Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Tuesday, 23 October 2012

Jenayah Dalam Ukhuwwah

Suatu hari, si anak melompat-lompat sambil memijak-mijak semut di bawah kakinya. Si ayah sekadar memerhati dan tersenyum bangga.

"Bagus anakku. Bagus!" Dengan begitu bangga si ayah memuji anaknya.

Si anak berasa begitu seronok dengan pujian yang diberikan ayahnya. Oleh itu, si anak menganggap bahawa perbuatan sebegitu adalah betul. Tidak lama kemudian, si anak melompat-lompat sambil memijak-mijak nasi yang tumpah di atas lantai.

"Bagus, anakku. Bagus!" Si ayah sekali lagi memuji anaknya. Tanpa mempedulikan bahawa perlakuan anaknya itu berkemungkinan besar adalah salah, si ayah tidak melarang sama sekali perbuatan anaknya itu. Disebabkan pujian daripada si ayah, si anak akan terus melakukan perkara yang sama.

Pada suatu hari, si anak melompat-lompat pula di atas kaca yang berderai. Disebabkan sebelum ini si anak tidak pernah dilarang atau ditegur oleh si ayah ketika si anak melompat, tanpa mengetahui kaca itu bahaya, si anak dengan riang melompat-lompat di atas serpihan kaca di lantai.

Tika itu, si ayah tidak mampu lagi untuk memuji si anak. Tika itu, si ayah baru menyedari bahawa perbuatannya selama ini yang tidak pernah menegur anaknya itu mengundang kepada sebuah bencana. Tika itu juga, si ayah juga menyesal kerana tidak pernah cuba menegur perbuatan anaknya walhal perbuatan anaknya secara terang-terangan memang salah.

Berkatalah Benar

Situasi di atas menjelaskan bahawa dalam hidup ini, kadang-kadang kita sukar untuk menyuarakan apa yang betul terhadap orang yang disayangi. Seperti situasi si ayah dengan anak itu, si ayah tanpa rasa bersalah terus membiarkan si anak melakukan perkara sedemikian, walhal sepatutnya si ayah perlu membetulkan kesilapan anaknya dengan sebaiknya, bukan dengan hanya melihat dan tersenyum bangga. Si ayah juga memuji dengan penuh bangga sehingga si anak melayang tinggi dek pujian, tanpa menyedari bahawa perlakuan sebegitu merupakan sebuah kesilapan tanpa teguran.

Begitulah juga dalam bersahabat. Terkadang kita terlalu menyayangi sahabat tersebut sehingga lupa untuk menegur sahabat kita sendiri jika sahabat tersebut melakukan suatu kesilapan. Kita juga dengan rasa bangga menutup mata tanpa memperbetulkan kembali kesilapan yang dilakukan mereka. Hingga sampai satu tahap, kita seolah-olah dibutakan hati untuk membuat teguran kepada sahabat kita sendiri.

Diri terpanggil untuk menulis perihal ini setelah Allah menghantar seseorang supaya saya terus bermuhasabah diri, mengintrospeksi diri. Satu mesej yang biasa-biasa namun, benar-benar menjentik hati lantas menyedari kekhilafan diri. Mesej daripada sahabat sendiri yang membuatkan diri rasa benar-benar terpukul dengan sebuah kesilapan yang dilakukan diri.

Berkatalah benar walaupun pahit
Pernah juga saya meminta pandangan sahabat-sahabat saya supaya menegur setiap perlakuan dan percakapan saya yang tidak kena dengan skema Allah dan Rasulullah s.a.w.

Namun, semuanya memberikan respon yang positif. Boleh dikatakan, semuanya menyatakan yang baik-baik sahaja perihal diri ini, walhal saya terlalu mengharapkan suatu teguran yang boleh membetulkan diri ini. Teguran yang boleh menjadi panduan kepada diri sendiri untuk terus mengislah diri ke arah yang lebih baik. Bukannya mengharapkan pujian demi pujian sehingga boleh membawa diri kepada sebuah kesilapan tanpa teguran. Nauzubillah...

Tegur Tanda Sayang

Terdapat satu peristiwa yang mana ketika Rasululla s.a.w berasa di Makkah dan dakwah baginda masih mengalami gangguan daripada pihak musyrikin. Ketika itu, Rasulullah s.a.w sedang berdakwah kepada tokoh-tokoh besar musyrikin supaya mereka dapat menerima ajaran yang dibawa baginda. Sedang asyik Rasulullah s.a.w berdakwah, tiba-tiba baginda didatangi seorang buta bernama Abdullah bin Ummi Maktum. 

"Ajarkan padaku, ya Rasulullah apa yang diajarkan Allah kepada engkau."

Nabi tidak mengendahkan permintaan si buta tersebut. Baginda sebaliknya teramat mengharapkan supaya tokoh-tokoh Quraisy itu memeluk Islam sehingga mengabaikan si buta yang datang kepada baginda. Maka Allah segera menegur baginda dengan menurunkan ayat 1-16, surah Abasa.

"Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling. Kerana seorang buta telah datang kepadanya. Dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran yang memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup. Maka engkau (Muhammad) memberi perhatian kepadanya. Padahal tidak ada (cela) ke atasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran). Sedang dia takut (kepada Allah). Engkau (Muhammad) malah mengabaikannya. Sesekali jangan begitu! Sungguh ajaran-ajaran Allah itu suatu peringatan. Maka barangsiapa menghendaki, tentulah dia akan memerhatikannya. Di dalam kitab-kitab yang dimuliakan (di sisi Allah), yang ditinggikan dan disucikan, di tangan para rasul utusan (malaikat), yang mulia lagi berbakti.

Berdasarkan ayat ini, Allah menegur Rasulullah s.a.w kerana tidak mempedulikan si buta. Saya tidak berniat untuk menceritakan perihal peristiwa ini dengan panjang lebar. Tetapi saya lebih tertarik untuk menunjukkan bahawa Allah menegur Rasulullah s.a.w melalui ayat tersebut, menunjukkan bahawa Allah menyayangi Rasulullah s.a.w. Allah menyayangi Rasulullah s.a.w dengan membetulkan kesilapan baginda. Kita sebagai manusia biasa, yang tidak maksum ini memang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, maka orang sekeliling kita, yakni sahabat-sahabat kita sendirilah berperanan untuk menegur kita ke arah kebaikan bersama.

Jenayah Dalam Ukhuwwah

Mari kita sama-sama koreksi diri kita sendiri, adakah kita benar-benar menyayangi sahabat-sahabat, adik-beradik, ibu bapa dan orang-orang di sekeliling kita. Jika ya, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus menegur orang di sekeliling kita. Jika kita benar sayangkan sahabat kita, maka beranikan diri untuk menegur mereka, bukan teguran untuk menjatuhkan, tetapi teguran yang menunjukkan rasa sayang, membuktikan rasa kecintaan.

Jika kita masih belum mampu lagi menegur perlakuan sahabat sendiri yang sememangnya lari daripada skema yang ditetapkan Illahi, kita sebenarnya masih belum mencintai sahabat sendiri. Jika kita sendiri berani untuk meluahkan 'uhibbuki fillah', 'asihiteru fillah' dan 'sayang kamu kerana Allah', maka kita perlu berani untuk meluahkan teguran dan nasihat kita sebagai tanda kecintaan yang sebenarnya kepada sahabat-sahabat kita. Jangan pernah sesekali mengiakan setiap perlakuan sahabat kita, kerana kemungkinan hal ini mungkin boleh mengundang diri kita dan sahabat-sahabat kita daripada untuk terus leka dengan mainan dunia yang sementara ini. Jika kita tidak berani untuk menegur sahabat sendiri, sedarlah bahawa ini adalah salah satu daripada jenayah dalam sebuah ukhuwwah.

"Apabila kita berani menasihati kawan, baru kita yakin keakraban kami. Apabila kita segan menasihatinya, baru kita sedar sebenarnya kita belum akrab."
-Ustaz Nik Mohamad Abduh-

Sahabat yang baik ialah sahabat yang senantiasa menegur sahabatnya apabila melakukan kesalahan. Sebuah teguran supaya sahabat kita tidak terus tergelincir dalam melakukan kemaksiatan. Sebuah teguran yang sama-sama membawa ke arah kebaikan dan pengislahan. Janganlah kita mensia-siakan sebuah jalinan ukhuwwah ini gara-gara disebabkan jenayah ukhuwwah ini. Sebuah jenayah yang terus menutup mata kita untuk menegur sahabat yang disayangi.



Sahabat-sahabat, jika kalian benar-benar menyayangi diri ini, hadiahkanlah sebuah teguran kepada diri ini. Titipkanlah nasihat supaya diri ini terus berada di landasan yang betul. Jangan biarkan diri ini terus terkapai-kapai tanpa sebuah teguran yang telus daripada sahabat semua. Jangan kira biarkan jenayah ini terus menular dalam ukhuwwah dan boleh menjadi barah yang makin parah!

Sama-samalah kita mengamalkan ayat ketiga surah Al-'Asr yang selama ini kita sudah tadabbur maknanya.

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Berkatalah benar walaupun pahit!



0 comments:

Post a Comment

Please drop your comments here 😉