Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Tuesday, 17 April 2012

Walaupun Sekecil Nat Kereta

"Maafkan saya sebab saya dan Ummu jauh ke depan. Mendahului yang lain. Tak menunggu sahabat yang tidak mampu di belakang."

Luah seorang sahabat tatkala sesi resolusi bersama semua peserta. Sahabat itu, dikenali sebagai Khaulah meluahkan apa yang terpendam di dasar hatinya. Slot resolusi diadakan khas setelah kami semua selamat mendaki bukit. Mengimbau kembali pendakian kami yang bermula jam 5.30 pagi dan kami semua tiba di puncak sekitar jam 7.30 pagi. Solat Subuh ditunaikan secara berjemaah sebelum tiba di puncak. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila diri ini sujud menyembah kepada Yang Maha Esa tatkala kami berada di tempat yang tinggi. Saya dan lima orang sahabat lain jauh ditinggalkan oleh peserta lain kerana menunggu seorang sahabat yang tidak berdaya untuk meneruskan pendakian. Namun begitu, kami semua dapat tiba di puncak dengan izin-Nya walaupun keadaan sahabat itu tadi memang dalam keadaan yang lemah.

"Mungkin ukhuwwah saya masih belum mantap. Sebab itu saya tinggalkan sahabat di belakang. Tapi yang sebenarnya saya ingin mencari tempat supaya kita semua boleh berkumpul." Luahan daripada Khaulah menyebabkan fikiran yang menerawang tadi terus fokus terhadap bait-bait bicara Khaulah.

Semua terdiam tertunduk menekur tanah.

Semua terdiam menghayati pemandangan.

Tapi dalam masa yang sama, masing-masing mencerna setiap bait-bait kata.

Saya juga begitu.

Saya berpandangan tidak menjadi kesalahan buat Khaulah meninggalkan saya dan sahabat-sahabat lain di belakang. Saya tidak berpandangan meninggalkan sahabat di belakang sebegitu sebagai jenayah dalam sebuah ukhuwwah.

Saya berpandangan sebaliknya.

Teringat saya akan satu situasi.

Setiap Orang Memainkan Peranan

"Maafkan saya kerana dalam program ini saya tidak banyak membantu. Saya dapat rasakan bahawa saya tidak berfungsi sepenuhnya dalam program ini." Luah seorang ahli jawatankuasa merangkap jawatankuasa makanan.

Kadangkala kedengaran juga luahan ahli jawatankuasa sebegitu usai sahaja post-mortem selepas tamatnya program. Beberapa kali juga saya 'terjumpa' kes yang mana jawatankuasa makanan yang berasakan bahawa mereka tidak banyak membantu dalam menjayakan program. Sesetengah daripada kerap melihat pengarah program, jawatankuasa pengisian, jawatankuasa aktiviti, jawatankuasa perhubungan dan beberapa jawatankuasa lain sebagai jawatankuasa yang 'gah' yang banyak membantu kelancaran sesebuah program. Walhal jawatankuasa makanan tidak kurang penting juga. 



Tanpa jawatankuasa makanan mana mungkin makanan dapat disediakan dengan sempurna buat urusetia dan peserta yang lain.

Tanpa jawatankuasa makanan mana mungkin air dapat disediakan sepanjang program.

Teringat saya akan kata-kata seorang sahabat.

"Kita jangan ingat pimpinan adalah orang yang akan masuk syurga. Mana kita tahu orang-orang yang angkat makanan itulah yang akan masuk ke syurga. Mana kita tahu orang yang kacau gula untuk buat air itulah bakal penghuni syurga. Allah tak nilai seseorang berdasarkan jawatan yang dipegangnya, banyak kerja yang dibuat mereka, tetapi Allah menilai seseorang berdasarkan keikhlasan mereka dalam bekerja."

Ingatkah kita tentang kisah hijrah Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar? Kisah yang mana Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari. Dalam tempoh tiga hari tersebut, adakah Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar tidak menjamah sebarang makanan? Sudah tentu tidak.

Sebenarnya, dalam kisah penghijrahan Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar juga terdapat beberapa 'jawatankuasa'. Beberapa 'jawatankuasa' yang berperanan penting dalam program penghijrahan Rasulullah s.a.w dan ABu Bakar ke Madinah. Dan salah satu daripada 'jawatankuasa' dalam 'program' tersebut adalah jawatankuasa makanan. Aisyah binti Abu Bakar dan Asma' binti Abu Bakar merupakan jawatankuasa makanan dalam 'program' penghijrahan tersebut. Aisyah menyediakan makanan dan Asma pula menghantar makanan kepada ayahnya, Abu Bakar dan Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini menunjukkan tidak kira di posisi manapun kita ditempatkan, setiap daripada kita mempunyai peranan yang perlu dilaksanakan.

