Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Tuesday, 23 October 2012

Jenayah Dalam Ukhuwwah

Suatu hari, si anak melompat-lompat sambil memijak-mijak semut di bawah kakinya. Si ayah sekadar memerhati dan tersenyum bangga.

"Bagus anakku. Bagus!" Dengan begitu bangga si ayah memuji anaknya.

Si anak berasa begitu seronok dengan pujian yang diberikan ayahnya. Oleh itu, si anak menganggap bahawa perbuatan sebegitu adalah betul. Tidak lama kemudian, si anak melompat-lompat sambil memijak-mijak nasi yang tumpah di atas lantai.

"Bagus, anakku. Bagus!" Si ayah sekali lagi memuji anaknya. Tanpa mempedulikan bahawa perlakuan anaknya itu berkemungkinan besar adalah salah, si ayah tidak melarang sama sekali perbuatan anaknya itu. Disebabkan pujian daripada si ayah, si anak akan terus melakukan perkara yang sama.

Pada suatu hari, si anak melompat-lompat pula di atas kaca yang berderai. Disebabkan sebelum ini si anak tidak pernah dilarang atau ditegur oleh si ayah ketika si anak melompat, tanpa mengetahui kaca itu bahaya, si anak dengan riang melompat-lompat di atas serpihan kaca di lantai.

Tika itu, si ayah tidak mampu lagi untuk memuji si anak. Tika itu, si ayah baru menyedari bahawa perbuatannya selama ini yang tidak pernah menegur anaknya itu mengundang kepada sebuah bencana. Tika itu juga, si ayah juga menyesal kerana tidak pernah cuba menegur perbuatan anaknya walhal perbuatan anaknya secara terang-terangan memang salah.

Berkatalah Benar

Situasi di atas menjelaskan bahawa dalam hidup ini, kadang-kadang kita sukar untuk menyuarakan apa yang betul terhadap orang yang disayangi. Seperti situasi si ayah dengan anak itu, si ayah tanpa rasa bersalah terus membiarkan si anak melakukan perkara sedemikian, walhal sepatutnya si ayah perlu membetulkan kesilapan anaknya dengan sebaiknya, bukan dengan hanya melihat dan tersenyum bangga. Si ayah juga memuji dengan penuh bangga sehingga si anak melayang tinggi dek pujian, tanpa menyedari bahawa perlakuan sebegitu merupakan sebuah kesilapan tanpa teguran.

Begitulah juga dalam bersahabat. Terkadang kita terlalu menyayangi sahabat tersebut sehingga lupa untuk menegur sahabat kita sendiri jika sahabat tersebut melakukan suatu kesilapan. Kita juga dengan rasa bangga menutup mata tanpa memperbetulkan kembali kesilapan yang dilakukan mereka. Hingga sampai satu tahap, kita seolah-olah dibutakan hati untuk membuat teguran kepada sahabat kita sendiri.

Diri terpanggil untuk menulis perihal ini setelah Allah menghantar seseorang supaya saya terus bermuhasabah diri, mengintrospeksi diri. Satu mesej yang biasa-biasa namun, benar-benar menjentik hati lantas menyedari kekhilafan diri. Mesej daripada sahabat sendiri yang membuatkan diri rasa benar-benar terpukul dengan sebuah kesilapan yang dilakukan diri.

Berkatalah benar walaupun pahit
Pernah juga saya meminta pandangan sahabat-sahabat saya supaya menegur setiap perlakuan dan percakapan saya yang tidak kena dengan skema Allah dan Rasulullah s.a.w.

Namun, semuanya memberikan respon yang positif. Boleh dikatakan, semuanya menyatakan yang baik-baik sahaja perihal diri ini, walhal saya terlalu mengharapkan suatu teguran yang boleh membetulkan diri ini. Teguran yang boleh menjadi panduan kepada diri sendiri untuk terus mengislah diri ke arah yang lebih baik. Bukannya mengharapkan pujian demi pujian sehingga boleh membawa diri kepada sebuah kesilapan tanpa teguran. Nauzubillah...

Tegur Tanda Sayang

Terdapat satu peristiwa yang mana ketika Rasululla s.a.w berasa di Makkah dan dakwah baginda masih mengalami gangguan daripada pihak musyrikin. Ketika itu, Rasulullah s.a.w sedang berdakwah kepada tokoh-tokoh besar musyrikin supaya mereka dapat menerima ajaran yang dibawa baginda. Sedang asyik Rasulullah s.a.w berdakwah, tiba-tiba baginda didatangi seorang buta bernama Abdullah bin Ummi Maktum. 

