Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Saturday, 8 March 2014

Setia Hingga Ke Syurga

"Di sini kita pernah bertemu
mencari warna seindah pelangi
ketika kau menghulurkan tanganmu
membawaku ke daerah yang baru
dan hidupku kini ceria.... "

Entah sudah ke berapa kali nasyid Untukmu Teman dendangan kumpulan Brothers diulang-ulang pagi yang indah penuh barakah itu. Bait demi bait cukup menggigit tangkai hati, membawa diri pergi ke setiap jendela memori. Sesekali kedengaran burung berkicau bersahutan dengan kokokan sang ayam, menandakan mereka berzikir kepada Pencipta. Dari langit yang kebiruan di luar jendela, pandangan dialihkan ke dalam kamar dan terhenti pada bingkai gambar yang terletak elok di satu sudut meja. Bingkai gambar yang dihadiahkan oleh mereka yang tercinta, jauh di mata, tetapi dekat di hati sentiasa.

Bingkai gambar berlatar belakang hijau pucuk pisang, dihiasi dengan muka sahabat-sahabat selafaz dan senafas perjuangan. Satu riben merah jambu terletak kemas pada penjuru sebelah atas bahagian kiri mencantikkan lagi bingkai gambar itu. Mungkin bingkai gambar itu murah, tetapi mesej pada bingkai gambar dan segala kenangan yang pernah terpateri mahal dan tidak ternilai harganya. Satu mesej indah menghiasi latar hijau pucuk pisang itu, menambatkan lagi hati sesiapa yang menghadam setiap bait kata.

"Ukhuwwah yang terbina bukan seperti bunga,
tetapi persis tasbih yang ada awal, tiada penghujungnya.
Dicantum demi cintaNya.
Diratib demi redhaNya."


Barang Amanah

"Saya rasa kita kena bagi sesuatu untuk mereka la, awak." Suatu hari seorang sahabat selafaz dan senafas perjuangan, lebih mesra dipanggil Gee, menyuarakan hasrat hatinya kepada saya. Rupanya sahabat itu mempunyai pemikiran yang sama dengan saya, tetapi mendahului saya menyuarakan hasrat itu.

"Betul jugak tu. Tapi kita nak bagi apa?" Saya membalas dengan pertanyaan.

"Hurmm. Itulah, saya pun tidak tahu nak bagi apa. Nanti kita fikir sama-sama ye."

Kami tidak berdaya untuk memikirkan apakah 'sesuatu' yang terbaik boleh kami hadiahkan kepada mereka, sebelum kami meninggalkan bumi tarbawi yang cukup membekas pada hati. Tetapi 'sesuatu' itu amatlah sukar, lantaran ketika itu kami tengah ribut bergelut dengan kajian tindakan yang merupakan syarat wajib bagi kami untuk menamatkan pengajian. Namun, dalam kesibukan menguruskan pelbagai urusan, urusan untuk memberikan 'sesuatu' kepada mereka tetap berada dalam kotak penting biarpun tidak segera. Gee dan saya diamanahkan untuk menjadi 'kakak' di dalam bulatan cinta itu. Sebagai penggerak utama dalam bulatan cinta itu, kami merasakan betapa perlu meninggalkan 'sesuatu' kepada setiap ahli bulatan cinta kami.

'Sesuatu' buat mereka. Mereka itu adalah sahabat kecintaan kami berdua, sahabat dalam bulatan kami, bertaraf adik kerana usia mereka lebih muda daripada kami.  Sahabat yang disayangi kerana Illahi, walaupun berbeza rahim ibu melahirkan, tetapi kami tetap dari rahim akidah yang sama, erat dalam pelukan iman.

Sesuatu buat mereka. Mengharapkan 'sesuatu' itu menjadi kenangan bermakna buat kami semua. Bukan kenangan yang sia-sia, tetapi kenangan yang membuahkan redha kepadaNya, mengeratkan lagi hati-hati ini kepada dalam mengikat setia untuk terus menjunjung tinggi agamaNya.

Akhirnya, kami mendapat ilham yang diberikanNya tentang 'sesuatu' yang bermakna buat kami, dalam memaknakan cinta kepada Illahi.



