Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wa sahlan.

Saturday, 1 March 2014

Peperiksaan Dahulu, Belajar Kemudian

Pagi yang tenang lagi damai. Pepohon kelihatan beralun mengikut rentak angin yang sepoi-sepoi bahasa yang setia menjalankan tanggungjawabnya. Langit kebiruan sejuk mata memandang dipancar dengan simbahan cahaya matahari yang tidak terik, seolah malu berselindung di sebalik sang awan. Kicauan burung seakan memeriahkan lagi suasana damai, menjadi halwa untuk telinga. Semuanya sibuk berzikir kepada yang Maha Pencipta.

Sungguh membahagiakan.

Kelihatan satu kepompong kelihatan bergerak-gerak, pada salah satu hujung daun di pokok yang renek. 'Pergerakan' kepompong itu menarik perhatian seorang kanak-kanak lelaki, yang sejak daripada tadi lagi ralit memerhati burung-burung yang sedang menyanyi di dahan pokok nan rendang di halaman rumahnya. Terus sahaja didekati pokok renek itu, yang sebenarnya kepompong itu lebih menarik perhatian dirinya.

[Kredit]

Matanya tertancap pada pergerakan kepompong itu atau sebetulnya kelihatan rama-rama cuba keluar daripada kepompong itu. Rama-rama itu kelihatan sukar sekali untuk mengeluarkan dirinya daripada kepompongnya. Kanak-kanak lelaki itu berasa amat kasihan melihat kesusahan yang ditanggung oleh rama-rama tersebut. Begitu sukar nampaknya rama-rama itu untuk keluar dari kepompong. Rasa simpati yang melimpah menerbitkan rasa untuk menolong si rama-rama.

"Kesian dia." bisik kanak-kanak yang berjiwa suci itu. Begitu tulus. Murni.

Lantas, anak kecil yang berusia enam tahun itu berlari naik ke rumah. Dengan tergesa-gesa, kanak-kanak itu melangkah laju ke arah rama-rama tadi. Kelihatan gunting kecil pada tangan kecil anak itu.

Dengan penuh berhati-hati, kepompong itu diguntingnya. Secara perlahan, kepompong itu dipotong. Khuatir sekiranya gunting itu turut serta memakan sayap sang rama-rama.

Usai misinya menolong rama-rama itu selesai, kanak-kanak berjiwa suci itu tersenyum lebar. Terpancar kegembiraan yang terbit dari hati ke wajahnya. Bangga kerana telah berjaya menyelamatkan rama-rama keluar dari kepompongnya. Perasaan tidak sabar baginya untuk melihat rama-rama itu mengepakkan sayap cantiknya, terbang menghiasi halaman bersama teman-teman rama-rama yang lain.

"Eh..."

Apa yang berlaku di dalam fikirannya rupanya tidak sama dengan apa yang berlaku di hadapannya kini. Tubuh rama-rama itu kelihatan bengkak, manakala sayap rama-rama itu kelihatan layu dan tidak kembang. Rama-rama itu tidak terbang, sebaliknya hanya merayap. Merayap dengan perlahan, seolah-olah sedang menanggung kesakitan tidak tertahan. Mata kanak-kanak itu tidak putus-putus menjejaki rama-rama tersebut, namun rama-rama tersebut tidak terbang seperti yang disangka.

Lantas, perasaan ingin tahu menyerbu ke dalam hatinya. Berlari kanak-kanak itu ke rumah untuk menceritakan peristiwa yang tidak disangka itu kepada ibunya.

"Bagus sekali anak ibu sebab nak tolong rama-rama itu. Tetapi, sebenarnya, ketika rama-rama itu kelihatan susah untuk keluar dari kepompong, sejenis cecair akan keluar daripada tubuhnya. Cecair itu sebenarnya membantu rama-rama menguatkan fizikalnya untuk menjadi rama-rama yang cantik dan sempurna, seperti rama-rama yang terbang yang kita selalu lihat itu, bukan. Jika tanpa 'kesusahan' yang ditanggung rama-rama itu, rama-rama itu terpaksa hidup dalam kesusahan sebagai rama-rama cacat."

Tunduk si anak kecil itu mendengar penjelasan ibunya.

Bungkam.

Persis Bayi

Walaupun menyesal akan perbuatannya itu, si anak belajar sesuatu daripada tindakannya itu. Tindakan yang telah dilakukannya adalah 'peperiksaan' buatnya, kemudian barulah dia belajar. Dia belajar sesuatu daripada peperiksaannya itu. Dia belajar bahawa fitrah hidup rama-rama begitu, bergelut dengan kesukaran untuk melepaskan diri dari kepompong, sebelum mengecapi kebebasan, terbang ke sana ke mari.

Begitu juga dengan kita. Tatkala kita mula menjengah di persinggahan dunia, peperiksaan-peperiksaan sudah menunggu kita, yang dihamparkanNya, dengan itu kita belajar untuk menjadi hamba yang bersyukur ataupun kufur. Lihat sahaja bayi yang baru lahir, begitu suci dan masih tidak mengerti apa-apa. Akan tetapi peperiksaan demi peperiksaan yang disediakanNya, menjadikan bayi itu 'belajar'.

Tatkala bayi disediakan dengan lapar, dia belajar untuk mengisi perutnya dengan menangis.

Tatkala bayi disediakan dengan lampin basah, dia belajar dengan menangis.

Tatkala bayi dijemput dengan mengantuk, dia belajar dengan menangis.

Tatkala bayi diserang dengan makhluk-makhluk kecil yang menggigit, dia belajar dengan menangis.

