Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Wednesday, 26 February 2014

Pakej Istimewa



Dalam kembara hidup ini,
Ada pasang surutnya,
Dalam menghirup tenang,
Sesekali ombak juga tidak lupa menyapa,
Kerana kembara ini,
Bukanlah total dalam tadbir kita,
Sebaliknya segalanya sudah tertulis dalam taqdirNya.

Dalam diam ku sedari,
Kembara ini cukup panjang,
Melalui pelbagai fatrah yang menguji,
Melayan karenah manusia yang begitu melelahkan,
Melawan arus duniawi yang kian meminggir ukhrawi,
Seakan lupa akan firman Illahi.

Dalam diam ku tangisi,
Betapa peritnya ujian yang terhampar kini,
Sehingga hati tersungkur jatuh,
Dalam duka erat seakan membalut luka,
Peritnya terasa bukan sedikit,
Sakitnya rasa seakan membukit.

Dalam diam ku insafi,
Segala yang datang adalah pakej tarbiyyah buat diri,
Pakej tarbiyyah kehidupan istimewa daripada Illahi,
Mengangkat darjat diri,
Juga buat membersih hati.

Dalam diam ku syukuri,
Betapa cantiknya taqdir Illahi,
Betapa lemahnya tadbir diri,
Kerana dengan pakej tarbiyyah ini,
Ku belajar menerima 'bahagian' ini,
Dengan lembut meniup redha dalam hati,
Tatkala hilangnya harapan pada manusia,
Rupanya kita makin akrab denganNya,
Merasai manisnya ibadah buat Pemegang Hati.

HasbunAllahu wa ni'mal wakeel.
Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik Pelindung.
(3:173)

"Ya Allah, janganlah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walaupun pada kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih singkat daripada itu."

Aaameen.

(':

# Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad.

Friday, 14 February 2014

Rahsia Bahagia

Telinga menangkap gelak ketawa kecil sahabat-sahabat lain yang sedang asyik bermain boling pantai. Kelihatan sebiji kelapa dilontar ke arah botol-botol air yang diisi penuh. Hanya satu botol sahaja yang mengena tembakan kelapa itu. Meskipun hanya satu botol sahaja yang tumbang, rasa kekecewaan jauh sekali terpalit pada wajah yang melontarkan kelapa itu tadi. Malahan, senyuman tidak lekang menghiasi wajah, kerana bermain sekadar untuk melepaskan lelah, bukannya melibatkan menang ataupun kalah.

Tika itu saya dan seorang sahabat sengaja melabuhkan duduk tidak jauh daripada mereka yang tengah bermain. Sebelumnya sudah menyertai mereka bermain bola beracun, namun untuk permainan seterusnya kami hanya sekadar menjadi pemerhati sambil merehatkan mata menjamu pemandangan indah ciptaanNya. Pandangan mata sengaja dilemparkan ke arah ombak yang galak menghempas pantai. Angin pula berlumba-lumba menyapa lembut pada muka, hingga tudung menjadi tidak kemas lipatannya, dek kerana dilanggar sang angin yang mesra menyapa. Semoga terdapat satu dua ibrah alam yang dapat kami ceduk, meskipun tidak sesebanyak udara kurniaanNya yang kami sedut.

Sambil menikmati keindahan alam, terlalu banyak yang kami bualkan, Antara persoalan hidup, arah layar kehidupan dan bermacam-macam perkara yang tidaklah menjadi sesak di dada. Sekadar perkongsian hidup, sebagai hamba dalam mencapai redha Sang Pencipta. Hinggalah ada sebaris bait kata yang mampu memberi bahagia walaupun kata-katanya biasa, namun hanya orang luar biasa sahaja yang mampu melakukannya.

"Awak tahu, saya selalu doakan awak, doakan Rania setiap kali selepas solat. Memang saya tidak lupa untuk doakan awak." Dengan lembut, dia menuturkan kata.



Terpempan sebentar mendengar 'pengakuan' daripadanya. Pengakuan yang boleh dirasakan wujudnya rasa keikhlasan dalam tutur bicaranya. Pengakuan yang jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk, malahan bagi saya, pengakuan itu sebenarnya datang daripada rasa sayang seorang sahabat kepada sahabatnya. Pengakuan yang membuatkan hati disiram percikan bahagia, bangga dan terharu bercampur gaul di dalam jiwa. Dek kerana tidak menyangka diri ini mendapat tempat istimewa dalam hatinya, sehingga nama sendiri disebut dalam doanya. Hati manakah tidak bahagia mendengar 'pengakuan' yang tidak terduga itu? Lantas fikiran melayang teringatkan sahabat yang seorang lagi, Rania, jauh di mata namun di hati sentiasa.

