Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Friday, 14 February 2014

Rahsia Bahagia

Telinga menangkap gelak ketawa kecil sahabat-sahabat lain yang sedang asyik bermain boling pantai. Kelihatan sebiji kelapa dilontar ke arah botol-botol air yang diisi penuh. Hanya satu botol sahaja yang mengena tembakan kelapa itu. Meskipun hanya satu botol sahaja yang tumbang, rasa kekecewaan jauh sekali terpalit pada wajah yang melontarkan kelapa itu tadi. Malahan, senyuman tidak lekang menghiasi wajah, kerana bermain sekadar untuk melepaskan lelah, bukannya melibatkan menang ataupun kalah.

Tika itu saya dan seorang sahabat sengaja melabuhkan duduk tidak jauh daripada mereka yang tengah bermain. Sebelumnya sudah menyertai mereka bermain bola beracun, namun untuk permainan seterusnya kami hanya sekadar menjadi pemerhati sambil merehatkan mata menjamu pemandangan indah ciptaanNya. Pandangan mata sengaja dilemparkan ke arah ombak yang galak menghempas pantai. Angin pula berlumba-lumba menyapa lembut pada muka, hingga tudung menjadi tidak kemas lipatannya, dek kerana dilanggar sang angin yang mesra menyapa. Semoga terdapat satu dua ibrah alam yang dapat kami ceduk, meskipun tidak sesebanyak udara kurniaanNya yang kami sedut.

Sambil menikmati keindahan alam, terlalu banyak yang kami bualkan, Antara persoalan hidup, arah layar kehidupan dan bermacam-macam perkara yang tidaklah menjadi sesak di dada. Sekadar perkongsian hidup, sebagai hamba dalam mencapai redha Sang Pencipta. Hinggalah ada sebaris bait kata yang mampu memberi bahagia walaupun kata-katanya biasa, namun hanya orang luar biasa sahaja yang mampu melakukannya.

"Awak tahu, saya selalu doakan awak, doakan Rania setiap kali selepas solat. Memang saya tidak lupa untuk doakan awak." Dengan lembut, dia menuturkan kata.



Terpempan sebentar mendengar 'pengakuan' daripadanya. Pengakuan yang boleh dirasakan wujudnya rasa keikhlasan dalam tutur bicaranya. Pengakuan yang jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk, malahan bagi saya, pengakuan itu sebenarnya datang daripada rasa sayang seorang sahabat kepada sahabatnya. Pengakuan yang membuatkan hati disiram percikan bahagia, bangga dan terharu bercampur gaul di dalam jiwa. Dek kerana tidak menyangka diri ini mendapat tempat istimewa dalam hatinya, sehingga nama sendiri disebut dalam doanya. Hati manakah tidak bahagia mendengar 'pengakuan' yang tidak terduga itu? Lantas fikiran melayang teringatkan sahabat yang seorang lagi, Rania, jauh di mata namun di hati sentiasa.

Hanya sebaris kata yang dituturkannya, menjadi pengajaran buat saya. Menginsafi saya tidak 'serajin' dirinya yang menyebutkan satu persatu nama orang-orang tersayang tatkala berdoa.

Rupanya ini rahsianya dalam menggapai bahagia!

Silap Formula

Ada dalam kalangan kita terkadang disapa rasa putus asa dalam berdoa, dek kerana permintaan yang dihajatkan tidak dikabulkan. Lantas, merintih dalam jiwa kerana permintaan yang dihajatkan masih belum kesampaian. Ada sesetengah dalam kalangan kita, hanya berdoa untuk diri kita, hanya berdoa untuk kebahagiaan kita, sehingga lupa untuk mendoakan orang lain sebagaimana kita mendoakan diri kita!

Hanya mereka yang berhati emas sahaja mampu mendoakan mereka yang lain sebagaimana mereka menginginkan bahagia menjadi milik mereka, bahagia itulah yang sepatutnya digapai oleh mereka yang lain.

Terkadang, kita tidak mahu mendoakan orang lain kerana bimbang orang yang kita doakan itu mendapat lebih daripada apa yang kita peroleh.

Ada yang hanya mendoakan dirinya sahaja mendapat kebaikan di dunia akhirat, kerana tidak mahu orang lain juga mendapat kebaikan seperti yang dia pinta.

Ada yang hanya mendoakan dirinya mendapat pasangan yang terbaik buat dirinya, kerana tidak mahu orang lain mendapat pasangan yang baik sebagaimana yang dia pinta.

Ada orang yang hanya mendoakan dirinya sahaja lulus cemerlang dalam peperiksaan, kerana tidak mahu orang lain juga mampu sukses berdasarkan yang dia pinta.

Tanpa disedari, ini adalah formula yang salah. Dek kerana kita mahu diri kita sahaja yang mendapatkan serba-serbi yang kita pinta, tetapi kita melupakan mereka yang sepatutnya juga kita sebut-sebut namanya dalam doa kita.

Tiada Rahsia

Kita menyenangi jika didoakan oleh orang-orang yang kita percaya kebaikannya. Sepertimana kita menyenangi didoakan oleh orang soleh, ustazah ustazah dan juga 'alim 'ulama yang kita sangat thiqah pada mereka. Namun kita pasti lebih merasa damai apabila kita didoakan oleh para malaikat. Namun, bagaimana agar kita didoakan oleh malaikat?

Dikisahkan, Fatimah Az Zahra, puteri kesayangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sentiasa melaksanakan solat tahajud pada sepertiga malam terakhir. Wanita penghulu syurga ini sentiasa menghabiskan malam-malamnya dengan tahajud dan doa-doa yang panjang.

Hassan, putera Fatimah sering mendengar munajat indah sang bonda.

Suatu pagi, usai Fatimah berdoa, Hassan si kecil bertanya, "Wahai ibu, dari tadi aku mendengar doamu, tetapi tidak ada satupun doa yang ibu doakan untukmu sendiri?"

Fatimah menjawab dengan lembut, "Puteraku, doakan dahulu tetanggamu, ataupun orang-orang sekitarmu; kerana para malaikat mendengar engkau mendoakan tetangga, para malaikat akan mendoakanmu. Adakah yang lebih baik daripada doa para malaikat yang lebih dekat dengan Allah, Rabb kita?"

Justeru, bersihkanlah jiwa kita, supaya kita mampu untuk mendoakan orang-orang di sekeliling kita kerana doa kita untuk mereka adalah lebih mustajab. Sebagaimana sabda Rasulullah shallallhu 'alaihi wasallam yang bermaksud;

"Doa seorang Muslim bagi saudaranya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Pada sisi orang yang berdoa itu malaikat yang bertugas mengaminkan doanya. Setiap kali dia mendoakan bagi saudaranya satu kebaikan, nescaya malaikat itu akan berkata, "Aaameen dan bagi engkau adalah seperti yang engkau doakan bagi saudaramu."
 (HR Muslim)

Hindari Iri

Berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, saya menginsafi bahawa Allah mahu mendidik kita supaya menghindari perasaan iri terhadap saudara sendiri. Bukan senang supaya kita didoakan malaikat yang tidak punya dosa itu melainkan kita mendoakan kebaikan buat orang lain sebagaimana kita mendoakan buat diri kita sendiri. Tidak mahukah kita merebut doa malaikat yang bersih daripada maksiat, sepanjang masa beribadat kepadaNya yang pastinya lebih mustajab doanya?

Tatkala teringatkan sahabat yang selalu mendoakan kebaikan buat diri ini, saya menyedari bahawa dia merupakan orang yang kaya dengan bahagia. Sahabat itu merupakan sahabat yang jauh daripada sikap pentingkan diri, malahan amat terhindari daripada perasaan iri. Sungguh, saya yang menjadi 'iri' dengan sahabat yang seorang ini, mampu mendoakan kebaikan buat orang lain sebagaimana dia menginginkan kebaikan yang sama buat dirinya! MashaaAllah.



Sahabat, marilah sama-sama kita membersihkan jiwa bahawa kebaikan itu bukan hanya milik kita. Marilah kita mengasuh hati supaya mampu mendoakan yang lain. Marilah sama-sama kita saling mendoakan dalam menggapai bahagia. Saling meratib nama-nama mereka di sekeliling kita kerana kebaikan itu terlalu banyak untuk kita kecapi seorang diri. Saling berdoa untuk sama-sama ke arah destinasi menuju ke jannahNya. Namun, jangan sekali-kali lupa, untuk terus mengirimkan doa buat saudara-saudara kita nun di Palestin, Syria, Rohingya dan Filipina.

Ini adalah rahsia bahagia untuk kita kecapi semua.

Jangan kita menjadi lokek dalam mendoakan orang di sekeliling kita.
Jangan kita menjadi tamak dalam mengecapi bahagia tanpa mereka!

Sama-samalah kita jadikan doa buat yang lain adalah 'hadiah' yang terbaik buat saudara kita!



"Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Wahai Tuhana kami, qabulkanlah doaku. Wahai Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari berlangsungnya hisab (nanti)." (14:40-41)






0 comments:

Post a Comment

Please drop your comments here 😉