Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Monday, 9 September 2013

Menapis Cemburu

Suatu ketika dahulu, saya pernah dilontarkan satu persoalan yang pada pandangan saya semua orang pernah merasainya. Saya juga begitu. Sebuah persoalan yang membabitkan perasaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibicarakan. Salah bicara mungkin ada yang makan hati. Jika tidak diperjelaskan sebaiknya, dikhuatiri persoalan yang melibatkan perasaan semakin merebak dan sukar untuk diubati.

Masih teringat lagi di ingatan, hadirnya seseorang yang datang mengetuk pemikiran, menambat hati untuk meluahkan pandangan terhadap sebuah persoalan. Persoalan yang melibatkan hati, yang pastinya memerlukan saya memberi pendapat secara berhati-hati dan berwasatiy. Seseorang yang berpangkat adik, yang mungkin memerlukan nasihat buat dirinya sendiri, tetapi bagi saya nasihat yang diberi adalah lebih tertumpu kepada introspeksi hati.

"Akak, apa yang saya nak buat kalau saya kuat cemburu?"

Suatu persoalan yang nampak biasa-biasa pada pandangan mata, tetapi memerlukan sebuah penjelasan yang luar biasa pada pandangan hati.

Lantas, soalan yang ditanya dibalas juga dengan pertanyaan. Lebih kepada inginkan kepastian.

"Ermm... cemburu dari segi apa yea dik?"

"Macam-macam la kak."

Mengenali tuan empunya yang bertanya itu, beliau merupakan seorang yang amat menjaga hati. Baik dari pelbagai segi. Namun, fitrah kita manusia punya hati, kadangkala cemburu tidak dapat ditolak ketepi.

Cemburu dengan kejayaan orang lain.
Cemburu dengan kelebihan orang lain.

Namun, cemburu perlu berpada-pada kerana dikhuatiri cemburu itu membawa hati lari daripada landasan yang ditetapkan Allah dan rasulNya.



Cemburu Seorang 'Umar

Kata Sayyidina 'Umar, "Dalam setiap amalku, aku selalu mencuba untuk mengalahkan Abu Bakar."

Suatu hari usai solat Subuh, Rasulullah shallalahu 'alaihi wasallam menghadap ke arah sahabat-sahabat sambil tersenyum. Terdapat persoalan yang diajukan baginda.

"Siapa gerangan yang berpuasa pada pagi ini?"

"Ya Rasulullah, semalam aku berniat tidak berpuasa. Maka hari ini aku tidak berpuasa." jawab 'Umar.

Sang Nabi mengangguk kepala pada 'Umar lalu berpaling ke arah Abu Bakar dengan senyum makin lebar. Abu Bakar tertunduk malu.

"Semalam aku juga belum berniat untuk berpuasa wahai Nabi Allah. Tetapi pagi ini aku berpuasa, inshaaAllah." kata Abu Bakar.

"Segala puji bagi Allah. Siapa pula hari ini telah menjenguk orang sakit?" Rasulullah melanjutkan persoalan.

"Ya Rasulullah, kita belum keluar sejak kita solat tadi. Bagaimana mungkin ada yang telah menjenguk orang sakit?" ujar 'Umar.

"Saudara kita 'Abdurrahman ibn 'Auf sakit, ya Rasulullah. Dalam perjalanan ke masjid tadi aku sempat singgah sekejap menjenguknya." bicara sahabat As-Siddiq itu.

Rasulullah bertahmid dan mengangguk-angguk kepala. "Dan siapa jugakah hari ini telah memberi makan kepada fakir miskin?"

Lalu 'Umar menyahut, "Kami semua berada di sini sejak sembahyang jemaah tadi. Kami belum sempat melakukan derma dan sedekah, ya Rasulullah." Kali ini 'Umar berbicara sambil melirik Abu Bakar. Abu Bakar bungkam. Lantaran itu, Rasulullah meminta Abu Bakar berbicara.

Abu Bakar menunduk, "Aku malu ya Rasulullah. Memang tadi di luar masjid kulihat seorang fakir sedang duduk menggigil. Kuberikan sepotong roti kepada lelaki itu."

Rasulullah berasa bangga dengan jawapan Abu Bakar itu sambil bertahmid memujiNya.

Rupanya, dalam setiap kesempatan yang ada, 'Umar sedaya upaya cuba menyaingi Abu Bakar untuk mempersembahkan yang terbaik kepada Allah dan RasulNya.

Tamrin Buat Hati

Pabila hati dihinggapi rasa cemburu, sakit hati, dengki berapi-api, cepat-cepat periksa hati sendiri. Servislah hati dengan suplemen-suplemen zikir mahupun ayat-ayat suci daripada Illahi. Anggaplah segala virus yang menjangkiti hati sebagai tarbiyyah daripada Illahi, supaya kita terus memuhasabah diri, mengintrospeksi hati terhadap segala kejadian diberi. Sungguh, ini adalah tamrin buat hati, sebagai tanda kita adalah hamba yang lemah, terkadang kalah dek emosi tak menentu yang menjengah.

Memetik kata-kata Profesor Dr. Muhaya Mohamad, "Kita cemburu sebab kita rasa diri kita lebih baik daripada orang lain."

Cemburu hadir sebab kita rasa lebih baik dan lebih mulia daripada orang lain. Lantaran itu, kita merasakan bahawa orang tersebut tidak layak untuk menerima nikmat tersebut. Seolah-olah kita sahajalah yang layak. Pabila perasaan sebegini menjenguk hati, cepat-cepat buang sifat ini dan tanamkan dalam hati bahawa orang itu lebih mulia di sisi Allah yang bernilaikan taqwa.



Namun, jika cemburu kita persis cemburu 'Umar kepada Abu Bakar, yang mana cemburu yang mendorong kepada Allah dan RasulNya, adalah cemburu yang dibenarkan dalam Islam. Sama-sama cemburu ke arah meraih pahala dan menggapai redhaNya tiada salahnya asalkan kita terus berusaha gigih dan melakukan pengorbanan sepenuh jiwa dalam menegakkan agamaNya. 

Jika cemburu negatif menyapa, cepat-cepat tukarkan kepada cemburu positif. Boleh bukan?

Cemburu Positif

Cemburu yang dibenarkan dalam Islam iaitu ghibtah merupakan cemburu yang mendorong kita untuk melakukan kebaikan, sebagaimana kita melihat kebaikan yang dilakukan oleh orang yang kita cemburukan itu. Dalam masa yang sama, kita juga berharap nikmat yang dimilikinya itu turut dimiliki oleh kita tanpa sama sekali berharap agar nikmat tersebut hilang daripada orang itu. Ini adalah ghibtah.

Jika kita melihat orang itu alim, kita juga terus mengikut jejaknya. 
Jika orang itu berharta dan menginfakkan harta ke jalanNya, kita juga mencontohinya.

Jika cemburu itu mampu mengangkat diri kita mulia di sisiNya, dipersilakan. Jika cemburu itu mengangkat diri kita mulia di sisi makhlukNya, berwaspadalah! Bermujahadahlah. Tapislah cemburu yang dikhuatiri akan mengurangkan amalan kita yang sedia ada kurang!

Sungguh, diri ini cemburu mengenangkan kecemburuan 'Umar kepada Abu Bakar.

Fastabiqul khairaat, inshaaAllah.












2 comments:

Salam
lama tak menulis ?
terima kaseh atas pengkongisan .

Salam
lama tak menulis ?
terima kaseh atas pengkongisan .

Post a Comment

Please drop your comments here 😉