Hanya sebaris kata yang dituturkannya, menjadi pengajaran buat saya. Menginsafi saya tidak 'serajin' dirinya yang menyebutkan satu persatu nama orang-orang tersayang tatkala berdoa.

Rupanya ini rahsianya dalam menggapai bahagia!

Silap Formula

Ada dalam kalangan kita terkadang disapa rasa putus asa dalam berdoa, dek kerana permintaan yang dihajatkan tidak dikabulkan. Lantas, merintih dalam jiwa kerana permintaan yang dihajatkan masih belum kesampaian. Ada sesetengah dalam kalangan kita, hanya berdoa untuk diri kita, hanya berdoa untuk kebahagiaan kita, sehingga lupa untuk mendoakan orang lain sebagaimana kita mendoakan diri kita!

Hanya mereka yang berhati emas sahaja mampu mendoakan mereka yang lain sebagaimana mereka menginginkan bahagia menjadi milik mereka, bahagia itulah yang sepatutnya digapai oleh mereka yang lain.

Terkadang, kita tidak mahu mendoakan orang lain kerana bimbang orang yang kita doakan itu mendapat lebih daripada apa yang kita peroleh.

Ada yang hanya mendoakan dirinya sahaja mendapat kebaikan di dunia akhirat, kerana tidak mahu orang lain juga mendapat kebaikan seperti yang dia pinta.

Ada yang hanya mendoakan dirinya mendapat pasangan yang terbaik buat dirinya, kerana tidak mahu orang lain mendapat pasangan yang baik sebagaimana yang dia pinta.

Ada orang yang hanya mendoakan dirinya sahaja lulus cemerlang dalam peperiksaan, kerana tidak mahu orang lain juga mampu sukses berdasarkan yang dia pinta.

Tanpa disedari, ini adalah formula yang salah. Dek kerana kita mahu diri kita sahaja yang mendapatkan serba-serbi yang kita pinta, tetapi kita melupakan mereka yang sepatutnya juga kita sebut-sebut namanya dalam doa kita.

Tiada Rahsia

Kita menyenangi jika didoakan oleh orang-orang yang kita percaya kebaikannya. Sepertimana kita menyenangi didoakan oleh orang soleh, ustazah ustazah dan juga 'alim 'ulama yang kita sangat thiqah pada mereka. Namun kita pasti lebih merasa damai apabila kita didoakan oleh para malaikat. Namun, bagaimana agar kita didoakan oleh malaikat?

Dikisahkan, Fatimah Az Zahra, puteri kesayangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sentiasa melaksanakan solat tahajud pada sepertiga malam terakhir. Wanita penghulu syurga ini sentiasa menghabiskan malam-malamnya dengan tahajud dan doa-doa yang panjang.

Hassan, putera Fatimah sering mendengar munajat indah sang bonda.

Suatu pagi, usai Fatimah berdoa, Hassan si kecil bertanya, "Wahai ibu, dari tadi aku mendengar doamu, tetapi tidak ada satupun doa yang ibu doakan untukmu sendiri?"

Fatimah menjawab dengan lembut, "Puteraku, doakan dahulu tetanggamu, ataupun orang-orang sekitarmu; kerana para malaikat mendengar engkau mendoakan tetangga, para malaikat akan mendoakanmu. Adakah yang lebih baik daripada doa para malaikat yang lebih dekat dengan Allah, Rabb kita?"

Justeru, bersihkanlah jiwa kita, supaya kita mampu untuk mendoakan orang-orang di sekeliling kita kerana doa kita untuk mereka adalah lebih mustajab. Sebagaimana sabda Rasulullah shallallhu 'alaihi wasallam yang bermaksud;

"Doa seorang Muslim bagi saudaranya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Pada sisi orang yang berdoa itu malaikat yang bertugas mengaminkan doanya. Setiap kali dia mendoakan bagi saudaranya satu kebaikan, nescaya malaikat itu akan berkata, "Aaameen dan bagi engkau adalah seperti yang engkau doakan bagi saudaramu."
 (HR Muslim)

Hindari Iri

Berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, saya menginsafi bahawa Allah mahu mendidik kita supaya menghindari perasaan iri terhadap saudara sendiri. Bukan senang supaya kita didoakan malaikat yang tidak punya dosa itu melainkan kita mendoakan kebaikan buat orang lain sebagaimana kita mendoakan buat diri kita sendiri. Tidak mahukah kita merebut doa malaikat yang bersih daripada maksiat, sepanjang masa beribadat kepadaNya yang pastinya lebih mustajab doanya?

Tatkala teringatkan sahabat yang selalu mendoakan kebaikan buat diri ini, saya menyedari bahawa dia merupakan orang yang kaya dengan bahagia. Sahabat itu merupakan sahabat yang jauh daripada sikap pentingkan diri, malahan amat terhindari daripada perasaan iri. Sungguh, saya yang menjadi 'iri' dengan sahabat yang seorang ini, mampu mendoakan kebaikan buat orang lain sebagaimana dia menginginkan kebaikan yang sama buat dirinya! MashaaAllah.



Sahabat, marilah sama-sama kita membersihkan jiwa bahawa kebaikan itu bukan hanya milik kita. Marilah kita mengasuh hati supaya mampu mendoakan yang lain. Marilah sama-sama kita saling mendoakan dalam menggapai bahagia. Saling meratib nama-nama mereka di sekeliling kita kerana kebaikan itu terlalu banyak untuk kita kecapi seorang diri. Saling berdoa untuk sama-sama ke arah destinasi menuju ke jannahNya. Namun, jangan sekali-kali lupa, untuk terus mengirimkan doa buat saudara-saudara kita nun di Palestin, Syria, Rohingya dan Filipina.

Ini adalah rahsia bahagia untuk kita kecapi semua.

Jangan kita menjadi lokek dalam mendoakan orang di sekeliling kita.
Jangan kita menjadi tamak dalam mengecapi bahagia tanpa mereka!

Sama-samalah kita jadikan doa buat yang lain adalah 'hadiah' yang terbaik buat saudara kita!



"Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Wahai Tuhana kami, qabulkanlah doaku. Wahai Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari berlangsungnya hisab (nanti)." (14:40-41)






Monday, 3 February 2014

Orang Ajaib

Orang ajaib.

Siapakah orang ajaib itu?

Adakah orang ajaib itu adalah orang yang mempunyai kuasa yang luar biasa? Seperti Boboi Boy yang mempunyai kuasa dalam mengalahkan musuhnya?

Adakah orang ajaib itu mampu menjelma sesuka hati pada bila-bila masa dan di mana sahaja dia berada? Seperti Doraemon yang mampu ke mana-mana sahaja dengan pintu suka hatinya?

Maaf, perkongsian kali ini bukanlah membawa kepada fantasi yang mustahil dengan akal pemikiran kita, tetapi sesungguhnya diri ini pernah diperkenalkanNya dengan orang ajaib yang wujud dalam dunia nyata, tidak terpesong dengan syariatNya.

Dan sehingga kini, diri sendiri amat mengagumi orang ajaib itu. Mahu juga menjadi orang ajaib sepertinya.

Peristiwa Ramadhan 1434H

Seawal jam 5 pagi lagi bersama dua orang sahabat memecut ke Shah Alam sebelum berangkat pulang ke kampung halaman bagi meraikan 'Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Destinasi yang dituju adalah masjid negeri lantaran adik menunggu di situ sebelum meninggalkan negeri Selangor. Azan Subuh menyambut kedatangan kami sejurus kami masuk ke perkarangan masjid. Usai solat Subuh, saya berniat untuk mengalihkan kedudukan kereta lantaran kedudukan kereta tika itu agak jauh dari masjid bagi menunggu adik yang kelibatnya masih belum dikunjung tiba. Ketika mengundurkan kereta, tiba-tiba satu bunyi dentuman kuat hadir dari belakang kereta. Rasa cuak mula menguasai jiwa. Di kepala terbayang kereta sudah melanggar divider jalan, risau memikirkan keadaan kereta yang baru sahaja berusia dua bulan.

Saya bersama dua lagi sahabat keluar daripada kereta untuk melihat kerosakan pada badan kereta. Keluar sahaja daripada kereta, kejutan yang lain datang tanpa jemputan dipinta. Rupanya punggung kereta sudah melanggar badan kereta lain! Kereta sendiri agak kemek sedikit di bahagian belakang, namun tidak jelas sangat kiranya pada penglihatan. Menyalahkan diri sendiri dek kerana tidak mengungkapkan kalimah Basmallah ketika menaiki kenderaan itu. Rasa gelisah dan bersalah mengasak ke dalam jiwa. Apatah lagi, kemek pada bahagian pintu sebelah pemandu agak dalam dan jelas pada penglihatan. Kerisauan makin bertambah-tambah memikirkan jika kemek pada kereta itu tidak dapat dikembalikan kepada asal. Dalam hati tika itu, hanya Dia sahaja yang tahu. Dalam hati, tidak putus-putus berdoa supaya urusan ini dipermudahkan. Hamba kerdil ini yakin, pasti ada hikmah dan rahmatNya di sebalik musibah ini.



Dua anak muda yang kebetulan menyaksikan kemalangan itu mampir pada kami. Kata salah seorang daripada mereka, kerosakan itu dapat diperbaiki kepada bentuk asal kereta. Hati berasa sedikit lega dan seakan terpujuk mendengar kata-kata anak muda itu. Tanpa sedar, kalimah hamdallah diucapkan. Namun, kelegaan yang dirasa masih belum sepenuhnya jika diri sendiri tidak berjumpa dengan pemiliknya bagi menghulurkan rasa maaf dan membayar ganti rugi kepada pemilik kereta. Walau bagaimanapun, untuk menunggu di situ bagi menemui pemilik kereta itu adalah mustahil disebabkan masjid itu menghidangkan pelbagai program kerohanian usai sahaja Subuh berjemaah tadi. Tambahan lagi, kami perlu bertolak seawal mungkin ke kampung halaman bagi mengelakkan kesesakan di jalan, lebih-lebih lagi pada musim perayaan.

Seorang sahabat mencadangkan supaya meninggalkan nota ucapan maaf beserta nama dan nombor telefon dan ditinggalkan pada kereta tersebut. Nombor telefon adalah perlu supaya pemilik kereta tersebut boleh menghubungi bagi menyelesaikan ganti rugi. Cadangan itu diterima memandangkan adalah sukar bagi kami menunggu di situ dalam tempoh masa yang panjang. Lantas, aksara maaf yang didahului dengan  salam ditulis pada kertas nota beserta nama dan nombor telefon. Nota maaf itu diselitkan pada wiper kereta yang dilanggar. Hati kecil terus berdoa mudah-mudahan, pemilik kereta itu sudi memaafkan dan kami dapat menyelesaikan perkara ini tanpa melibatkan mahkamah.

Setelah menemui adik, kami terus sahaja bergerak pulang ke kampung halaman. Mengharapkan hikmah di celah-celah musibah yang menimpa usai Subuh tadi. Hati tidak putus-putus meminta kepadaNya supaya urusan ini dipermudahkan. Hati tidak henti-henti mengharapkan agar pemilik kereta itu tega menghubungi bagi melunaskan bayaran sebagai ganti rugi.

Ketika berada di Bentong, kira-kira dua jam permusafiran, satu mesej diterima daripada nombor yang tidak dikenali. Alhamdulillah, doa hamba yang kerdil ini dimakbulkanNya. Akhirnya, pemilik kereta itu menghubungi. Walau bagaimanapun, satu lagi kejutan yang diberi. Kejutan daripadaNya berbentuk tarbiyyah hati, mampu menginsafi diri.

'Wlkmslm! Hati sy sejuk n cair dpt note dari Nor. Tk 4 ur honesty! Takpelah bukan sengaja pun. Sama2lah doa Allah mempermudahkan sy membaikinya, inshaaAllah (sikit jek). Alhamdulillah. :) Kak/aunty zee.'

Membaca kandungan mesej tersebut, membuatkan hati terharu. Lebih-lebih lagi, aunty tersebut tidak mahu dibayar kerugian yang dialaminya, hanya meminta bayaran berbentuk doa. SubhaanAllah! Rasa diri ini ditarbiyyah olehNya di pagi hari itu. Menginsafi diri bahawa tarbiyyahNya ada di mana-mana sahaja. Taqdir yang telah diaturNya begitu cantik, rupanya musibah tadi mampu menjadi ibrah buat diri. Alhamdulillah thummal hamdulillah.

Mesej daripada Aunty Zee

Jadi Orang Ajaib

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda;

"Sungguh ajaib perkaranya orang beriman, kerana segala ururannya adalah baik baginya. Dan hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mukmin; iaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, dia bersyukur kerana (dia mengetahui) bahawa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika dia tertimpa musibah, dia bersabar, kerana (dia mengetahui) bahawa hal tersebut merupakan hal yang terbaik bagi dirinya. 
(Riwayat Muslim)

Sungguh, selepas percaturan indah itu berlaku, saya mengenali aunty tersebut sebagai orang ajaib, yakni mukmin ajaib. Sepatutnya kereta yang telah dilanggar adalah musibah buatnya. Namun aunty tersebut tetap bersabar, malahan menghalalkan segalanya. MashaaAllah. Jika saya berada di tempatnya, belum tentu saya mampu berbuat demikian; bersabar dan menghalalkan apa yang berlaku.

Moga Allah terus mengurniakan kebaikan di dunia dan akhirat kepada aunty tersebut.

Tidak pernah dikenali, namun mampu memberi kesan sampai bila-bila buat hati.

Tanpa disedari, Aunty Zee menjadi murabbi buat diri. Murabbi yang mendidik diri menjadi mukmin ajaib!

Bersyukur atas tarbiyyah yang dikurniakan ini.

Jom, sama-sama menjadi mukmin ajaib!

Jika mendapat kebahagiaan, kita bersyukur. Jika mendapat musibah, kita bersabar. Kerana kedua-duanya adalah baik buat kita sebagai hambaNya. InshaaAllah.

(:

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad.