ceramah, majlis-majlis ilmu, media seperti buku-buku, risalah-risalah, majalah, facebook, blog dan sebagainya.

Namun, dari sudut yang lain pula, terdapat segelintir da'ie yang memandang enteng akan satu lagi bentuk dakwah iaitu dakwah fardiyyah (dakwah individu).

Dakwah fardiyyah merupakan salah satu pendekatan dakwah yang bersifat peribadi dan bersendirian. Dakwah fardiyyah adalah satu usaha bentuk dakwah kepada orang-orang yang telah ditargetkan. Di sinilah para da'ie akan mengikuti perkembangan mad'u mereka dengan bertanyakan khabar, sentiasa update mutabaah amal mad'u selain memberi pengisian rohani kepada mad'u tersebut. Dalam hal ini, tautan hati antara da'ie dan mad'u memerlukan sebuah tautan hati yang erat yang mana apabila hati mad'u sudah berjaya 'diikat', maka ini adalah merupakan kejayaan awal bagi seseorang dai'e untuk memperkenalkan mad'u tentang keindahan islam itu sendiri.

Setiap mereka yang melaksanakan dakwah fardiyyah hendaklah menentukan tempoh masa tertentu untuk dia membawa seorang mad'u ke jalan dakwah. Dia hendaklah berfikir, tekun dan menggunakan sepenuh tenaganya untuk menjayakannya. Dia hendaklah menganggapnya sebagai ujian bagi dirinya. Kejayaan dakwah fardiyyah yang dilakukan bermakna dia telah berjaya menambah bilangan pekerja islam, pembawa panji-panji jihad di jalan Allah, bermakna dakwah dapat disebarkan dengan cepat, bermakna meramaikan bilangan muslimin (betul-betul muslim) dan memperkuat kekuatan mereka, bermakna kita telah mara ke hadapan untuk merealisasikan cita-cita muslimin.
~Syeikh Mustafa Masyhur~

Dakwah fardiyyah memerlukan sebuah usaha yang berterusan yang mana dakwah fardiyyah ini memang menuntut infiniti pengorbanan daripada seseorang da'ie. Masa akan banyak dihabiskan dengan dihabiskan untuk mad'u, duit akan banyak dilaburkan untuk mad'u dan dakwah fardiyyah juga menuntut banyak tenaga dan fikiran yang dikerahkan semata-mata untuk mengikat hati-hati mad'u. Setiap pengorbanan yang dilakukan memerlukan sebuah takungan hati ikhlas, niat yang sentiasa tetap di landasan yang betul, semoga usaha dakwah fardiyyah ini dapat menggencarkan lagi dakwah di muka bumi ini.

Ibarat MLM

Kesungguhan da'ie dalam dakwah fadiyyah ini akan menjadikan dakwah fardiyyah terus berlangsung dan bertambah seperti MLM. Bayangkan jika seorang da'ie berjaya menjalankan dakwah fardiyyah kepada tiga orang mad'u dalam setahun, memperkenalkan mad'u tersebut akan penghayatan Islam yang sebenar, kemudian ketiga-tiga mad'u tadi pula berjaya melaksanakan dakwah fardiyyah kepada beberapa orang lagi, bukankah banyak keuntungan kepada Islam yang kita peroleh? Bukankah semakin ramai yang akan menghayati dan mengamalkan Islam yang sebenar-benarnya dengan menjadi muslim yang sejati?

Oleh itu para daie wajib bermujahadah terhadap dirinya sendiri, sentiasa memuhasabah, murajaah dan muraqabah diri. Sekiranya dia mampu menguasai dirinya, maka dia lebih mampu menguasai orang lain.

Firman Allah:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا

"Sesungguhnya telah berjayalah sesiapa yang membersihkan dirinya (As-Syam: 9)

Dakwah fardiyyah umpama dakwah dandelion, sejumlah dandelion akan terbang bersama angin ke merata-rata bagi mencari sebuah tanah yang baru, bagi memperkembangkan lagi keturunan dandelion. Begitu juga dengan da'ie, sepatutnya menjadi seperti dandelion dengan 'terbang' mengikat hati mad'u, bagi memperkenalkan dan memperkembangkan lagi penghayatan Islam kepada mad'u yang telah kita pilih.

Coretan saya mengenai dakwah dandelion pada kali ini bukanlah bermakna saya bagus dan sempurna dalam dakwah dandelion ini. Saya sendiri masih lagi bertatih dalam melaksanakan dakwah dandelion ini. Masih banyak kekurangan dan kelompongan dalam pelaksanaan dakwah dandelion ini. Tulisan ini lebih mengingatkan kepada diri sendiri. Mengingatkan diri sendiri supaya sentiasa ambil tahu dan mengikuti perkembangan mad'u sendiri. Tulisan ini lebih memuhasabahkan diri sendiri supaya tidak mengabaikan dakwah dandelion ini. 

Jom sama-sama dakwah dandelion sahabat-sahabat!

"Berdakwah itu mirip dengan pekerjaan seorang petani. Biji yang ditanam tidak cukup hanya dibenamkan ke tanah lalu ditinggalkan. Kemudian kita berharap akan kembali pada suatu hari untuk memetik hasilnya. Mustahil itu! Mustahil! Tanaman itu harus disiram setiap hari, dipelihara, dipagari, bahkan kalau tunas-tunasnya mula tumbuh, kita harus menunggunya. Sebab burung-burung juga berminat pada pucuk-pucuk segar itu. Jadi para mad'u kita harus di-ri'ayah (dirawat), ditumbuhkan, diarahkan, dinasihati sampai dia benar-benar matang. Dijaga alur pembinaannya, ditanamkan motivasi-motivasi, dibangunkan keikhlasan mereka, didengarkan pendapat-pendapatnya, bahkan kita perlu sesekali berpergian dengannya, Agar kita memahami betul-betul watak kader dakwah kita sebenarnya."
~K.H. Rahmat Abdullah~

Moga dakwah bertambah mekar, Islam terus berkembang dengan kehadiran umat-umat yang mengamalkan dan menghayati sepenuhnya Islam itu sendiri.

Dakwah dandelion yuk!


Nota kaki: Dakwah Fardiyyah karangan Syeikh Mustafa Masyur, Pustaka Salam.


p/s: maaf atas segala kesilapan istilah yang digunakan bagi bahagian-bahagian yang terdapat pada bunga dandelion.













0 comments:

Post a Comment

Sebarang kritikan atau penambahbaikan, dipersilakan :)