"Ajarkan padaku, ya Rasulullah apa yang diajarkan Allah kepada engkau."

Nabi tidak mengendahkan permintaan si buta tersebut. Baginda sebaliknya teramat mengharapkan supaya tokoh-tokoh Quraisy itu memeluk Islam sehingga mengabaikan si buta yang datang kepada baginda. Maka Allah segera menegur baginda dengan menurunkan ayat 1-16, surah Abasa.

"Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling. Kerana seorang buta telah datang kepadanya. Dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran yang memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup. Maka engkau (Muhammad) memberi perhatian kepadanya. Padahal tidak ada (cela) ke atasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran). Sedang dia takut (kepada Allah). Engkau (Muhammad) malah mengabaikannya. Sesekali jangan begitu! Sungguh ajaran-ajaran Allah itu suatu peringatan. Maka barangsiapa menghendaki, tentulah dia akan memerhatikannya. Di dalam kitab-kitab yang dimuliakan (di sisi Allah), yang ditinggikan dan disucikan, di tangan para rasul utusan (malaikat), yang mulia lagi berbakti.

Berdasarkan ayat ini, Allah menegur Rasulullah s.a.w kerana tidak mempedulikan si buta. Saya tidak berniat untuk menceritakan perihal peristiwa ini dengan panjang lebar. Tetapi saya lebih tertarik untuk menunjukkan bahawa Allah menegur Rasulullah s.a.w melalui ayat tersebut, menunjukkan bahawa Allah menyayangi Rasulullah s.a.w. Allah menyayangi Rasulullah s.a.w dengan membetulkan kesilapan baginda. Kita sebagai manusia biasa, yang tidak maksum ini memang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, maka orang sekeliling kita, yakni sahabat-sahabat kita sendirilah berperanan untuk menegur kita ke arah kebaikan bersama.

Jenayah Dalam Ukhuwwah

Mari kita sama-sama koreksi diri kita sendiri, adakah kita benar-benar menyayangi sahabat-sahabat, adik-beradik, ibu bapa dan orang-orang di sekeliling kita. Jika ya, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus menegur orang di sekeliling kita. Jika kita benar sayangkan sahabat kita, maka beranikan diri untuk menegur mereka, bukan teguran untuk menjatuhkan, tetapi teguran yang menunjukkan rasa sayang, membuktikan rasa kecintaan.

Jika kita masih belum mampu lagi menegur perlakuan sahabat sendiri yang sememangnya lari daripada skema yang ditetapkan Illahi, kita sebenarnya masih belum mencintai sahabat sendiri. Jika kita sendiri berani untuk meluahkan 'uhibbuki fillah', 'asihiteru fillah' dan 'sayang kamu kerana Allah', maka kita perlu berani untuk meluahkan teguran dan nasihat kita sebagai tanda kecintaan yang sebenarnya kepada sahabat-sahabat kita. Jangan pernah sesekali mengiakan setiap perlakuan sahabat kita, kerana kemungkinan hal ini mungkin boleh mengundang diri kita dan sahabat-sahabat kita daripada untuk terus leka dengan mainan dunia yang sementara ini. Jika kita tidak berani untuk menegur sahabat sendiri, sedarlah bahawa ini adalah salah satu daripada jenayah dalam sebuah ukhuwwah.

"Apabila kita berani menasihati kawan, baru kita yakin keakraban kami. Apabila kita segan menasihatinya, baru kita sedar sebenarnya kita belum akrab."
-Ustaz Nik Mohamad Abduh-

Sahabat yang baik ialah sahabat yang senantiasa menegur sahabatnya apabila melakukan kesalahan. Sebuah teguran supaya sahabat kita tidak terus tergelincir dalam melakukan kemaksiatan. Sebuah teguran yang sama-sama membawa ke arah kebaikan dan pengislahan. Janganlah kita mensia-siakan sebuah jalinan ukhuwwah ini gara-gara disebabkan jenayah ukhuwwah ini. Sebuah jenayah yang terus menutup mata kita untuk menegur sahabat yang disayangi.



Sahabat-sahabat, jika kalian benar-benar menyayangi diri ini, hadiahkanlah sebuah teguran kepada diri ini. Titipkanlah nasihat supaya diri ini terus berada di landasan yang betul. Jangan biarkan diri ini terus terkapai-kapai tanpa sebuah teguran yang telus daripada sahabat semua. Jangan kira biarkan jenayah ini terus menular dalam ukhuwwah dan boleh menjadi barah yang makin parah!

Sama-samalah kita mengamalkan ayat ketiga surah Al-'Asr yang selama ini kita sudah tadabbur maknanya.

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Berkatalah benar walaupun pahit!



Sunday, 7 October 2012

Jadilah Seperti Tasik

Suasana di meja makan sunyi sepi. Hanya kedengaran sudu berlaga dengan pinggan lauk sekali sekala. Masing-masing tidak berani untuk bercakap. Sudah menjadi tradisi keluarga itu, semua yang sedang menikmati makanan ketika berada di meja makan dilarang sama sekali menuturkan walau satu apatah perkataan. Mereka hanya boleh bersuara tatkala mereka selesai menjamu selera.

Tiba-tiba...

"Ayah.." salah seorang anak bersuara. Nada suara seperti takut-takut. Teragak-agak untuk menutur kata. Si ayah memandang si anak dengan pandangan yang tajam. Tanda sebuah amaran. Ibu dan ahli keluarga lain pula terpinga-pinga apabila anak itu berani bersuara.

"Ayah." kali kedua si anak memanggil ayahnya. Nada suara sama seperti tadi, kelihatan takut-takut dan teragak-agak.

"Diam! Kan ayah dah cakap, masa makan tidak boleh cakap. Kalau nak cakap, cakap lepas kita habis makan." tegas si ayah memberi amaran.

Si anak hanya mengangguk. Menandakan akur kepada 'undang-undang' yang dicipta oleh ayahnya. Hasrat yang terbuku dihati akan diluahkan sejurus sahaja mereka selesai makan nanti.

Usai makan, si ayah memanggil si anak.

"Nak, ada apa tadi?" soal si ayah. Lembut tutur katanya.

"Tiada apa. Tadi saya hanya nak cakap dekat ayah yang salad ayah makan tadi ada ulat." jawab si anak.

Si ayah bungkam membisu. Memikirkan ulat yang sudah pasti lumat masuk ke perut bersama-sama salad. Memikirkan kerasionalan 'undang-undang' yang dicipta di meja makan.

Sengaja saya selitkan anekdot seperti di atas. Sebuah anekdot yang mampu membuatkan kita mengukir garis senyum. Namun, dalam masa yang sama ini merupakan sebuah anekdot yang sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada saya dan mempunyai kaitan dengan tajuk entri yang saya ingin saya sampaikan.

Bukan Soal Lama Makan Garam

"Bang, saya rasa gimik pelancaran tu perlu muzik yang mantap. Yang mampu membuatkan audien terpegun." cadang salah seorang AJK bagi gimik pelancaran sesebuah program.

"Mana boleh macam tu. Kita kena ikut idea asal. Lagipun awak siapa nak bagi cadangan untuk gimik pelancaran tu nanti. Dah la sewaktu pelancaran nanti ada orang-orang kenamaan yang datang. Dah, dah, pergi buat kerja." arah si ketua. Cadangan daripada AJK langsung ditolak mentah-mentah. Tanda tidak menerima cadangan tersebut.

Terkadang apabila kita berada di atas, kita jarang mahu mendengar cadangan daripada orang bawahan. Kita menyangka bahawa kitalah yang berada di atas, tidak sewajarnya cadangan mereka yang di bawah kita terima.

Ada juga golongan yang merasakan diri mereka hebat, tinggi ilmu pengetahuan, luas pengalaman. Lantas, jika terdapat orang lain yang dirasakan kurang berilmu daripadanya, bila didatangkan nasihat, badan menjadi panas, hati bertukar menggelegak, dek kerana marah tidak bertempat bila didatangkan nasihat. Berasakan diri sudah hebat serba serbi, tidak perlu menerima teguran walaupun sekadar sipi-sipi.

Begitu juga apabila orang yang menasihati kita itu adalah orang yang lebih muda daripada kita. Bukan semua orang boleh menerima nasihat daripada orang yang lebih muda daripada mereka. Alasan 'saya sudah lama makan garam' membuatkan ramai dalam kalangan yang lebih tua menolak mentah-mentah pandangan mereka yang lebih muda.

Lebih ramai yang tidak membuka hati masing-masing dalam menerima nasihat.

Lebih ramai yang menutup hati, memekakkan telinga menandakan masing-masing tidak memerlukan nasihat atau teguran daripada orang 'biasa-biasa' sahaja.