Semua Penting

"Baiklah sahabat-sahabat. Mari kita tengok di sekeliling kita, kita boleh tengok ada pokok besar, ada pokok kecil, ada pokok yang dah mati. Lepas tu kita tengok ada batu besar, ada juga batu kecil, kan? Sebenarnya, tanpa pokok-pokok besar, pokok-pokok kecil, batu-batu besar dan batu-batu kecil ini, mana mungkin bukit ini tetap kukuh terpasak kan? Kita boleh tengok, bukit ini boleh terpasak kukuh sebab ada pokok-pokok dan batu-batu inilah." Seorang sahabat lain pula memberikan resolusi. Kemudian sahabat itu menyambung. 

"Khaulah, Khaulah jangan rasa macam tu. Memang saya dan beberapa sahabat lain di belakang kerana membantu sahabat kita yang kurang berdaya untuk mendaki. Setiap orang mempunyai peranan Khaulah. Macam Khaulah cakap tadi, Khaulah berada di depan sebab nak cari tempat untuk kita semua berkumpul. Khaulah kat depan sebab nak cari tempat untuk kita semua boleh solat. Khaulah ada peranan sebenarnya. Saya dan sahabat yang kat belakang ni pun ada peranan juga. Masing-masing ada peranan sebenarnya." 

Dalam diam, hati saya mengiakan tanda bersetuju dengan pandangan sahabat ini. Saya turut berpandangan begitu. Semua orang berperanan. Dalam hal ini, mungkin ada yang memandang menolong sahabat yang tidak terdaya adalah penting, namun dalam masa yang sama, orang yang berada di hadapan juga penting dalam memastikan kumpulan yang mengikuti pendakian ini mendapat tempat untuk solat, untuk berkumpul bersama.

Sehubungan itu, janganlah kita berasakan posisi yang diduduki kita sekarang adalah tidak penting dan hanya menyumbang kecil sahaja untuk organisasi. Tidak kiralah pada pandangan kita itu besar atau kecil sebuah peranan itu, sedarlah bahawa sebenarnya peranan kita adalah penting dalam melancarkan gerak kerja. Walaupun nat pada tayar kereta adalah kecil, dan kita nampak peranan yang dimainkan nat tersebut adalah kecil, namun sebenarnya nat tersebut berperanan penting dalam menjadikan kereta itu sebagai sebuah kenderaan yang boleh bergerak dengan sempurna.

Dalam sebuah kereta, semua bahagian adalah sangat-sangat penting. Daripada tayar, stereng, enjin, bonet dan bahagian-bahagian lain dalam kereta adalah sangat-sangat penitng. Masing-masing mempunyai peranan tidak kira peranan itu nampak besar atau kecil, semua bahagian adalah penting. Walaupun nat pada tayar kereta nampak kecil peranannya, namun tanpa nat pada tayar, mana mungkin tayar dapat bergerak dengan sebaiknya. Maka kereta pun tidak dapat berfungsi sepenuhnya sebagai 'kereta'. Semua peranan adalah penting, tidak kira besar atau kecil peranan tersebut pada pandangan kita.

Yang penting adalah keikhlasan kita dalam melaksanakan peranan kita.

"Tidak mustahil, 'ahli biasa' yang berkorban untuk Islam dengan cara yang jujur dan ikhlas, lebih afdhal daripada presiden itu sendiri, lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang menjadi ketua di peringkat negeri, daerah, mahupun unit. Kerana nilaian Allah adalah ikhlas dan taqwa."
~Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang~

Ikhlaslah dalam melaksanakan peranan kita.

Yang penting adalah nilaian Allah.

Biarpun peranan kita nampak kecil.

Sekecil nat kereta!







4 comments:

biar sekecil nat kn kak far =)
sebagaimana firman Allah dalam surah zalzalah...
"biar sekecil zarah kebaikan itu tetap Allah kira"
(^_^)v

betul2..ahsanti :)

xkira sekecil mana pun, yang penting ikhlas dalam menunaikannya. Allah menilai sejauh mana keikhlasan & kejujuran kita bekerja, x kira kecil ataupub besar kerja yang kita lakukan

akak..sgt bermakna.

btul.. stuju sgt. semua memainkan peranan. walaupun sekecil nat kereta. =)

Post a Comment

Sebarang kritikan atau penambahbaikan, dipersilakan :)