'Sesuatu' yang difikirkan sehingga kadangkala menemukan jalan buntu menatijahkan hasil apabila saya dan sahabat selafaz dan senafas perjuangan itu bergabung idea dalam memberikan barang amanah yang bermakna ini kepada mereka. Bantal berbentuk hati, dinukilkan dengan aksara WG, singkatan nama bulatan cinta kami, tanpa dipinggirkan nombor-nombor yang sememangnya sengaja diletakkan sekali supaya hati kami sekali-kali tidak lupa kepada Pemegang Hati kami.

Nombor-nombor pada bantal hati itu bermaksud satu ayat daripada Al-Quran, yang menjadi kegemaran dan pilihan kami. Bukanlah bermaksud untuk tidak berpegang dan meminggirkan ayat-ayat yang lain, tetapi setiap ayat yang menjadi pilihan mempunyai makna tersendiri buat setiap ahli bulatan cinta kami iaitu Umi Umairah, Unagi, Liyana, Liwani dan Lydia.

"Ok, baiklah. Hari ini kami berdua nak bagi barang amanah untuk kita semua jaga." Usai sahaja melantunkan Al-Fatihah sebagai pembuka majlis bulatan cinta, sengaja ditekankan tentang barang amanah, tanpa ditunjukkan lagi bentuk barang amanah tersebut. 

Masih teringat lagi ekspresi muka masing-masing apabila diberitahu tentang 'barang amanah'. Semestinya masing-masing membayangkan 'barang amanah' yang perlu dijaga sepertimana kem-kem yang menyuruh peserta untuk menjaga 'barang amanah' yang menjadi tanggungjawab peserta untuk menjaga barang amanah itu sebaiknya. Jika barang amanah yang diberikan hilang ataupun rosak, pastinya peserta akan didenda oleh urusetia.

Hingga kini, bantal berbentuk hati itu menjadi amanah buat kami sebagai simbolik dalam menjaga ukhuwwah supaya terus tersimpul mati, terus memegang kalamNya dalam meniti perjalanan menuju ke syurgaNya. 

Namun, tatkala menghitung diri sendiri, sudah layakkah diri ini ke syurgaNya?

Hati terus diserbu rasa syahdu, memikirkan nasib diri, untung atau rugikah kehidupan yang kekal abadi nanti.


Tanyakan Tentangku

Diriwayatkan oleh Ibnul Mubarak dalam satu hadith bermaksud; 

Apabila penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga, lalu mereka tidak menemui sahabat-sahabat mereka yang selalu bersama mereka dahulu sewaktu di dunia. Mereka pun bertanya kepada Allah tentang sahabat mereka, "Ya Rabb, kami tidak melihat sahabat-sahabat kami yang sewaktu di dunia solat bersama kami, puasa bersama kami dan berjuang bersama kami.

Maka Allah berfirman, "Pergilah kamu ke neraka, lalu keluarkanlah sahabat-sahabatmu yang di hatinya ada iman walaupun hanya sebesar zarah."

Sepertimana Ibnul Jauzi berpesan kepada sahabat-sahabatnya sambil menangis, "Jika kalian tidak menemukanku nanti di syurga bersama kalian, maka tolonglah bertanya kepada Allah tentang aku;

'Wahai Rabb kami, hambaMu si fulan, sewaktu di dunia selalu mengingatkan kami tentang Engkau. Maka, masukkanlah dia bersama kami di syurgaMu.'"



Terasa sangat bertuah dan beruntung kerana diri al-faqir yang hina ini dikelilingi dengan mereka yang baik-baik, sentiasa diingatkan oleh orang-orang yang soleh. Sungguh besar nikmat yang dikurniakan ini iaitu memiliki saudara-saudara yang mahukan syurga tertinggi sebagai impian yang perlu dilestari dan dimaknakan menjadi realiti.

Sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Hujurat, ayat kesepuluh yang bermaksud;

"Sesungguhnya, orang-orang mukmin itu bersaudara."

Seperti sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan Imam Abu Dawud yang bermaksud, 

"Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah terdapat orang-orang yang bukan nabi, dan bukan pula syuhada. Tetapi bahkan para nabi dan syuhada cemburu pada mereka di hari kiamat nanti, disebabkan kedudukan yang diberikan Allah kepada mereka."

"Ya Rasulullah, beritahukanlah kepada kami, siapa mereka?" ujar sahabat.

"Mereka itu adalah segolongan manusia yang saling mencintai kerana rahmat Allah. Bukan oleh sebab keturunan dan darah. Bukan kerana pemberian harta. Demi Allah, wajah mereka pada hari itu bersinar cemerlang dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak merasa khuatir tatkala manusia lain ketakutan. Dan mereka tidak tidak bersedih ketika manusia lain berduka." jawab baginda.

Mudah-mudahan, kita adalah golongan yang dicemburukan oleh para nabi dan syuhada itu. Kerana jauh di lubuk hati ini, hati ini benar-benar menyayangi kalian semua kerana Allah. Walaupun kita bukanlah daripada keturunan yang sama, sesungguhnya hati ini tidak dapat menafikan bahawa kalian sudah dianggap seperti keluarga kandung sendiri. Walaupun kita dipisahkan oleh jarak dan masa, jauh di sudut hati, mengharapkan mereka tidak alpa menyelitkan namaku jua tatkala merintih memohon kepada Yang Maha Kuasa.

Setia Hingga Ke Syurga

"...Mengapa kita ditemukan
dan akhirnya kita dipisahkan
mungkinkah menguji kesetiaan
kejujuran dan kemanisan iman
Tuhan berikan daku kekuatan..."

Hingga saat ini, nasyid Untukmu Teman masih mesra menyapa telinga, tenggelam dalam kenangan yang bisa membasahkan jiwa, menyegarkan iman untuk terus memperjuangkan cintaNya.

Masih teringat tatkala seorang sahabat tidak jemu menarik tangan ini, untuk mendaki puncak bukit itu yang curam lagi tinggi. Saat itu, diri ini lemah dan lelah kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan waktu itu. Tetapi sahabat seorang itu tidak lelah menarik tangan ini untuk terus melangkah ke puncak. Mudah-mudahan, tangan itu juga yang tidak lepas menarik tanganku untuk terus melangkah menuju ke syurgaNya.

Masih teringat tatkala pertama kali berpindah ke Banting, ditemani sahabat-sahabat. Tetap tegar untuk menghantar diri ini ke Banting, walaupun masing-masing kebasahan dek hujan yang lebat. Mudah-mudahan, sahabat-sahabat itu jugalah bersama-sama dapat membawa diri ini ke syurga, walaupun kadang-kadang ukhuwwah dibasahi dengan percikan sengketa, prasangka, namun mengharap sengketa dan prasangka dapat digantikan halawatul ukhuwwah untuk terus memimpin diri ini hingga ke syurga.

Masih teringat tatkala indahnya berbulatan cinta bersama mereka di Banting, kejauhan datang dari Bangi. Juga tatkala betapa seronoknya duduk dalam lingkaran bahagia, lepak bersama dalam menggapai redhaNya di tepi tasik dan air terjun. Mudah-mudahan, kita dapat lagi berbulatan cinta di syurgaNya, di tepi-tepi sungai nyaman di dalam syurga.

[Kredit]

Masih teringat tatkala seorang sahabat dengan penuh sabar menunggu di hospital, sementelahan diri ini ditahan di wad selama beberapa jam. Mudah-mudahan, sahabat itu sabar juga menuntuni diri ini bersamanya untuk ke syurga.

Masih teringat lagi tatkala bertemu sahabat seorang ini, pasti diri akan menangis hiba, dek kerana usikan yang tidak putus-putus daripadanya. Mudah-mudahan, kami dapat bertemu di syurgaNya, bergurau dan bercanda, menangis dengan gembira bertemunya di sana.

Masih teringat lagi tatkala bertemu sahabat ini, pasti tanpa ragu akan belanja makan buat diri ini. Kemudian, kami akan makan bersama-sama dan saling bertukar rasa. Mudah-mudahan, kami dapat makan secara berjemaah lagi di syurgaNya, dengan rezeki yang tidak habis-habis di sana.

Masih teringat lagi tatkala bertemu dengan sahabat yang selalu meluahkan curahan hati, lelah dalam urusan duniawi yang memberi untung kepada ukhrawi. Mudah-mudahan, kami dapat bertemu di syurgaNya, saling mengungkap bahagia dan berkongsi cerita.