Sesungguhnya rasa lapar, mengantuk, lampin basah dan makhluk-makhluk kecil yang menggigit adalah peperiksaan buat si bayi. Maka, melalui peperiksaan-peperiksaan yang ditempuhi bayi tersebut, bayi belajar untuk menangis. Menangis menandakan terdapat benda yang tidak kena, menangis bermaksud rasa tidak selesa, kerana usia kecil sebegitu bayi tidak berdaya melakukan apa sahaja tanpa bantuan tangan-tangan dewasa.

Rupanya, sedari kecil lagi, bayi sudah belajar melalui peperiksaan!

Jatuh Katil

Teringat lagi tatkala kakak sulung yang berada di Sabah menelefon Ummi. Kakak yang berjauhan dengan suaminya, dek kerana tuntutan kerja dan tanggungjawab kepada ummah, tinggal bersama puterinya usai sahaja habis berpantang, nun di Tawau sana.

Kakak memberitahu Ummi bahawa puterinya, Hanis, jatuh daripada katil. Ketika itu, kakak sedang memasak di dapur. Sedang ralit memasak, sahutan tangisan menyapa telinganya. Lantas, cepat-cepat naik ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku sebenarnya. Rupanya, bayi berusia sembilan bulan itu jatuh dari kati. Menurut kakak, Hanis mungkin sahaja terjaga daripada tidur, lantas mengengsot untuk melihat kartun Upin Ipin yang ada pada tikar yang terhampar di sebelah katil. Dengan usia sebegitu, Hanis tidak tahu erti bahaya, masih tidak mengerti ketinggian yang berbeza, lantas diredah sahaja yang menatijahkan sakit yang menimpa.

Namun, itu adalah peperiksaan buat Hanis. Ketika pulang ke kampung, apabila Hanis dilepaskan bebas mengengsot ke sana, ke mari, tatkala sampai di tangga, Hanis melakukan putaran 180 darjah, dan mengundurkan badannya supaya dapat turun dengan selamat.

Rupanya, melalui pengalaman jatuh sebelum ini, Hanis telah belajar cara untuk turun dengan selamat.

Peperiksaan Dahulu, Belajar Kemudian

Sehingga kita dewasa, kita telah menempuhi pelbagai peperiksaan kehidupan yang menatijahkan kita belajar daripada peperiksaan tersebut. Seperti kalam cinta daripada Illahi, surah Al-Ankabut ayat 2;


أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ 


Mafhumnya: Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji.


Maka, siapakah kita untuk menidakkan peperiksaan demi peperiksaan yang telah disediakanNya? Siapakah kita untuk lari daripada taqdirNya? Tatkala kita sedang melarikan diri daripada taqdirNya, yang sebenarnya kita sedang menuju kepada taqdirNya yang lain pula. Terima sahaja peperiksaan yakni ujian yang telah terhampar untuk kita dengan redha. Kerana melalui peperiksaan itu, banyak yang kita akan belajar selagi kita mengecapi hidup sebagai hambaNya.

Saat kita terjatuh, saat kita tersungkur sehingga kita terasa tidak berdaya untuk melangkah kaki dalam kehidupan ini, renungkanlah saat kita bertatih, kita pernah jatuh. Air mata menjadi pengubat jiwa. Saat kita mula belajar berlari, kita tersungkur, kata-kata pujukan menjadi kapsul penyembuh kesakitan tersungkur itu. Justeru, pujuklah hati, kentalkan jiwa bahawa setiap ujian itu adalah peperiksaan untuk kita supaya kita boleh belajar sesuatu yang berharga daripadanya. Sesuatu yang tidak ternilai harganya. Sesuatu yang lebih bernilai daripada segala-galanya hatta harta benda lain tidak mampu menyaingi nilai 'sesuatu' yang kita peroleh melalui peperiksaan kehidupan.

Teringat saya akan kata-kata Ustazah Norhafizah Musa, yang cukup menginspirasi kita untuk terus melangkah walaupun peritnya hanya Allah sahaja yang tahu ujian yang menjengah.

"Jika apa yang kita hendaki terus kita miliki, lalu dari mana kita belajar ikhlas.
Jika semua yang kita impikan segera terwujud, lalu dari mana kita belajar sabar.
Jika setiap doa kita terus diqabulkan, lalu bagaimana kita belajar ikhtiar.

Seorang yang taat pada Allah, bukan bererti tidak ada cacat dan kekurangan.
Seorang yang tekun berdoa, bukan bererti tidak ada masa sulit.

Ketika kerja kita tidak dihargai, saat itu kita belajar tentang ketulusan.
Ketika usaha kita dinilai tidak penitng, saat itu kita belajar tentang keikhlasan.
Ketika kita lelah dan kecewa, saat itu kita belajar kesungguhan.
Ketika kita harus membayar biaya yang sebenarnya tidak perlu kita tanggung, saat itu kita belajar tentang murah hati dan dermawan.

Hari-hari yang dilewati seharusnya diingat bahawa kita sedang menimba ilmu dalam universiti kehidupan. Jangan disia-siakan silibus kehidupan ini, jangan disia-siakan universiti kehidupan ini."

Kita sebagai hamba. Memang selayaknya kita diberi dengan peperiksaan demi peperiksaan. Kerana melalui peperiksaan itu kita akan belajar. Selain itu, Dia akan mempertingkatkan kedudukan kita sebagai hamba.

Apa yang pasti, teruskanlah berdoa semoga kita terus dilorongkan jalan yang benar, jalan yang jauh sekali meminggirkan syariatNya, tatkala kita sudah letih dan lemah untuk menghadapi segalanya.



Peperiksaan dahulu, belajar kemudian. Jangan putus asa untuk terus belajar sebelum kita melalui hari konvokesyen di syurga nanti.

We are student of life. Never stop learning because life never stops teaching.

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad.

0 comments:

Post a Comment

Please drop your comments here 😉