Sebuah Analogi

"Ok. Baiklah. Sekarang semua pandang ke depan." Seorang sahabat merangkap urusetia aktiviti yang kami jalankan ketika itu bersuara.

Di hadapan beliau terdapat satu dua botol air mineral 500 ml. Satu botol yang ditutup dengan penutup botol, manakala satu botol lagi dibiarkan terbuka tanpa penutup. Yang pasti, kedua-dua botol berisi separuh air.

Dalam hati saya terdetik apakah perkara yang ingin beliau lakukan. Saya dan sahabat-sahabat yang lain menumpukan sepenuh perhatian terhadap botol-botol tersebut.

"Ok. Sekarang semua lihat. Apa yang akan terjadi jika botol yang terbuka ini dituangkan ke atas botol yang tertutup ni." Sejurus selepas itu beliau menuangkan air dari botol yang tidak berpenutup itu ke atas botol yang ditutup dengan penutup.

Seperti yang dijangka, sudah pasti air daripada botol yang dituang itu tidak dapat masuk ke dalam botol yang ditutup dengan penutup. Air hanya mengalir jatuh ke tanah. Tidak mengalir masuk ke dalam botol yang ditutup walaupun matlamatnya adalah untuk memasukkan air ke dalam botol yang ditutup tersebut.

"Analoginya di sini ialah, anggaplah air tersebut sebagai ilmu. Dan botol yang ditutup adalah diri kita sendiri manakala botol yang dituang itu adalah orang yang ingin menyampaikan ilmu kepada kita. Jika kita tutup hati kita untuk terima segala ilmu, nasihat dan teguran, sampai bila-bila kita tidak akan dapat terima benda-benda itu semua. Jadi, bukalah hati kita untuk terima segala ilmu, nasihat dan teguran daripada orang lain."

Mendengar rumusan daripada analogi tersebut, saya mengintrospeksi diri. Begitu terkesan di hati terhadap terhadap analogi botol yang didemonstrasikan di depan kami sebentar tadi. Menginsafi segala tingkah laku diri yang terkadang diri sendiri telah menutup hati. Moga Allah mengampuni setiap perlakuan kerana terkadanag diri sendiri telah menyombongkan diri. Sombong daripada menerima segala teguran, nasihat mahupun ilmu yang ingin disampaikan.

Ibrah Daripada Alam

Sahabat, mari kita tadabbur alam. Cuba renungkan, gunung yang tinggi itu tidak dapat menakungi air. Namun, tasik yang berada di kawasan rendah dapat menakungi air.

Walaupun sebanyak mana sekalipun air yang jatuh ke atas gunung tersebut, air tersebut tidak sekali-kali bertakung di puncak gunung tersebut.

Namun, jika air jatuh dan mengalir ke dalam tasik, tasik tersebut berupaya menakung air walaupun air yang jatuh dan mengalir itu adalah banyak.

Cuba tanya diri kita sendiri, kita adalah gunung ataupun tasik? 

Jadilah seperti tasik, sentiasa merendah diri, mampir dengan bumi, senantiasa boleh ditakungi air. Jangan jadi seperti gunung, terasa sudah tinggi, air pun tidak mampu ditakungi.



Bukalah hati. Lapangkanlah dada dalam menerima nasihat, teguran dan ilmu yang ingin disampaikan. Usahlah kita mengukur umur, ilmu yang ada pada orang itu dan banyak mana pengalaman yang ditimba dalam diri seseorang sebagai indikator untuk kita menerima nasihat, teguran dan ilmu. Kita semua adalah sama. Sekadar manusia yang berstatuskan hamba yang hina.

Jika kita sebagai manusia biasa sukar untuk menerima teguran, nasihat mahupun ilmu yang ingin disampaikan kerana berasakan diri sudah terlalu hebat, tadabburilah kisah Ummu Salamah yang telah memberikan pendapat beliau kepada Rasulullah s.a.w ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Pandangan dan nasihat Ummu Salamah diraikan, dan diikuti oleh Rasulullah s.a.w.

Sedangkan Rasulullah s.a.w boleh menerima nasihat dan teguran daripada orang lain.
Apatah lagi diri kita sendiri yang tempat kita di syurga pun masih belum pasti.

Teladanilah sirah.
Ambillah ibrah.

Jangan dinasihati sedikit sudah terguris.
Teruslah optimis dengan segalanya yang sudah tergaris.