Sesungguhnya, begitu banyak kebaikan yang disebarkan oleh mereka, menjadikan diri ini bahagia kerana memilik mereka. Mereka juga telah banyak mendidikku dalam menjadi manusia yang bermanfaat kepada yang lain. Seperti hadith Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam riwayat At-Thabarani yang bermaksud;

"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain."

Pintaku wahai sahabat kecintaanku, mudah-mudahan kalian tidak melupakanku dalam doamu. Wahai sahabat, jangan lupa bertanyakan tentangku nanti, jika kalian mendapati bahawa diri ini tiada di syurga pada pertemuan itu nanti.

Mudah-mudahan kita terus setia berukuwwah hingga ke syurga.

Mudah-mudahan kita terus setia mendukung agamaNya dan dengan rahmatNya kita bisa reunion di sana.

Fi amanillah.

Sayang kalian kerana Allah.

Fastaqim kama umirta!

"Pada hari itu, sahabat-sahabat karib; sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)."
(Az-Zukhruf: 67)

Ya Allah, aku memohon padaMu, kurniakanlah kepadaku sahabat-sahabat yang selalu mengajakku untuk tunduk patuh dan taat pada syariatMu. Kekalkanlah persahabatan kami sehingga kami bertemu kembali di syurgaMu. InshaaAllah.

Aaameen, ya Rabb.





Saturday, 1 March 2014

Peperiksaan Dahulu, Belajar Kemudian

Pagi yang tenang lagi damai. Pepohon kelihatan beralun mengikut rentak angin yang sepoi-sepoi bahasa yang setia menjalankan tanggungjawabnya. Langit kebiruan sejuk mata memandang dipancar dengan simbahan cahaya matahari yang tidak terik, seolah malu berselindung di sebalik sang awan. Kicauan burung seakan memeriahkan lagi suasana damai, menjadi halwa untuk telinga. Semuanya sibuk berzikir kepada yang Maha Pencipta.

Sungguh membahagiakan.

Kelihatan satu kepompong kelihatan bergerak-gerak, pada salah satu hujung daun di pokok yang renek. 'Pergerakan' kepompong itu menarik perhatian seorang kanak-kanak lelaki, yang sejak daripada tadi lagi ralit memerhati burung-burung yang sedang menyanyi di dahan pokok nan rendang di halaman rumahnya. Terus sahaja didekati pokok renek itu, yang sebenarnya kepompong itu lebih menarik perhatian dirinya.

[Kredit]

Matanya tertancap pada pergerakan kepompong itu atau sebetulnya kelihatan rama-rama cuba keluar daripada kepompong itu. Rama-rama itu kelihatan sukar sekali untuk mengeluarkan dirinya daripada kepompongnya. Kanak-kanak lelaki itu berasa amat kasihan melihat kesusahan yang ditanggung oleh rama-rama tersebut. Begitu sukar nampaknya rama-rama itu untuk keluar dari kepompong. Rasa simpati yang melimpah menerbitkan rasa untuk menolong si rama-rama.

"Kesian dia." bisik kanak-kanak yang berjiwa suci itu. Begitu tulus. Murni.

Lantas, anak kecil yang berusia enam tahun itu berlari naik ke rumah. Dengan tergesa-gesa, kanak-kanak itu melangkah laju ke arah rama-rama tadi. Kelihatan gunting kecil pada tangan kecil anak itu.

Dengan penuh berhati-hati, kepompong itu diguntingnya. Secara perlahan, kepompong itu dipotong. Khuatir sekiranya gunting itu turut serta memakan sayap sang rama-rama.

Usai misinya menolong rama-rama itu selesai, kanak-kanak berjiwa suci itu tersenyum lebar. Terpancar kegembiraan yang terbit dari hati ke wajahnya. Bangga kerana telah berjaya menyelamatkan rama-rama keluar dari kepompongnya. Perasaan tidak sabar baginya untuk melihat rama-rama itu mengepakkan sayap cantiknya, terbang menghiasi halaman bersama teman-teman rama-rama yang lain.

"Eh..."

Apa yang berlaku di dalam fikirannya rupanya tidak sama dengan apa yang berlaku di hadapannya kini. Tubuh rama-rama itu kelihatan bengkak, manakala sayap rama-rama itu kelihatan layu dan tidak kembang. Rama-rama itu tidak terbang, sebaliknya hanya merayap. Merayap dengan perlahan, seolah-olah sedang menanggung kesakitan tidak tertahan. Mata kanak-kanak itu tidak putus-putus menjejaki rama-rama tersebut, namun rama-rama tersebut tidak terbang seperti yang disangka.

Lantas, perasaan ingin tahu menyerbu ke dalam hatinya. Berlari kanak-kanak itu ke rumah untuk menceritakan peristiwa yang tidak disangka itu kepada ibunya.

"Bagus sekali anak ibu sebab nak tolong rama-rama itu. Tetapi, sebenarnya, ketika rama-rama itu kelihatan susah untuk keluar dari kepompong, sejenis cecair akan keluar daripada tubuhnya. Cecair itu sebenarnya membantu rama-rama menguatkan fizikalnya untuk menjadi rama-rama yang cantik dan sempurna, seperti rama-rama yang terbang yang kita selalu lihat itu, bukan. Jika tanpa 'kesusahan' yang ditanggung rama-rama itu, rama-rama itu terpaksa hidup dalam kesusahan sebagai rama-rama cacat."

Tunduk si anak kecil itu mendengar penjelasan ibunya.

Bungkam.

Persis Bayi

Walaupun menyesal akan perbuatannya itu, si anak belajar sesuatu daripada tindakannya itu. Tindakan yang telah dilakukannya adalah 'peperiksaan' buatnya, kemudian barulah dia belajar. Dia belajar sesuatu daripada peperiksaannya itu. Dia belajar bahawa fitrah hidup rama-rama begitu, bergelut dengan kesukaran untuk melepaskan diri dari kepompong, sebelum mengecapi kebebasan, terbang ke sana ke mari.

Begitu juga dengan kita. Tatkala kita mula menjengah di persinggahan dunia, peperiksaan-peperiksaan sudah menunggu kita, yang dihamparkanNya, dengan itu kita belajar untuk menjadi hamba yang bersyukur ataupun kufur. Lihat sahaja bayi yang baru lahir, begitu suci dan masih tidak mengerti apa-apa. Akan tetapi peperiksaan demi peperiksaan yang disediakanNya, menjadikan bayi itu 'belajar'.

Tatkala bayi disediakan dengan lapar, dia belajar untuk mengisi perutnya dengan menangis.

Tatkala bayi disediakan dengan lampin basah, dia belajar dengan menangis.

Tatkala bayi dijemput dengan mengantuk, dia belajar dengan menangis.

Tatkala bayi diserang dengan makhluk-makhluk kecil yang menggigit, dia belajar dengan menangis.

Sesungguhnya rasa lapar, mengantuk, lampin basah dan makhluk-makhluk kecil yang menggigit adalah peperiksaan buat si bayi. Maka, melalui peperiksaan-peperiksaan yang ditempuhi bayi tersebut, bayi belajar untuk menangis. Menangis menandakan terdapat benda yang tidak kena, menangis bermaksud rasa tidak selesa, kerana usia kecil sebegitu bayi tidak berdaya melakukan apa sahaja tanpa bantuan tangan-tangan dewasa.

Rupanya, sedari kecil lagi, bayi sudah belajar melalui peperiksaan!

Jatuh Katil

Teringat lagi tatkala kakak sulung yang berada di Sabah menelefon Ummi. Kakak yang berjauhan dengan suaminya, dek kerana tuntutan kerja dan tanggungjawab kepada ummah, tinggal bersama puterinya usai sahaja habis berpantang, nun di Tawau sana.

Kakak memberitahu Ummi bahawa puterinya, Hanis, jatuh daripada katil. Ketika itu, kakak sedang memasak di dapur. Sedang ralit memasak, sahutan tangisan menyapa telinganya. Lantas, cepat-cepat naik ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku sebenarnya. Rupanya, bayi berusia sembilan bulan itu jatuh dari kati. Menurut kakak, Hanis mungkin sahaja terjaga daripada tidur, lantas mengengsot untuk melihat kartun Upin Ipin yang ada pada tikar yang terhampar di sebelah katil. Dengan usia sebegitu, Hanis tidak tahu erti bahaya, masih tidak mengerti ketinggian yang berbeza, lantas diredah sahaja yang menatijahkan sakit yang menimpa.

Namun, itu adalah peperiksaan buat Hanis. Ketika pulang ke kampung, apabila Hanis dilepaskan bebas mengengsot ke sana, ke mari, tatkala sampai di tangga, Hanis melakukan putaran 180 darjah, dan mengundurkan badannya supaya dapat turun dengan selamat.

Rupanya, melalui pengalaman jatuh sebelum ini, Hanis telah belajar cara untuk turun dengan selamat.

Peperiksaan Dahulu, Belajar Kemudian

Sehingga kita dewasa, kita telah menempuhi pelbagai peperiksaan kehidupan yang menatijahkan kita belajar daripada peperiksaan tersebut. Seperti kalam cinta daripada Illahi, surah Al-Ankabut ayat 2;


أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ 


Mafhumnya: Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji.


Maka, siapakah kita untuk menidakkan peperiksaan demi peperiksaan yang telah disediakanNya? Siapakah kita untuk lari daripada taqdirNya? Tatkala kita sedang melarikan diri daripada taqdirNya, yang sebenarnya kita sedang menuju kepada taqdirNya yang lain pula. Terima sahaja peperiksaan yakni ujian yang telah terhampar untuk kita dengan redha. Kerana melalui peperiksaan itu, banyak yang kita akan belajar selagi kita mengecapi hidup sebagai hambaNya.

Saat kita terjatuh, saat kita tersungkur sehingga kita terasa tidak berdaya untuk melangkah kaki dalam kehidupan ini, renungkanlah saat kita bertatih, kita pernah jatuh. Air mata menjadi pengubat jiwa. Saat kita mula belajar berlari, kita tersungkur, kata-kata pujukan menjadi kapsul penyembuh kesakitan tersungkur itu. Justeru, pujuklah hati, kentalkan jiwa bahawa setiap ujian itu adalah peperiksaan untuk kita supaya kita boleh belajar sesuatu yang berharga daripadanya. Sesuatu yang tidak ternilai harganya. Sesuatu yang lebih bernilai daripada segala-galanya hatta harta benda lain tidak mampu menyaingi nilai 'sesuatu' yang kita peroleh melalui peperiksaan kehidupan.

Teringat saya akan kata-kata Ustazah Norhafizah Musa, yang cukup menginspirasi kita untuk terus melangkah walaupun peritnya hanya Allah sahaja yang tahu ujian yang menjengah.

"Jika apa yang kita hendaki terus kita miliki, lalu dari mana kita belajar ikhlas.
Jika semua yang kita impikan segera terwujud, lalu dari mana kita belajar sabar.
Jika setiap doa kita terus diqabulkan, lalu bagaimana kita belajar ikhtiar.

Seorang yang taat pada Allah, bukan bererti tidak ada cacat dan kekurangan.
Seorang yang tekun berdoa, bukan bererti tidak ada masa sulit.

Ketika kerja kita tidak dihargai, saat itu kita belajar tentang ketulusan.
Ketika usaha kita dinilai tidak penitng, saat itu kita belajar tentang keikhlasan.
Ketika kita lelah dan kecewa, saat itu kita belajar kesungguhan.
Ketika kita harus membayar biaya yang sebenarnya tidak perlu kita tanggung, saat itu kita belajar tentang murah hati dan dermawan.

Hari-hari yang dilewati seharusnya diingat bahawa kita sedang menimba ilmu dalam universiti kehidupan. Jangan disia-siakan silibus kehidupan ini, jangan disia-siakan universiti kehidupan ini."

Kita sebagai hamba. Memang selayaknya kita diberi dengan peperiksaan demi peperiksaan. Kerana melalui peperiksaan itu kita akan belajar. Selain itu, Dia akan mempertingkatkan kedudukan kita sebagai hamba.

Apa yang pasti, teruskanlah berdoa semoga kita terus dilorongkan jalan yang benar, jalan yang jauh sekali meminggirkan syariatNya, tatkala kita sudah letih dan lemah untuk menghadapi segalanya.



Peperiksaan dahulu, belajar kemudian. Jangan putus asa untuk terus belajar sebelum kita melalui hari konvokesyen di syurga nanti.

We are student of life. Never stop learning because life never stops teaching.

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad.